Inisiatif seni Nabil Ahmad


Jika mahu berbahas mengenai isu pelakon baharu yang berlakon persis sebatang kayu, barangkali perbahasan tersebut tidak akan pernah selesai.

Bukan hanya pelakon senior sahaja yang sering kali melampiaskan rasa kurang senang mereka saat diminta mengulas mengenai prestasi generasi pelapis di lokasi penggambaran, malah penonton juga dilihat sudah pandai membuat penilaian.

Hal sedemikian sejujurnya boleh menjejaskan industri lakonan tempatan, lebih-lebih lagi apabila stesen televisyen juga terlalu memberi muka kepada pelakon baharu yang tidak mempunyai banyak pengalaman untuk beraksi di layar kaca menerusi slot drama perdana.

Disebabkan permasalahan tersebut, pengacara dan pelawak, Nabil Ahmad mengambil inisiatif untuk menubuhkan sebuah institusi atau pusat kesenian buat pelakon-pelakon baharu menimba ilmu tanpa mengeluarkan belanja yang banyak.

Bakal digelar Workshop For Art Performance (Warp), Nabil yakin bahawa institusi tersebut bakal mengubah landskap industri lakonan terutama perspektif masyarakat terhadap pelakon baharu.

“Saya melihat industri lakonan tempatan semakin meriah dengan kehadiran generasi baharu. Namun, ada sesetengah daripada mereka yang tidak mempunyai asas atau ilmu dalam bidang ini. Tambahan pula, mereka masih muda.

“Disebabkan tiada pengalaman, kebanyakan daripada mereka menjadikan lokasi penggambaran sebagai tempat untuk menjalani latihan praktikal.

Hasilnya, apa yang dipersembahkan di hadapan kamera, tidak sampai ke jiwa penonton,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar Sedekad My Story Nabil Ahmad yang berlangsung di ibu negara baru-baru ini.

Tidak sekadar cakap kosong, pemilik nama lengkap, Ahmad Nabil Ahmad, 35, itu telah pun mengaturkan pertemuan dengan pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bagi membincangkan projek yang diusahakannya.





Ilmu

Pada masa sama, pengacara program MeleTOP itu juga telah menghubungi beberapa rakan artis yang dirasakan sesuai untuk mengisi kerusi tenaga pengajar di Warp.

“Saya akui negara kita mempunyai kemudahan untuk memberi ilmu secara teori kepada individu yang mahu bergelar pelakon. Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) contohnya telah banyak melahirkan graduan yang kompeten dalam bidang masing-masing.

“Bagaimanapun, kebanyakan pelakon sedia ada mungkin tidak akan pergi belajar dengan mereka yang bergelar pensyarah. Jadi, saya kumpulkan beberapa pelakon senior yang kita sendiri tahu dan yakin mampu memberi ilmu terbaik buat mereka yang ingin belajar,” katanya yang tertarik untuk melihat pengalaman dan ilmu pelakon senior ditumpahkan kepada pelakon baharu.

Mencadangkan nama-nama pelakon hebat seperti Fatimah Abu Bakar dan Que Haidar sebagai tenaga pengajar, Nabil turut meletakkan harapan agar penubuhan Warp yang dijangka direalisasikan pada tahun depan mampu memberi dimensi baharu terhadap bidang lakonan di negara ini.

“Tidak hanya pelakon baharu dapat menimba ilmu, aktor dan aktres berpengalaman juga dapat menggunakan peluang yang ada untuk perkara-perkara berguna.

“Selain sebagai tenaga pengajar, mereka juga akan diberi gaji tetap dan menerima caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk masa depan.

“Saya berasa sangat positif dengan projek ini dan berharap ia menerima sambutan menggalakkan apabila dibuka kepada umum pada masa depan,” kata Nabil yang berjanji untuk tidak mengenakan yuran pembelajaran yang terlalu mahal.

Ditanya mengenai perancangan sampingannya bersama Warp, Nabil menjelaskan, institusi tersebut menjadi pembekal bakat kepada beberapa rumah produksi yang memerlukan pelakon atau pelakon tambahan yang berkualiti.

“Cuba kita lihat produksi Hollywood. Mereka begitu teliti ketika membikin filem. Jika ada pelakon tambahan sekalipun, mereka akan pastikan bahawa babak yang melibatkan watak kecil itu berjaya sampai ke jiwa penonton.

“Saya mahu industri kita mengikut apa yang dilakukan produksi di Barat. Apabila pelakon tambahan atau pelakon sampingan berkualiti, ia dapat menjimatkan kos dan pada masa sama memberi peluang kepada mereka untuk bergelar pelakon utama,” katanya lagi.

Sedekad

Melihat kembali usahanya untuk membantu industri, Nabil memutuskan projek sedemikian kerana sedar bahawa rezeki yang diterima perlulah dikongsi dengan pihak yang memerlukan.

Pengacara program Gegar Vaganza itu berkata, dia sentiasa sedar asal usulnya kerana dari situlah dia belajar mengenai erti sebuah kehidupan.

“Banyak yang saya harungi sepanjang 10 tahun bergelar anak seni. Dahulu, saya bukan siapa-siapa. Saya hanyalah seorang lelaki penghantar surat yang hidup pun tidak menentu.

“Kalau boleh, saya mahu berkongsi apa yang ada. Rezeki itu milik Allah dan sebagai manusia, saya sekadar menerima bahagian saya. Selebihnya, perlu diberikan kepada mereka yang memerlukan,” katanya jujur.

Mahu berkongsi rezeki dengan peminat, Nabil menerusi program My Umrah Story bakal membawa peminatnya untuk sama-sama mengerjakan ibadah umrah pada bulan Ramadan nanti.

“Sejujurnya, saya berasa sangat teruja untuk mengerjakan ibadah umrah bersama peminat.

“Hal ini kerana, mereka tidak pernah berhenti menyokong kerjaya seni saya dan ini merupakan tanda penghargaan istimewa buat mereka,” katanya.

Ditanya, adakah dia akan menaja tiket percuma atau kos-kos tertentu buat peminat, Nabil berkata, perkara tersebut akan terjawab menerusi pengumuman yang akan dibuat pada 24 Mac ini.

“Semuanya saya akan beritahu pada tarikh berkenaan. Namun, kepada yang berminat untuk sama-sama mengikuti program tersebut, boleh menghubungi penganjur iaitu Urban Platinum Resources di talian 019-371 6252,” tutupnya.

Sempena ulang tahun ke-10 Nabil Ahmad dalam industri, pengacara dan pelawak itu bakal menubuhkan sebuah institusi lakonan iaitu Workshop For Art Performance (Warp) dan membawa peminat mengerjakan umrah menerusi program My Umrah Story.

Post a Comment

Previous Post Next Post