Tajul Ariff sedia digelar pelakon kayu


Tajul Ariff bersama Kazar dalam filem Enjin No. 9 arahan Raja Azmi yang ditayangkan bermula 29 Mac (hari ini).

Pengalaman pertama kali berlakon di layar perak menerusi filem Enjin No. 9 telah membuka lembaran baharu buat pemilik nama Tajul Ariff Noor Md. Shari.

Penyanyi yang terkenal menerusi lagu Sedalam Dalam Rindu itu mengakui pengalaman hampir seharian berada di set lokasi penggambaran tidak menutup pintu hatinya untuk serius dalam bidang lakonan.

Memandangkan naskhah tersebut merupakan penampilan sulungnya di layar perak, Tajul mengambil pendekatan positif dan sedia menerima sebarang kritikan terhadap lakonannya, apatah lagi jika ada yang menggelarkan dirinya sebagai ‘pelakon kayu’.

Katanya, lumrah sebagai pelakon baharu pasti terdapat beberapa kekurangan, sementelah dia tidak mempunyai pengalaman mahupun pendedahan formal tentang dunia lakonan.

Dalam pada itu, Tajul yang ditemui pada majlis tayangan perdana Enjin No. 9 baru-baru ini turut berkongsi cerita mengenai pengalaman bekerja bawah arahan penerbit popular, Raja Azmi Raja Sulaiman yang juga pertama kali menggalas tanggungjawab sebagai pengarah.

Filem yang memulakan tayangan pada 29 Mac (hari ini) dan turut dibintangi oleh Kazar, Sharifah Shahirah, Datin Fadilah Mansor, Dottie, Bila AF2015 dan Ayuni Asyiqin.

KOSMO!: Memandangkan ini merupakan pertama kali Tajul Arif terlibat sebagai pelakon, jadi bagaimanakah perasaan anda?

TAJUL ARIF: Pengalaman berlakon sangat menyeronokkan kerana ia sesuatu perkara baharu buat saya. Meskipun permulaannya agak sukar kerana saya perlu membawa watak sebagai seorang suami sedangkan ketika itu baru berusia 19 tahun tetapi alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Saya telah berusaha untuk berikan yang terbaik.

Anda masih muda dan belum berumah tangga, apa yang menjadi inspirasi untuk menggalas karakter sebagai lelaki yang telah berkahwin?

Saya banyak bertanya kepada ahli keluarga terdekat untuk mengetahui keserasian dalam hubungan suami isteri. Sewaktu di lokasi, Raja Azmi juga banyak memberi tunjuk ajar kepada saya agar dapat menjiwai watak dengan berkesan.

Dalam filem tersebut, ada beberapa babak intim melibatkan anda bersama gandingan heroin, Ayuni Asyiqin. Adakah anda bersedia sekiranya adegan tersebut mengundang kritikan dalam kalangan penonton?

Tidak dinafikan saya telah bersedia dengan segala kritikan mahupun kecaman peminat. Disebabkan ini merupakan penampilan pertama, justeru ramai yang akan mengatakan lakonan saya kayu.

Mengenai babak romantik seperti berpegangan tangan, dia (Ayuni Asyiqin) bersandar pada bahu termasuk saya berbaring di atas ribanya, semua itu merupakan kehendak skrip, jadi saya mengikut sahaja.





Boleh anda kongsikan pengalaman pertama kali berlakon termasuk bekerjasama dengan beberapa orang pelakon senior?

Memandangkan ia suatu perkara baharu buat saya, jadi banyak aspek yang tidak diketahui terutama teknik penyampaian dialog dan ekspresi wajah. Bagi saya, nyanyian lebih mudah kerana tidak perlu mengambil masa yang lama berbanding lakonan.

Dalam lakonan, saya perlu berada di set hampir seharian iaitu bermula dari pukul 6 pagi hingga 12 tengah malam.

Adakalanya, ia berlarutan hingga lewat pagi. Dalam pada itu, pengalaman berlakon dengan pelakon senior juga banyak membantu saya untuk memperbaiki kualiti lakonan.

Disebabkan, ada banyak babak bersama Kazar memandangkan dia membawa watak sebagai datuk saya, jadi kami saling berkomunikasi dan bertukar pendapat. Kazar juga banyak memberi tunjuk ajar kepada saya.

Adakah anda berasa serik untuk menerima tawaran lakonan selepas ini?

Saya tiada masalah dengan perkara itu, meskipun sukar tetapi ia memberikan kepuasan.

Tambahan, saya mula sedar tentang kemampuan diri dalam bidang lakonan dan merancang untuk mengikuti kelas formal suatu masa nanti.

Setelah muncul dengan filem, bagaimana dengan kerjaya nyanyian anda sekarang?

Saya bakal melancarkan mini album dalam tempoh masa terdekat. Album tersebut dijangkakan bakal mengandungi lima atau enam buat lagu.

Selain itu, saya juga baru melancarkan single duet baharu bersama Wany Hasrita bertajuk Rindu Dalam Benci dan lagu solo, Melamar Rindu.


Post a Comment

Previous Post Next Post