Zoey Rahman tak kisah dihentam


Pelakon Zoey Rahman melebarkan sayap dalam bidang nyanyian apabila bakal muncul dengan single Bilang I Love You, tahun ini.

Zoey atau Mohd Hairey Azhar Abd Rahman, 33, berkata lagu itu sebagai syarat untuk terus mengembangkan bakat seni di Indonesia.

“Lagu itu siap dirakam dua tahun lalu. Ketika itu, saya terbabit dalam beberapa projek di Indonesia. Jadi, mereka menyarankan saya rakam lagu untuk tujuan promosi di sana.

“Kiranya, menjadi satu bonus bagi seseorang hos atau pelakon di sana jika memiliki single. Kalau kebetulan ada program dan sesi ramah mesra, saya boleh menyanyikan lagu itu.

“Dalam erti kata lain, peminat lebih mudah mengenali saya dengan lagu. Walaupun bidang nyanyian bukan kekuatan saya tetapi saya buat dan turutkan saja,” katanya kepada Harian Metro.

Zoey yang juga pelakon drama Mat Rukun tidak kisah jika single ciptaan Firman Priya Band nyanyiannya itu dikecam dan dikritik peminat.



“Saya reda dan sedia menerima apa jua maklum balas diberikan. Diakui saya tidak boleh menyanyi dan buta muzik. Malah, saya dengar nyanyian sendiri pun rasa geli.

“Namun, apabila saya perdengarkan kepada Ernie, dia kata lagu itu okey cuma saya perlu lebih banyak latihan. Malah, sebelum merakamkan lagu, saya mengikuti kelas vokal Ernie,” katanya.

Menurut Zoey, baik atau buruk kritikan diberikan dia tetap menganggap satu bentuk publisiti.



Zoey turut mengakui dia masih tidak berkeyakinan menyanyi secara langsung jika terdapat permintaan daripada mana-mana pihak.

“Saya tahu kemampuan diri. Menyanyi dan menghasilkan single ini pun ibarat saya melawan ketakutan diri.

“Kalau ada minta nyanyi ‘live’ nanti, terus terang saya katakan memang ‘ke laut’,” katanya.

Lagu Bilang I Love You itu buat pertama kalinya diperdengarkan sempena sambutan hari jadi ke-33 Zoey awal bulan lalu.

Post a Comment

Previous Post Next Post