Faizal Tahir pilih haluan sederhana


Penampilan Faizal Tahir di kaca televisyen mungkin tidak serancak dahulu, sementelah dia kini lebih selesa mengambil pendekatan sederhana berbanding terlalu mengejar populariti.

Menurutnya, menghasilkan karya berkualiti di samping terlibat dengan aktiviti amal seperti misi kemanusiaan antara rutin yang sering dilakukan, selain meluangkan waktu bersama keluarga.

Pada masa sama, penyanyi berusia 37 tahun itu berpendapat, penglibatan dengan kegiatan amal bukan sekadar memenuhi tuntutan tanggungjawab sosial dan saham akhirat tetapi mengajarnya tentang erti mensyukuri nikmat Allah.

Bapa kepada lima orang cahaya mata itu juga berkongsi pembikinan album baharunya yang dijadualkan berada di pasaran pada penghujung tahun ini.

Mengharapkan perancangannya berjalan lancar, Faizal berusaha memastikan album baharunya itu terkandung lagu yang mempunyai nilai rasa cinta kepada negara.

Bukan berbentuk patriotisme tetapi ia lebih menjurus ke arah mesej positif tentang semangat kecintaan terhadap tanah air.



KOSMO!: Tahniah diucapkan atas kejayaan lagu Sejati yang dipersembahkan oleh vokalis Caliph Busker, Azmi berjaya meraih kedudukan naib juara pada Anugerah Juara Lagu Ke-32 (AJL32). Bagaimanakah reaksi Faizal terhadap kemenangan itu?

FAIZAL TAHIR: Saya berasa gembira dan bersyukur serta berterima kasih kepada Azmi yang telah membuat persembahan dengan begitu baik sekali.

Sewaktu acara tersebut berlangsung, saya ada bersama keluarga dan tidak mengetahui lagu Sejati berjaya menduduki tempat kedua sehingga diberitahu oleh seorang kenalan. Secara peribadi saya telah bertemu dengan Azmi dan berasa kagum dengan kemampuannya mendendangkan lagu terbabit dengan baik.

Sejujurnya, saya tiada meletakkan sebarang harapan untuk menang kerana bimbang akan berasa kecewa sekiranya apa yang diharapkan tidak berjaya.

Apakah reaksi anda sekiranya selepas ini AJL meletakkan syarat agar penyanyi asal perlu membuat persembahan sekiranya ingin bertanding?

Bagi saya, pertimbangan tersebut merupakan keputusan mereka. Secara peribadi saya tiada sebarang masalah dan menghormati perkara berkenaan kerana tiada apa yang boleh dilakukan.

Saya tidak akan menyertai pertandingan terbabit dan berterima kasih atas kesudian mereka membenarkan penyanyi lain mempersembahkan lagu yang dipertandingkan.



Justeru, apa perancangan kerjaya nyanyian anda buat masa ini?

Saya akan terus berkarya selagi Allah masih memberi peluang dan ilham untuk menghasilkan lagu buat khalayak. Secara peribadi, saya cintakan muzik dan tidak mungkin akan mengambil keputusan untuk mengundur diri daripada bidang ini.

Saya kini lebih selesa mengambil pendekatan secara sederhana berbanding terlalu mementingkan populariti, apatah lagi penghormatan dalam penganugerahan.

Cukup sekadar khalayak menerima karya saya dan menyukai selain memberi kesan kepada mereka. Dalam pada itu, disebabkan kekangan waktu dengan penglibatan aktiviti kemanusiaan, saya terpaksa menangguhkan perancangan untuk menghasilkan album dalam tempoh masa terdekat.

Sekiranya semua berjalan lancar, album tersebut akan menemui peminat pada penghujung tahun ini. Selain itu, saya juga tertarik hati untuk menghasilkan lagu berbentuk kecintaan terhadap tanah air berikutan baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah berkongsi lirik lagu Negaraku di Twitter.

Ia suatu perkara yang tidak diduga dan saya berasa seperti seorang anak kecil yang melonjak kegembiraan. Selain menghasilkan dan menyanyikan lagu tersebut, Negaraku juga merupakan ciptaan Ezra Kong dan Mike Chan, manakala dinyanyikan bersama Joe Flizzow, Altimet serta SonaOne.

Adakah perkembangan tersebut bermaksud anda sedang menghasilkan sebuah lagu berbentuk patriotisme?

Saya enggan mengklasifikasikan ia sebagai patriotisme kerana bimbang lagu terbabit hanya diputarkan pada acara tertentu. Jadi, saya ingin menghasilkan ia seperti kebanyakan lagu komersial lain tetapi mempunyai mesej kecintaan terhadap tanah air.

Anda ada menyebut tentang aktiviti kemanusiaan, bolehkah kongsikan mengenai perkara tersebut?

Saya melibatkan diri dengan aktiviti kebajikan bukan sekadar untuk menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat tetapi ia turut memberi kesedaran kepada diri sendiri tentang mensyukuri nikmat Allah.

Saya juga akan berangkat ke Bangladesh bagi membantu pelarian Rohingya menerusi mini Faith For Rohingya. Ia merupakan kerjasama antara IamFaithman dengan badan bukan kerajaan (NGO) Brunei, Hand4Hand dan kami akan berangkat pada 5 hingga 8 Mac depan.

Boleh kongsikan jenis bantuan yang akan diberikan dan adakah anda akan mengabadikan misi tersebut sebuah dokumentari?

Menerusi misi tersebut, kami berusaha membantu sekurang-kurangnya 1,000 keluarga dengan memberi bantuan berbentuk bekalan makanan, keperluan asas harian dan sokongan moral.

Kami akan menggunakan medium muzik dan membuat persembahan nyanyian dalam usaha memberikan semangat serta sokongan memandangkan kebanyakan mereka mengalami trauma dan tekanan emosi.

Perancangan untuk menerbitkannya dalam bentuk dokumentari ada tetapi saya ingin mengumpul bahan untuk menjadikannya lebih menarik dan memberi kesedaran.

Post a Comment

Previous Post Next Post