Pelakon dan pelawak, Datuk Afdlin Shauki menerusi yayasan miliknya, Yayasan Afdlin Shauki (YAS) bakal menjayakan sebuah misi bantuan untuk membantu pelarian etnik Rohingya yang kini berada di kem pelarian Cox’s Bazar, Bangladesh.
Misi Bantuan Pelarian Rohingya (Rohingya Emergency Relief) tersebut akan mengadakan lawatan ke kem berkenaan pada 17 hingga 20 Mac depan.
Selain YAS, misi tersebut turut mendapat kerjasama daripada pertubuhan Yayasan Kubra dan sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Into Taqwa.
Menyedari isu pelarian Rohingya adalah isu serius, ia menuntut tiga pertubuhan tersebut menjalin kerjasama mengumpul dana bagi membantu mangsa-mangsa yang memerlukan.
Menurut Afdlin, misi tersebut menyasarkan kutipan sebanyak RM300,000 dan daripada jumlah itu, ia akan digunakan untuk membina keperluan asas pelarian di sana seperti tandas, tempat mandi wanita, surau, sekolah dan perigi.
“Kali pertama saya menyertai misi ke Bangladesh adalah pada November tahun lepas. Saya melihat kesusahan dan banyak kekurangan keperluan masyarakat di sana. Lebih sejuta orang berkumpul di kem yang tidak dapat menampung jumlah mereka.
“Menerusi kutipan dana yang terkumpul, kami akan bekerjasama dengan pihak NGO di sana untuk membantu membina keperluan mereka,” katanya pada sidang media Misi Bantuan Pelarian Rohingya yang berlangsung di Comedy Planet, Great Eastern Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Rakan selebriti
Rombongan itu juga turut disertai oleh rakan artis seperti Datuk Zainal Abidin, Adibah Noor dan Mizz Nina. Pada masa sama, Afdlin juga membuka peluang kepada rakan-rakan artis lain untuk menyertai misi tersebut supaya mesej kesedaran tentang isu etnik Rohingya dapat disalurkan kepada peminat mereka.
Sementara itu, bagi pengasas Into Taqwa, Fara Othman, penganjuran misi tersebut sedikit sebanyak dapat membuka ruang yang lebih besar untuk pertubuhan itu mengembangkan misi bantuan kemanusiaan yang dilakukan.
Sejak ditubuhkan pada 2012, objektif Into Taqwa lebih ke arah misi bantuan yang berlaku di Gaza, Palestin. Namun, ruang kesedaran itu terbuka luas apabila menyedari isu masyarakat Rohingya lebih kritikal saat ini.
“Besar hasrat kami untuk menyalurkan bantuan kepada masyarakat Rohingya yang dinafikan hak di negara sendiri. Insya-Allah, pemergian rombongan ini nanti akan memfokuskan kepada keperluan wanita, khususnya seperti keperluan dan barangan solat.
“Malah, misi ini juga diharapkan dapat membina kesedaran yang lebih besar terhadap isu yang menimpa etnik Rohingya agar hak mereka terbela untuk mendapatkan kebebasan hidup sama seperti orang lain,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Zainal Abidin memberitahu, beliau berasa terpanggil untuk menyertai misi tersebut selepas menyedari kemewahan yang melimpah ruah dalam hidupnya tidak akan bererti jika tidak disalurkan kepada golongan yang memerlukan.
“Hidup saya tidak pernah kurang daripada kesenangan dan kemewahan. Saya sedar sebarang bentuk kemewahan juga merupakan satu ujian daripada Allah.
“Jadi, untuk mengurangkan ‘beban’ yang ditanggung itu, saya pilih cara ini. Saya bersyukur kerana Tuhan membuka langkah kaki saya ke arah jalan-Nya untuk membantu mereka yang memerlukan.
“Insya-Allah, saya mahu menginfakkan apa yang ada untuk membina surau di sana bagi memudahkan pelarian mengerjakan ibadah,” ujarnya.