Datuk Profesor A Razak Mohaideen
Belum pun seminggu ditayangkan, filem adiwira, Badang, arahan Datuk Profesor A Razak Mohaideen terus diperkatakan.
Tidak patah semangat dengan situasi yang berlaku, Razak Mohaideen bagaimanapun merasa tidak adil apabila ada pihak yang mengecilkan filem ke-40 arahannya itu tanpa menonton terlebih dahulu.
"Sebagai orang seni, memang perkara ini adalah asam garam dan risiko yang perlu ditanggung.
"Malah memang sesuatu yang lumrah untuk orang mengecam dan mengkritik.
"Bagi saya, adalah tidak adil mereka yang memperkecilkan filem ini tidak menonton dan mengkritik berdasarkan andaian," katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Razak Mohaideen, Badang dihasilkan untuk sasaran tontonan kanak-kanak dan keluarga.
"Tentunya ada sebab kita menghasilkan kandungan untuk cita rasa kanak-kanak dan saya percaya yang memberi pandangan itu bukan kanak-kanak.
"Tambah lagi apabila filem ini bertembung dengan filem Black Panther yang dihasilkan dengan nilai yang jauh lebih tinggi.
"Sebagai penerbit, tentu kami tidak akan memilih tarikh sama jika kami tahu ada filem Marvel yang ditayangkan serentak," ujarnya.
Tidak patah semangat dengan situasi yang berlaku, Razak Mohaideen berkata, dia akan terus berkarya sekiranya ada rezeki.
"Kalau saya patah semangat, dah lama saya berhenti.
"Every bad publicity is good publicity. Adalah menakutkan kalau orang tidak langsung bercakap mengenai filem kita," akhirinya.
Filem Badang mengisahkan Bad kehilangan ibunya, Mak Siah, yang terbunuh dalam satu kekecohan selepas gagal menyediakan wang perlindungan kepada Geng Taiko.
Sebelum kematian ibunya, Mak Siah sempat bercerita mengenai kisah silam Bad bahawa beliau adalah seorang anak istimewa, hadiah kepada Mak Siah dan Pak Tam yang tidak mempunyai zuriat, dan bakal menjadi menjadi seorang yang berkuasa satu hari nanti.
Pada usia Bad menyambut hari lahirnya yang ke 25 tahun, beliau menyedari kuasa-kuasa luar biasa mula berkembang di dalam dirinya apabila beliau memegang pohon buluh, Bad mempunyai kuasa ghaib, kelajuan dan kekuatan luar biasa.
Sarip, teman baik Bad, melatih dan membantu Bad dalam mencapai kuasa luar biasa yang maksimum dalam dirinya. Bad mula menggunakan nama ‘Badang’ sebagai ego alter beliau.
Dengan bantuan Sarip, ‘Badang’ mula muncul sebagai adiwira membantu golongan yang memerlukan termasuk mencari Geng Taiko yang menyebabkan kematian Mak Siah.
‘Badang’ mulai jatuh cinta dengan Tisha, adik tiri kepada Abang Taiko yang juga ketua kepada Geng Taiko. Akhirnya timbul dilema dalam diri ‘Badang’, sama ada beliau memilih cinta atau menuntut bela di atas kematian ibunya.
Menampilkan Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman selaku pelakon utama, filem ini turut dijayakan Fasha Sandha, Fauzi Nawawi, Fareez Fauzi dan Azhari Zain.