Sebut sahaja nama negara Iran, pastinya perkara pertama yang terlintas dalam fikiran ialah sebuah kawasan bergolak dan tidak selamat untuk dikunjungi pelancong.
Atas sebab itu, pengarah terkenal Bernard Chauly mengambil risiko menghasilkan sebuah karya berkaitan Iran kerana percaya terdapat keindahan yang tidak diketahui oleh masyarakat tentang negara tersebut.
Turut digarap Zabrina Fernandez merangkap pengarah bersama, terhasil sebuah filem bertajuk Janji Zehan Lehzeye Bi Payan yang menampilkan Fazura dan pelakon baharu dari Iran, Amir Rezazadeh selaku tunjang utama.
“Saya sudah lama tertarik dengan Iran terutama dengan adat dan budayanya yang unik dan berbeza dengan kita. Malah di sebalik persepsi negara teluk yang dilanda peperangan, Iran sebenarnya sebuah destinasi pelancongan yang indah serta sangat selamat.
“Menerusi Janji Zehan, saya cuba tampilkan kehidupan dua insan yang berasal daripada adat yang berbeza dan cuba untuk saling menerima kelebihan serta kekurangan yang ada,” katanya pada majlis tayangan perdana Janji Zehan untuk Astro First Eksklusif di GSC, The Gardens, baru-baru ini.
Syukur
Janji Zehan mengisahkan Zehan lakonan Fazura yang baru bernikah dengan Arman (Amir) dan pulang ke Shiraz, Iran iaitu kampung suaminya untuk berbulan madu serta berkenalan dengan keluarga di sana.
Sepanjang tempoh percutian, pasangan itu berdepan pelbagai konflik dalam usaha menyesuaikan diri sebagai suami isteri dan mengatasi jurang perbezaan bahasa, adat serta budaya.
Bagi Fazura pula, pengalaman berlakon di tanah selama dua minggu di Iran banyak mengajar dirinya untuk lebih menghargai kemakmuran dan kebebasan yang ada di Malaysia.
Berkongsi antara kenangan yang paling tersemat dalam fikirannya, pemilik nama Nur Fazura Sharifuddin berkata, kebanyakan masa di Iran, kru produksi hanya dihidangkan dengan salad, telur rebus dan sayur-sayuran sebagai makanan utama.
Mengenang kembali waktu tempoh tersebut, Fazura, 35, menjadi tambah bersyukur kerana dilahirkan di Malaysia dan berpeluang merasai pelbagai jenis nikmat termasuk makanan.
“Saya bukan merungut cuma mahu berkongsi betapa bertuahnya menjadi warganegara Malaysia dan ia juga mengajar saya erti kesabaran dan menghormati budaya luar.
“Sewaktu di sana juga, pandangan skeptikal saya tentang Iran berubah dan mahu kembali lagi ke sana untuk melancong dengan suami,” jelasnya lagi.
Tambah Fazura, sepanjang menjalani penggambaran, dia dan Amir perlu sentiasa menjaga tingkah laku dan mengelak daripada berlaku sebarang persentuhan kerana ia merupakan perkara yang dilarang di Iran.