Alvin Chong mendaki tuah


Menurut Alvin Chong, Tahun Anjing yang jatuh pada Kalendar Lunar Cina tahun ini merupakan tempoh percubaan terbaik baginya untuk mendaki tuah.

Hal ini kerana mengikut kepercayaan masyarakat Cina, Tahun Anjing bakal memberi impak positif terhadap pengurusan pelaburan, karier dan perniagaan, terutama bagi mereka yang lahir pada Tahun Kuda.

“Tahun ini dikatakan membawa sinar cerah buat saya yang lahir pada Tahun Kuda untuk melabur dan memulakan sesuatu yang baharu.

“Justeru, saya merancang untuk memulakan beberapa bisnes di samping melebarkan karier nyanyian dan lakonan ke peringkat yang lebih tinggi,” tutur Alvin membuka perbualan.

Mengikut apa yang dibutirkan, banyak yang direncanakan oleh lelaki berusia 27 itu. Antaranya, Alvin merancang untuk membuka sebuah restoran makanan Cina dalam masa terdekat.



Bisnes

“Negeri kelahiran saya, iaitu Pulau Pinang sering dijadikan destinasi pilihan bagi penggemar makanan lokal. Justeru, saya bercadang untuk membawa makanan Cina autentik dari sana untuk kemudahan khalayak mendapatkannya di ibu kota.

“Lebih istimewa, restoran tersebut bakal dijadikan sebuah restoran halal dan ia sekaligus memudahkan peminat saya yang beragama Islam untuk menikmati hidangan tersebut tanpa sebarang keraguan,” katanya.

Biarpun meletakkan perniagaan kulinari sebagai prioriti gawang bisnesnya, Alvin turut tidak melupakan bidang seni yang selama ini telah banyak membuka banyak peluang kepadanya bergerak sebagai pelakon dan penyanyi.

Mengikut apa yang telah disusun dalam takwim kariernya yang kini dikelolakan oleh Universal Music Malaysia, Alvin berhasrat untuk menubuhkan sebuah rumah produksi yang menumpukan pembikinan kandungan video secara digital.

“Sejak enam tahun lalu, saya aktif memuat naik kandungan digital dalam YouTube. Antaranya video lagu-lagu saduran dan juga video blog (vlog).

“Melihat pada pembangunan teknologi digital yang semakin pesat, saya berasa sekarang adalah peluang yang terbaik untuk menubuhkan sebuah rumah produksi yang memfokuskan penerbitan video secara atas talian,” katanya yang turut menerima anugerah 100 Most Influential Creators In Malaysia oleh GetCRAFT Malaysia pada Januari lalu.

Alvin berkata, anugerah yang turut menyaksikan beberapa penerima dalam kalangan selebriti seperti Atilia Haron dan Sazzy Falak itu menjadi pemangkin kepadanya untuk terus menghasilkan video-video berkualiti.

“Selari dengan keinginan saya untuk membangunkan sebuah produksi, anugerah ini memberi lebih semangat untuk menggarap lebih banyak karya-karya berguna kepada masyarakat,” katanya lagi.



Luar negara

Dua sasaran terbesar Alvin dalam bidang perniagaan barangkali mudah untuk dicapai. Namun, apa yang lebih merisaukan pelakon filem Huat The Fish itu adalah percubaannya untuk mencipta nama di negara orang.

Menamakan Singapura, Indonesia dan Filipina sebagai tiga lokasi antarabangsa untuk melebarkan sayap sebagai penyanyi dan juga pelakon, Alvin bagaimanapun meletakkan harapan yang tinggi terhadap hasrat hatinya itu.

“Mengikut perancangan yang telah diaturkan oleh Universal Music Malaysia, saya akan melalui beberapa kerjasama dengan artis luar negara.

“Pihak pengurusan sedang berbincang dengan pihak Virgoun dan Papinka dari Indonesia selain seorang artis popular dari Filipina.

“Kami juga dalam perbincangan dengan pihak penerbitan di Singapura untuk sebuah drama berbahasa Inggeris di sana,” katanya.

Melihat kerancakan kerjaya seninya kini, Alvin mengakui bersyukur kerana diterima baik oleh khalayak, terutamanya kelompok peminat yang berbangsa Melayu selepas muncul buat pertama kali menerusi drama Suri Hati Mr. Pilot sekitar dua tahun lalu.

“Saya sedar yang hala tuju lakonan saya telah banyak berubah berbanding dahulu. Kawan-kawan juga menyifatkan saya sebagai seorang pelakon yang ada nama dalam industri ini. Bagaimanapun saya tidak mahu dilabel sebegitu.

“Banyak yang harus dipelajari dan ada pelbagai watak yang ingin saya jayakan. Saya tidak mahu terlalu cepat naik kemudian pantas juga dilupakan orang,” katanya yang baru diberi tanggungjawab memegang watak lelaki Cina mualaf bernama Hilman Yong Abdullah menerusi drama Awak Suka Saya Tak?.

Diminta mengulas mengenai drama yang bakal diterbitkan dalam edisi Hari Raya Aidilfitri itu nanti, Alvin berkata, naskhah tersebut disifatkan sebagai antara drama paling sukar untuk dijayakan.

“Maklumlah, saya perlu belajar tentang al-Quran dan beberapa rutin orang beragama Islam. Namun, ia tidak menjadi masalah kerana watak tersebut dijadikan sebagai kayu pengukur kepada orang luar bahawa saya mampu membawakan karakter yang pelbagai,” katanya lagi.

Keluarga

Menyentuh mengenai sambutan Tahun Baru Cina, seperti sebelum ini, Alvin lebih mengutamakan keluarga berbanding dirinya.

“Sebagai anak sulung, tanggungjawab saya besar.

“Keluarga pula bukan orang senang, jadi saya sebagai abang yang akan mengambil alih tugas ibu dan ayah tidak kira perayaan apa sekalipun,” katanya jujur.

Terang Alvin, tiada apa yang lebih menggembirakan apabila melihat keluarganya ceria pada Tahun Baru Cina.

“Saya membawa keluarga keluar ke pusat beli-belah sehari sebelum perayaan.

“Mereka tidak minta banyak, cukup dengan barang-barang seperti pakaian dan perabot yang membolehkan mereka menyambut tahun baru dengan selesa,” katanya yang hanya berada di Pulau Pinang selama empat hari dan kembali semula ke Kuala Lumpur pada Sabtu.

Ditanya adakah dia sering menerima soalan tentang jodoh oleh sanak-saudara, sama seperti kaum Melayu ketika pulang berhari raya, ini jawapan Alvin.

“Selalu juga menerima soalan begitu. Setiap kali pulang ke kampung, mereka akan tanya saya sudah berpunya atau belum. Setiap kali itu juga saya harus terangkan yang saya masih solo dan mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap karier.

“Agak bosan juga menerima pertanyaan sedemikian, tetapi, saya rasa setiap keluarga tidak kira agama dan bangsa juga melalui situasi yang sama,” katanya sambil tertawa.

Sempena kedatangan Tahun Baru Cina, Alvin Chong menanam hasrat untuk mengembangkan kariernya dalam bidang seni dan juga mencuba nasib membina sebuah empayar dalam bidang perniagaan.

Post a Comment

Previous Post Next Post