Ardell Aryana Kenapa tak boleh respek penghijrahan saya?


Selepas beberapa bulan tampil dengan imej bertudung, pelakon kecil molek, Ardell Aryana mengakui hidupnya kini lebih baik daripada apa yang dilaluinya sebelum ini.

Jika pada awal penghijrahannya, dia kehilangan banyak tawaran berlakon, malah teman-teman rapat yang mula menjauh, kini berlaku sebaliknya.

“Pada bulan-bulan awal tampil dengan imej bertudung, saya akui memang berdepan dengan saat-saat yang cukup sukar di mana ramai yang tidak dapat menerima perubahan saya yang dikatakan berlaku secara drastik.

“Saya tidak tahu pengalaman dilalui selebriti lain ketika mereka baru bertudung, tetapi apa yang dilalui oleh saya sangat mencabar sehingga saya rasa hanya ada keluarga sahaja yang menyokong.

“Namun alhamdulillah saya dapat melalui cabaran itu dengan sebaiknya kerana saya teguh berpegang bahawa saya berubah kerana hidayah ALLAH dan bukan kerana sesiapa atau sebab apa-apa,” akuinya jujur.

Ardell yang ditemui ketika majlis pratonton filem terbaru lakonannya, Surf This Love juga meluahkan rasa kesalnya apabila masih ada yang menganggap dia tampil dengan imej bertudung kerana mahu menutup segala kontroversi yang pernah melandanya sebelum ini.



“Walaupun apapun yang saya katakan atau jelaskan, sehingga kini masih ada yang kata saya bertudung sebab nak menutup mulut-mulut orang yang gelarkan saya pengkid atau lesbian sebelum ini.

“Hakikatnya mereka di luar sana tidak berada di tempat saya dan tidak pernah tahu apa yang saya lalui. Jadi biarlah ALLAH sahaja yang tahu.

“Dulu saya sentiasa mengelak untuk memberi komen tentang perkara-perkara begini, tapi sekarang saya sudah kisah dengan apa sahaja yang orang nak perkatakan kerana saya tahu apa yang saya lakukan,” tegasnya yang kini merupakan duta Abaya.

Disebabkan tohmahan tersebut, Ardell mengakui sehingga kini masih diganggu golongan cinta sejenis yang cuba untuk menarik perhatian perhatiannya.



“Saya pun pelik juga walau kini dah bertudung, masih juga ada golongan ‘sejenis’ yang cuba mendekati dan mengganggu saya.

“Kalau buka DM (mesej di Instagram), ada sahaja golongan ini yang cuba menarik perhatian saya dengan pelbagai cara.

“Tidak kurang juga yang persoalkan kenapa saya pakai tudung, malah yang paling lucu bila ada perempuan yang nak jadi ‘abang-abang’ bila saya dah bertudung.

“Jujurnya saya rasa sangat kecewa dan tertanya-tanya kenapa mereka tidak boleh respek penghijrahan saya, malah masih berterusan menganggu saya dengan perkara-perkara sebegini ,” luah Ardell.

Post a Comment

Previous Post Next Post