Tahun 2018 membuka laluan lebih luas buat penyanyi dari Singapura, Sufi Rashid apabila bakal muncul dengan dua single baru tidak lama lagi.
Bagaimanapun, Sufi mengambil keputusan untuk tidak terlalu mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai buah tangan terbarunya itu kerana ia masih dalam proses pembikinan.
“Kalau ikutkan hati, saya mahu berkongsi semua maklumat mengenai dua lagu baru ini, tetapi adalah lebih baik kongsikan apa yang perlu sahaja kerana kedua-dua single itu dalam proses pembikinan.
“Saya bimbang jika terlalu banyak bercerita nanti tiba-tiba projek itu tersangkut di tengah jalan. Apa yang saya boleh katakan, lagu duet dengan penyanyi lain akan terlebih dahulu keluar di pasaran. Single solo pula akan menyusul selepas Aidilfitri nanti,” katanya.
Selain itu, jadual Sufi juga agak padat kerana terbabit dengan jelajah IM4U di beberapa negeri.
Dia sudah lama menyimpan hasrat berjumpa peminat di seluruh negara dan ini peluang keemasan yang tidak boleh ditolak.
“Saya terbabit dengan beberapa siri jelajah IM4U bermula Mac ini. Apabila tawaran ini datang, saya terus bersetuju. Sudah lama saya mengimpikan untuk bertemu peminat dari setiap negeri di Malaysia.
“Kesempatan ini membolehkan saya untuk lebih masa dengan peminat. Selain itu, ia juga dapat membantu mengembangkan lagi kerjaya nyanyian di sini,” katanya.
Sementara itu, kemelut antara Sufi dan keluarganya sekali lagi menjadi bualan hangat apabila ibunya mengemas kini status bernada marah di Facebook, baru-baru ini.
Walaupun tidak menyebut nama, rata-rata netizen beranggapan status berkenaan ditujukan untuk Sufi.
Ditanyakan perkara itu, juara Akademi Fantasia 2015 (AF2015) ini berkata, tidak ada apa-apa yang perlu diperkatakan kerana kebenaran itu adalah antara dia dan Allah.
Menurut Sufi, apa saja cerita yang keluar daripada mulutnya pasti ada segelintir netizen yang akan terus mempertikaikan dan memandang negatif.
Dalam situasi ini, tidak banyak yang boleh dikongsikannya.
“Dulu, saya melenting juga apabila ada komen tidak baik tetapi lama-kelamaan saya sendiri terfikir, kenapa perlu berikan perhatian kepada mereka yang sengaja mengapi-apikan?
“Alhamdulillah, ramai yang faham dan memberikan saya kata-kata semangat dan nasihat. Biarlah mereka terus berkata. Saya tidak mahu ambil peduli,” katanya.
Sering kali dikaitkan dengan hal membabitkan keluarga, Sufi percaya, isu itu sedikit pun tidak menjejaskan kerjayanya sebagai penyanyi.
“Lumrah anak seni, walaupun belum popular sudah tentu perkara peribadi turut mendapat perhatian. Saya tidak rasa isu ini memberikan kesan tidak baik kepada kerjaya.
“Lainlah kalau saya balas balik di sosial media. Saya rasa kalau buat seperti itu kerjaya bukan hanya terjejas tetapi terus mati. Orang akan label saya macam-macam,” katanya.
Katanya, dia lega kerana peminat masih menyokong kerjayanya tanpa melihat pada masalah peribadi.
Sufi juga berterima kasih dan lega melihat masih ada yang menghormati privasinya.