Selepas kakaknya, penyanyi Amira Othman melancarkan single terbaru Mimpi Indah pada 31 Januari lalu, kini giliran Irfan Haris pula.
Irfan, 17, mempertaruhkan lagu Hilang hasil ciptaannya sendiri sebagai single ketiga sesudah Redha dan Pesan.
Berbicara mengenai single itu, Irfan berkata dia sekadar mahu mengembangkan bakat sebagai komposer.
“Bagaimanapun, Hilang bukan untuk bersaing dengan kakak.
“Secara kebetulan, selepas kakak melancarkan single keempatnya, Mimpi Indah, rezeki saya pula tiba.
“Ini peluang terbaik dan bukan untuk mewujudkan persaingan adik-beradik,” katanya.
Irfan yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini menjelaskan dia dan Amira saling menyokong.
Menurut Irfan, mereka memiliki minat sama dan dunia seni. Jadi, selagi ada peluang jangan takut mencuba.
Berbicara mengenai single terbaru, Irfan mengakui ia cukup istimewa kerana dia bekerjasama dengan abangnya, Haikal Iskandar.
“Saya dan abang dapat ilham menghasilkan lagu ini ketika bermain piano. Abang yang dapatkan melodi dulu dan kami menggubahnya bersama.
“Single Hilang ini juga diakui mempunyai nilai sentimental tinggi di hati saya kerana ia ciptaan adik-beradik. Saya teruja memperkenalkannya kepada peminat,” katanya.
Anak bongsu dalam keluarga ini berharap single barunya, Hilang akan berjaya menambat hati pendengar muzik dan mesra radio.
Penyanyi remaja kian popular ini berkata dia juga tidak sangka dua single terdahulunya, Redha dan Pesan diterima baik peminat
Mengutamakan pendidikan, Irfan berkata dia tiada masalah membahagikan masa di antara karier dan tuntutan sebagai pelajar.