Pelakon Shukri Yahaya memang cukup dikenali sebagai seorang yang lasak dan sangat menggemari sukan ekstrem.
Selain aktif dengan aktiviti perlumbaan kereta, pelakon yang kini hangat dengan drama terbaru lakonannya, Tiada Arah Jodoh Kita, mengakui punya hobi baru iaitu meluncur ombak.
Minat tersebut bermula selepas Shukri menjalani penggambaran filem Surf The Love yang bakal menemui penonton pada 22 Februari ini.
“Saya memang meminati sukan lasak, namun tidak pernah terlibat atau pun mencuba sukan luncur ombak sebelum ini sehinggalah terlibat dalam filem Surf The Love.
“Ketika proses pembikinan filem ini saya banyak belajar tentang aktiviti luncur ombak malah turut berpeluang melakukan beberapa aksi di lokasi popular aktiviti ini iaitu di Bali bersama dengan mereka yang profesional dalam bidang ini.
“Bila tengok ombak tinggi memang akan ada rasa takut, tapi bila kita dah mula main memang ia satu aktiviti yang sangat menyeronokkan dan dapat memberi kepuasan kepada diri sendiri,” ujarnya teruja.
Disebabkan minat itu juga, Shukri sanggup membeli papan luncur sendiri untuk meneruskan minat tersebut dan menjadikan ia sebagai hobi barunya.
“Dulu saya main dengan papan luncur kawan-kawan, tapi sekarang sebab minat punya pasal saya sanggup beli untuk memudahkan saya melakukan aktiviti ini.
“Tak mahal pun, sekitar RM1500 sahaja. Saya beli papan luncur yang biasa-biasa sahaja untuk orang yang baru nak berjinak-jinak dengan sukan ini macam saya.
“Masa buat shooting filem ini saya tidak ada masa nak cuba betul-betul kerana waktu itu sedang bekerja, jadi baru sekarang boleh luangkan lebih banyak masa untuk aktiviti ini,” katanya.
Meskipun ia merupakan sukan yang mencabar dan terdedah kepada risiko, kata Shukri, isterinya, Tya Adnan tidak pernah menghalang minatnya itu.
“Dia OK saja dan tidak pernah menghalang apa yang menjadi minat saya, malah sentiasa menyatakan sokongannya selagi perkara itu tidak memudaratkan saya.
“Jadi kalau ada masa mungkin saya akan kembali Tioman untuk cari ombak dan lakukan aktiviti ini,” kata Shukri yang memegang watak sebagai peluncur ombak bernama Billy dalam filem terbarunya ini.