Min Yasmin Nama mekar di Filipina


Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Bagi penyanyi bersuara merdu, Min Yasmin, keputusannya untuk mencabar diri menjual bakat di negara jiran, Filipina akhirnya membuahkan hasil memuaskan apabila dia disambut dengan tangan terbuka oleh peminat di sana.

Bermula dengan album kolaborasi bersama seorang artis terkemuka Filipina iaitu Nikki Bacolod, Min atau nama sebenarnya, Nurul Yasmin Abdul Aziz kini mampu tersenyum puas apabila berjaya menghasilkan sebuah album penuh untuk pasaran Filipina bertajuk Min Yasmin Pangarap.

Memuatkan 14 buah lagu yang terdiri daripada lima bahasa iaitu Tagalog, Tausug, Sama, Melayu dan Inggeris, wanita yang dicungkil bakat menerusi program Jangan Lupa Lirik itu berkata, dia seboleh-bolehnya cuba menyelitkan identiti Malaysia dalam album tersebut.

Selain memenangi hati peminat warga Filipina dengan menguasai bahasa mereka, Min juga mahu memperkenalkan negara tercinta dalam album terbitan Julfekar Music tersebut kerana percaya ia akan menyatukan lagi industri seni antara kedua-dua buah negara.

“Saya tidak bermula dengan mudah di Filipina kerana jika diperhatikan, artis-artis di sini memiliki bakat yang hebat dan vokal yang mantap. Antara usaha saya yang dibuat untuk menempatkan diri dalam hati peminat ialah menyanyikan lagu bahasa mereka agar terasa lebih dekat.

“Alhamdulillah, rezeki berpihak kepada saya dan lahirlah album Min Yasmin Pangarap sebagai debut solo di Filipina selepas berjaya menembusi industri muzik di sini sejak 2015,” katanya ketika ditemui pada sidang media album yang ditaja oleh Bless Amare Group di The Manila Polo Club, Filipina baru-baru ini.

Selain sekumpulan media yang diterbangkan dari Kuala Lumpur, majlis sidang media tersebut menyaksikan Min menerima kehadiran lebih 50 orang wartawan yang mewakili organisasi media berpengaruh di Filipina, sekali gus membuktikan popularitinya di sana tidak kurang hebatnya.



Hijrah

Melihatkan sambutan hangat yang diterima wanita berusia 29 tahun itu di Filipina telah menimbulkan persoalan adakah dia berhasrat untuk berpindah terus ke negara tersebut memandangkan namanya di Malaysia masih belum menyerlah.

Namun, isteri kepada Julfekar itu memberitahu, dia masih belum berputus asa dengan industri tempatan dan tidak menganggap kejayaan menembusi pasaran negara asing sebagai alasan untuk meninggalkan Malaysia.

Selesa berulang alik dari Kuala Lumpur ke Manila buat masa ini, sebaik sahaja selesai promosi album Min Yasmin Pangarap, Min akan melancarkan album baharu di Malaysia yang proses pembikinannya sudah hampir 80 peratus siap.

“Saya tidak pernah terasa hati atau merajuk dengan peminat di Malaysia, cuma mungkin belum ada tuah untuk saya menyerlah di negara sendiri. Namun, saya tidak putus asa dan mencuba peluang lain seperti di Filipina.

“Insya-Allah saya tetap akan dikenali sebagai penyanyi Malaysia dan setakat ini, belum ada perancangan untuk menetap di Filipina. Nantikan album baharu saya di Malaysia pula dan semoga peminat sudi untuk terus menyokong kerjaya saya di kedua-dua negara,” jelasnya.

Min juga sedang berkira-kira untuk mengembangkan sayapnya dalam bidang fesyen di Filipina kerana di sana, masyarakat Islam adalah golongan minoriti dan tidak banyak butik yang menawarkan pakaian sopan dan bersesuaian.

“Doakan semoga niat saya dipermudahkan kerana saya berhasrat menerapkan nilai-nilai Malaysia di sini bukan sahaja menerusi lagu tetapi juga dari segi pemakaian,” tuturnya tersenyum.



Perkahwinan

Menyentuh sedikit soal peribadi, hampir empat tahun mendirikan rumah tangga bersama Julfekar, Min tidak terlepas dengan soalan-soalan berhubung kehadiran cahaya mata dalam kehidupan mereka.

Menganggap zuriat sebagai ketentuan Allah, Min mengakui pernah terasa hati apabila ada sesetengah pihak menuduhnya sengaja tidak mahu melahirkan anak, sedangkan urusan tersebut bukanlah bawah kawalannya.

Namun, Min cukup bertuah dan bersyukur kerana dikurniakan suami yang tidak pernah mendesak atau memberi tekanan soal zuriat. Oleh sebab itu, hatinya tidak menghalang jika Julfekar berhasrat berkahwin lain.

“Saya bukanlah seorang yang baik, namun jika suami mempunyai niat ke arah itu (berkahwin lagi) dan berterus terang, saya akan cuba terima dengan hati terbuka. Lebih baik begitu daripada dia curang di belakang saya.

“Cuma saya pesan kepadanya, jika mahu menambah isteri, carilah yang berbudi pekerti dan baik keturunannya. Setakat ini, kami berdua memang bercakap tentang soal ini secara terbuka,” ujarnya menyimpul perbualan.

Mula mengukir nama di Filipina, harapan Min Yasmin tidak pernah terpadam agar bakatnya turut disambut baik peminat tempatan. Dia nekad berusaha keras menghasilkan karya yang terbaik untuk kedua-dua buah negara.

Post a Comment

Previous Post Next Post