Nasir Bilal Khan serlah sisi lelucon


Selama berkecimpung dalam arena dunia hiburan tanah air, nama pelakon Nasir Bilal Khan bukan lagi asing apabila deretan naskhah lakonannya begitu membekas dalam jiwa penonton.

Namun apa yang paling dekat dengan diri pelakon filem Perempuan, Isteri & ...? itu adalah watak dan karakter serius yang melingkari kemas imejnya di mata penonton selama ini.

Sentiasa terbuka tangan menadah rezeki yang hadir, Nasir mengubah stigma masyarakat yang sering memandangnya sebagai lelaki serius apabila muncul dalam program hiburan Bocey & Friends Live di saluran Astro Warna (132) bersama Kumpulan Bocey bermula 23 Mac lalu.

Kata Nasir, dia menganggap tawaran itu hadir sebagai peluang untuknya meneroka dunia baharu yang dianggapnya serasi dengan diri sendiri.

KOSMO!: Agak lama tidak mendengar cerita Nasir. Boleh kongsikan perkembangan terkini?

NASIR BILAL KHAN: Alhamdulillah, sejak siri Tanah Kubur sudah tamat dua tahun lalu, sekarang saya berlakon dalam drama Tok Adi. Ia menceritakan tentang perjalanan hidup Tok Adi. Dalam perkembangan lain, saya merancang untuk mengeluarkan sebuah dokumentari tentang pahlawan dan pejuang Islam terutama di Kedah selain mahu membuat pameran. Namun semuanya masih dalam perancangan.

Boleh anda kongsikan peranan dalam program Bocey & Friends Live?

Dalam program itu saya memegang tugas sebagai Tukang Buka Panggung iaitu membuka tirai persembahan dengan menjelaskan tema dan konsep persembahan program itu.

Pada penghujung program pula, saya akan merumuskan segala mesej dan nilai murni yang terkandung dalam persembahan Bocey.

Selama ini anda sangat terkenal dengan watak antagonis dan serius. Jadi apa yang menyebabkan anda menerima tawaran terlibat dalam program lawak?

Ini bukan kali pertama saya dijemput dalam program lawak kerana pada tahun lalu saya pernah menjadi artis undangan dalam program Maharaja Lawak Mega (MLM) bersama kumpulan Shiro. Saya terima tawaran ini kerana percaya dalam persembahan lawak juga ada mesej positif yang boleh dikutip bukan sahaja kepada penonton bahkan diri sendiri. Saya bersyukur kerana ia sebenarnya membuka ruang untuk saya meneroka perkara dan dunia baharu.





Jadi adakah ia akan menampilkan sisi berbeza anda pada mata penonton?

Kalau diikutkan saya memang jenis seorang yang gemar ketawa dan mengusik kawan-kawan kerana dari situ ia mampu mengeratkan hubungan.

Cuma orang tidak pernah melihatnya di depan mata mereka kecuali dalam drama yang selalu mempertontonkan sisi serius saya. Jadi menerusi program ini saya lihat ia boleh mengubah stigma penonton yang kerap memandang saya dari perspektif sebegitu.

Bagaimana pula dengan kerjasama anda dengan Bocey?

Saya seorang pelakon yang bekerja mengikut skrip dan tuntutan watak. Jadi kalau berbicara tentang bidang lawak, mereka lebih senior. Jadi di situ ada timbal balik untuk berkongsi ilmu dan pengalaman bidang masing-masing. Sekurang-kurangnya saya dapat belajar dengan lebih banyak tentang dunia lawak.

Sejak muncul dalam siri Tanah Kubur pada 2011, gelaran Tok Adi masih melekat sehingga ke hari ini. Apa komen anda tentang perkara itu?

Saya tiada masalah dengannya. Okey sahaja kalau peminat mahu panggil saya Tok Adi kerana ia membuktikan bahawa siri tersebut sangat dekat dengan mereka.

Sebagai pelakon, saya tidak kisah dengan apa-apa watak sekali pun biarpun kerap diberi peranan antagonis, asalkan ia mengandungi mesej dan impak kepada masyarakat untuk dijadikan teladan.

Post a Comment

Previous Post Next Post