Yana Samsudin mahu empat lagi anak


Pada kebiasaannya bagi pasangan yang sudah memiliki seorang cahaya mata untuk tempoh dua hingga tiga tahun pertama, mereka cenderung untuk membuat perancangan keluarga agar jarak umur anak tidak terlalu rapat.

Berbeza pula dengan artis serba boleh, Yana Samsudin. Dia sudah tidak sabar untuk menimang anak kedua biarpun usia putera sulungnya, Asiy Mateen belum genap dua tahun.

Pemilik nama Norliana Samsudin itu sebenarnya tidak pernah terfikir untuk merancang kehadiran zuriat. Malah, sejak Mateen berumur 10 bulan, dia dan suami, Fadzil Zahari sudah berusaha untuk anak kedua.

Tambahnya, pada mulanya dia agak segan untuk berbicara soal penambahan anak namun mengambil dari sudut positif, Yana berharap lebih ramai yang turut mendoakan hasratnya itu apabila ia diberitahu secara terbuka.

“Umur saya sudah 32 tahun, jadi secara jujurnya saya tidak mempunyai banyak masa untuk merancang dan kalau boleh mahu menambah empat orang anak lagi sebelum mencapai usia 40 tahun.

“Kalau boleh, saya mahu elakkan hamil melepasi usia 40 kerana akan timbul lebih banyak risiko, namun jika sudah rezeki, saya tidak kisah kerana memang mahukan anak ramai,” katanya ketika ditemui di Studio NTV7 usai rakaman program The Wow Show baru-baru ini.

Rawatan kesuburan

Jika ada yang masih ingat, semasa awal kehamilannya dahulu, tiada siapa yang menyedari kehadiran bayi dalam rahimnya sehinggalah berita gembira tersebut diumumkan menerusi laman Instagram Fadzil.

Ketika itu, usia kandungannya sudah mencecah tujuh bulan.

Mengenang semula memori tersebut, wanita berlesung pipit itu hanya tersenyum sambil memberitahu, kemungkinan untuk perkara sama berlaku buat kali kedua adalah rendah kerana dia sudah tahu bagaimana hendak mengawal keadaan.

Sewaktu baru pertama kali mahu bergelar ibu, terlalu banyak perkara yang dirisaukan termasuk kelewatan menyedari kehamilan, sehinggalah kandungan berusia tiga bulan. Dia memilih tidak mendedahkan berita tersebut sehingga memasuki trimester ketiga.

Untuk percubaan hamil kali kedua, anak kelahiran Yong Peng, Johor itu tidak segan mengakui dia dan suami turut berikhtiar dengan menjalani rawatan kesuburan IUI (Intrauterine Insemination) atau permanian berhadas sejak penghujung tahun lalu.

“Selain mengharapkan doa daripada keluarga, rakan-rakan dan peminat tersayang, saya juga melakukan rawatan kesuburan kerana berasakan ia sesuatu yang tidak rugi untuk dicuba, cuma belum ada rezeki kami lagi.

“Insya-Allah, saya yakin berkat doa ramai orang dan ikhtiar sendiri, pasti ada akan tiba rezeki itu. Saya juga tidak akan berahsia seperti kehamilan pertama memandangkan sudah mempunyai pengalaman dan lebih bersedia,” luahnya sambil tersenyum manis.





Komitmen

Beralih tentang perkembangan terkini kerjayanya, graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Layar Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu belum meninggalkan terus dunia lakonan, namun komitmen yang dicurahkan terhadap bidang pengacaraan memenuhi jadual waktunya.

Yana yang kini bergelar hos The Wow Show untuk siaran secara langsung selama lima hari seminggu kemudian bagi Bismillah Ad-Dhuha untuk baki dua hari lagi mengakui tidak punya ruang untuk menyelitkan tawaran lakonan.

Cabaran utama mengendalikan rancangan siaran langsung seperti The Wow Show bagi Yana bukanlah suatu perkara mudah, sebaliknya menuntut masa untuk mempersiapkan diri di hadapan penonton.

“Sebagai pengacara The Wow Show, saya menjual pelbagai jenis produk dan perlu meyakinkan pengguna bahawa ia berbaloi untuk dimiliki.

“Saya perlu mencuba dahulu setiap barangan yang mahu dijual kemudian membuat demonstrasi, jadi jadual harian saya memang padat.

“Ada juga tawaran berlakon yang datang tetapi banyak yang bercanggah dengan jadual pengacaraan. Lagipun saya tiada pembantu rumah.

“Ada masanya, Mateen terpaksa dibawa ke tempat kerja. Jika ada produksi yang okey dengan situasi ini, saya akan terima tawaran tersebut,” jelasnya panjang lebar.

Menganggap rezeki dalam industri hiburan luas dan terbuka, Yana tidak mahu tamak untuk merebut apa sahaja di depan mata. Dia mahu fokus kepada satu-satu tugasan yang lebih dahulu mengetuk jadualnya.

“Sejak muda lagi, saya suka mencuba setiap genap bidang dalam dunia seni. Jadi, saya tidak mahu dikenali sebagai pelakon semata-mata.

“Mungkin sekarang peluang lebih ke arah pengacaraan jadi lakonan saya serahkan kepada adik-adik lain yang masih baharu,” tuturnya menyimpul perbualan.

Sedar dengan peningkatan usianya, Yana Samsudin tidak mahu menunggu lama untuk menambah bilangan ahli keluarga dan mengharapkan doa daripada peminat semoga niatnya dipermudahkan.

Post a Comment

Previous Post Next Post