Nabila Razali setia dengan Hael Husaini


Nabila Razali kini giat mempromosikan single baharunya bersama Priscilla Abby yang merupakan runut bunyi filem Lee Chong Wei.

Gimik penyanyi baharu, Nabila Razali dan pelakon Aedy Ashraf sewaktu mempromosikan single Pematah Hati nyata berjaya menarik perhatian khalayak yang sekali gus mempercayai kedua-duanya saling menjalin hubungan cinta.

Tidak menafikan meskipun mengundang rasa kurang senang buat segelintir peminat, namun impak dan populariti lagu terbabit telah melonjak nama Nabila atau mesra disapa sebagai Bella.

Kata pemilik nama Nur Nabila Mohd. Razali, gimik merupakan salah satu strategi bagi mempromosikan lagu dan secara tidak langsung menarik perhatian khalayak.

“Selepas melihat respons yang diterima sewaktu ingin mempromosikan single Pematah Hati, saya berpendapat gimik tidak boleh dibuat berulang kali.

“Disebabkan itu, untuk single baharu yang akan datang, saya masih tidak tahu sama ada akan wujud gimik atau tidak kerana segalanya bergantung pada keadaan,” terang penyanyi berusia 26 tahun itu.

Bekas peserta program realiti Akademi Fantasia 2013 itu bagaimanapun sukar menafikan bahawa respons negatif peminat juga secara tidak langsung membantu lagu Pematah Hati untuk lebih dikenali.

Bukan sahaja gimik kontroversi putus cinta, lagu Pematah Hati sendiri mempunyai aura dan tarikan tersendiri, sementelah ia dihasilkan oleh penyanyi dan komposer popular, Hael Husaini serta Ezra Kong.

Sentuhan pelantun lagu Jampi itu ternyata membuahkan hasil apabila melonjakkan nama Nabila yang kini hampir enam tahun berkelana dalam persada seni muzik tanah air.





Yakin dengan Hael

Disebabkan ingin mengekalkan magis Pematah Hati, Nabila mengharapkan single baharu itu masih kekal dengan komposer yang sama.

Nabila meletakkan keyakinan dan kepercayaan terhadap lelaki berusia 30 tahun itu untuk menghasilkan lagu berdasarkan kemampuannya.

“Buat masa sekarang saya masih mencari material yang sesuai untuk dijadikan sebagai single baharu kelak. Namun, buat sama sekarang saya ingin fokus kepada lagu Cahaya Juara.

“Memilih Hael bukan kerana ramai penyanyi berebut untuk mendapatkan khidmatnya. Disebabkan sebelum ini kami pernah bekerjasama, justeru saya selesa bekerja dengannya.

“Hael juga faham cita rasa dan kemampuan saya menyanyikan lagu berentak pop. Terus terang saya masih tidak mempunyai keyakinan untuk mendendangkan lagu berentak balada,” ujar Nabila.

Tidak dinafikan dirinya mengharapkan impak sama seperti Pematah Hati terhadap single baharunya kelak, Nabila bagaimanapun tetap yakin terhadap rezeki Tuhan.

“Tambahan, industri muzik tempatan juga tidak mempunyai ramai penyanyi yang menyanyikan lagu berentak pop dan insya-Allah sekiranya ada rezeki, saya masih diterima,” jelas Nabila penuh optimis.

Meskipun wujud keinginan melakukan eksperimentasi dengan mencuba irama lain selain pop, tetapi Nabila lebih selesa memilih untuk fokus kepada genre pop terlebih dahulu.


Post a Comment

Previous Post Next Post