Kobar asmara wanita ini terhadap sang suami, Ashraf Sinclair tidak pernah terpadam waima sekelumit. Biar jarak beribu kilometer memisahkan, hati figura bernama Bunga Citra Lestari ini sentiasa berbunga gebu setiap kali menukilkan segenap rasa dan perasaan sebagai seorang isteri.
Benar, Bunga pernah mendedikasikan lagu berjudul Wanita Terbahagia terhadap Ashraf dan putera kesayangannya, Noah Sinclair yang kini menginjak usia lapan tahun. Usai satu dasawarsa berkongsi tilam dan bantal bersama Ashraf bukan saja disifatkan sebagai satu perjalanan yang indah kendatipun ia bukan satu kembara yang mudah.
Apatah lagi mahu dijadikan inspirasi buat setiap pasangan bahagia, apa lagi yang mahu diterjemahkan Bunga lantaran pahit manis kisah berumah tangga bukanlah sekadar perlu ditayangkan yang indah-indah semata-mata.
“Selepas sedekad, ia satu perjalanan yang indah apabila bertemu dengan seseorang yang saling melengkapi antara satu sama lain.
“Kelemahan saya merupakan kekuatan Ashraf dan begitu juga sebaliknya. Sejujurnya, saya gembira apabila lebih mengenali dan menjadi versi terbaik diri sendiri sebaik bersama Ashraf,” ungkapnya membuka bicara kepada Sensasi Bintang.
Persetan dengan kata-kata jahat betapa Bunga membuat keputusan yang salah untuk mendirikan rumah tangga ketika di kemuncak kerjaya hampir sedekad lalu, wanita yang mesra dengan panggilan BCL ini percaya waktu kini memudahkan segala-galanya baik sebagai isteri arakian menjadi ibu.
“Sudah tentu ada naik turun, tambahan pula kami sentiasa bersikap spontan. Jika mahu makan apa, kami sanggup terbang ke sana ke mari. Cuma, ia bukan lagi mudah untuk dilakukan apabila memiliki anak.
“Saya sentiasa menyokong suami dan menghormati kehidupan dan pendapat masing-masing. Setelah 10 tahun, ia menjadi lebih mudah kerana sudah tahu caranya. Apa yang penting, sentiasa jujur antara satu sama lain,” getusnya melentur tawa di bibir.
Pada masa sama, Bunga juga optimis ada saja jalan untuk mengecap bahagia kendatipun masing-masing terlalu sibuk merencana karier, sementelahan pula Ashraf kini jarang berada di Jakarta, Indonesia kerana lebih banyak projek lakonan di sini.
“Pada awalnya hubungan kami pun sememangnya jarak jauh, jadi sudah biasa. Kami hanya perlu memikirkan perasaan anak yang merindui bapanya, namun ia kini lebih mudah dengan dunia teknologi yang semakin canggih untuk kekal berhubungan.
“Bergantung kepada sesiapa yang lebih sibuk. Jika saya memiliki kelapangan waktu, saya yang akan ke sini dan begitu juga sebaliknya,” ceritanya lagi.
Sementelahan pula, cerita Bunga, jika masing-masing sibuk pun tidak berjumpa walaupun tinggal serumah di Jakarta.
“Rasa rindu itu bagus kerana kita lebih menghargai setiap masa bersama,” ujarnya menguntum senyum.
Tak seindah kisah dongeng
Menyoroti semula kisah hidupnya dalam tempoh 10 tahun, jujur Bunga akui betapa dia tidak pernah terfikir untuk berada sejauh ini.
“Saya hanya mahu menjadi penyanyi di kafe, namun tiba-tiba menjadi artis rakaman dan memiliki album, apatah lagi mahu menjejakkan kaki di Malaysia.
“Ia sesuatu yang perlu disyukuri sepenuhnya lantaran memiliki Ashraf dan Noah sememangnya cukup indah.
“Menjadi inspirasi pasangan di luar sana bukan bermakna segala-galanya okey, namun kami perlu berjuang untuk kekal dan berkorban bersama kerana tiada yang seindah kisah dongeng,” ceritanya lagi.
Tidak diamuk rasa lelah apabila sering kali ditebak bila lagi untuk menambah bilangan cahaya mata tidak kira peminat, media dan juga keluarga, Bunga percaya ia satu rezeki yang harus ditadah tangan ke langit sebagai tanda syukur tidak terhingga.
“Daripada awal pun serahkan saja kepada Allah, jika waktu tepat pasti ada. Manusia tidak akan pernah bersedia. Jika ada rezeki, mahu lagi seorang. Kalau boleh, perempuan pula kali ini. Wang persekolahan pun mahal kalau mahu ramai anak,” selorohnya lagi.
Konsert
Bakal berkongsi pentas bersama Anuar Zain dan Yuka Kharisma dalam konsert istimewa di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 28 April depan, tiada lain yang mengujakan Bunga kerana ia bersifat peribadi supaya boleh ditonton seluruh ahli keluarga Ashraf di sini.
“Ini kali pertama saya mengadakan konsert di sini, perasaannya cukup indah. Saya bakal mendendangkan sekurang-kurangnya 11 buah lagu, namun ia bukan sesuatu yang mudah kerana apa yang hit di Indonesia belum tentu popular di sini,” ceritanya.
Dianggap antara permata Indonesia yang menyinar di sini selain Kris Dayanti dan Datuk Rossa, Bunga sentiasa menerima komen positif seperti itu dengan lapang dada.
“Seperti mana Datuk Sheila Majid, Kris dan Rossa sentiasa menjadi idola kerana saya membesar dengan muzik mereka. Jadi, sudah tentu mahu menggapai apa yang mereka raih dalam kehidupan kerana asalkan ia seimbang dan membahagiakan diri sendiri, apa salahnya.
“Bukan apa, saya suka menyanyi sehingga menghembuskan nafas terakhir sekali gus menyentuh jiwa mereka yang meminati muzik saya. Dengan bantuan semua orang, insya-Allah segala-galanya dipermudahkan,” ungkapnya seraya menoktah bicara.