Anuar Zain risau konsert tak laku


Meskipun sudah mempunyai lebih 30 tahun pengalaman bergelar anak seni, penyanyi bersuara lunak Anuar Zain masih lagi mempunyai kebimbangan setiap kali mahu tampil dalam mana-mana konsert berskala besar.

Bukan bimbang atau meragui kemampuan nyanyian atau kecergasan diri, kerisauan pemilik nama Shahrul Anuar Zain itu lebih terarah kepada persoalan akan adakah peminat yang mahu membeli tiket dan datang menonton persembahannya.

Menyedari keadaan ekonomi sekarang yang tidak begitu baik dan kecanggihan teknologi yang banyak mengambil alih tumpuan peminat kepada menonton di alam maya sahaja, lelaki berusia 48 tahun itu berharap masih ada di antara mereka yang menghargai persembahan secara langsung.

“Bagi konsert yang akan menampilkan juga dua orang penyanyi wanita iaitu Anuar Zain, Bunga Citra Lestari & Yuka Karisma Live In Concert di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada hujung April depan, kami akan menggunakan alunan muzik secara langsung dan bukan rakaman.

“Saya yakin dengan gabungan peminat saya dengan Bunga yang popular di Indonesia dan Yuka yang mempunyai peminat tersendiri, Insya Allah konsert ini akan dijayakan dengan baik. Apa yang penting peminat terhibur dan berasa berbaloi melaburkan wang dan masa untuk kami bertiga,” katanya ketika ditemui dalam temu bual bersama media di E&O Residences, baru-baru ini.

Bakal mendendangkan empat buah lagu hit selama 30 minit persembahan untuk sesi solo, Anuar berkata peluang tersebut juga bakal digunakan untuk memperkenalkan single terbaharunya yang dijangka dilancarkan secara rasmi tidak lama lagi.





Cabaran

Selain sesi solo, adik kepada penyanyi Ziana Zain ini memberitahu bahawa mereka akan berduet bersama untuk dua buah lagu yang telah dipilih bersama.

Mengakui bahawa proses memilih lagu sesuai untuk nada suara mereka bertiga ialah satu perkara yang tidak mudah, Anuar mampu menarik nafas lega kerana keputusan sepakat telah dicapai.

“Kesukaran itu wujud kerana kami bertiga mempunyai tona suara yang tidak sama jadi untuk mencari keharmonian dalam sesebuah lagu itu bukan suatu tugas yang mudah. Kalau boleh, saya tidak mahu persembahan kami yang akan menjadi penutup tirai konsert kedengaran bingit jika menyanyikan lagu salah.

“Tidak kisah lagu itu susah atau senang kerana apa yang penting kami semua berpuas hati dan boleh menyanyi dengan baik. Saya juga berterima kasih kepada pihak Bunga dan Yuka kerana bersetuju menggunakan khidmat pengarah muzik saya iaitu Sze Wan,”jelasnya lagi.

Konsert Anuar Zain, Bunga Citra Lestari & Yuka Karisma Live In Concert akan berlangsung pada 28 April depan bermula pukul 8.30 malam selama dua jam untuk tiga penyanyi.

Post a Comment

Previous Post Next Post