Sudah menjadi lumrah insan terkenal, apa sahaja tingkah laku dilakukan pasti akan menjadi tumpuan, malah lebih parah apabila ia turut dinilai pengikut industri hiburan tanah air. Begitulah juga situasi yang dihadapi oleh pelakon jelita, Syatilla Melvin yang menerima kritikan dan teguran daripada netizen gara-gara sebuah video yang dimuat naik di laman Instagram anaknya, Syeriv Samheizy baru-baru ini.
Saat artikel ini ditulis, video klip berdurasi selama 25 saat tersebut telah ditonton lebih 500,000 orang serta menerima sebanyak 713 komen yang mengundang perbalahan dalam kalangan netizen kerana ada segelintir daripada mereka kurang bersetuju dengan tindakan Syatilla menggoncang tangan anaknya itu.
Kata sebahagian netizen, meskipun ia sekadar gurauan antara seorang ibu dengan anak tetapi perbuatan tersebut dilihat agak kasar dan bahaya bagi keselamatan kanak-kanak seusia Syeriv.
Pelakon yang juga merupakan isteri kepada aktor terkenal tanah air, Shaheizy Sam Abd. Samad dihubungi Sensasi Bintang untuk mendapatkan komen mengenai isu berkenaan.
Seperti dapat meneka apa yang tersirat di hati pemanggil, Syatilla menjawab persoalan itu dengan penuh teratur dan berlapang dada.
“Sebenarnya, tindakan saya menggoncang tangan Syeriv itu tidaklah kasar seperti yang disangka netizen.
“Kalau ada orang yang cakap tindakan itu menyakitkan anak dan menyebabkan tulangnya patah, tidak sama sekali kerana saya tahu apa yang saya lakukan,” jelasnya yang juga tidak menyangka video tersebut menjadi isu besar. Menyambung perbualan, wanita yang pernah membawa watak antagonis dalam drama Ramadan Yang Hilang itu berkongsi rasa dan perasaan bergelar seorang ibu yang tidak mungkin mahu menyakiti insan tersayang.
“Ibu mana yang tidak sayangkan anak, malah Syeriv adalah nyawa bagi saya. Kalau difikirkan semula, tidak logik bagi seorang ibu melakukan sesuatu yang boleh menyakiti anak sendiri.
“Saya akui memang seorang yang kasar tetapi tidak dengan anak kerana dia masih kecil dan tidak mungkin untuk saya menyakitinya,” ujar Syatilla yang turut memberitahu Syeriv masih belum menjengah usia satu tahun.
Tidak mudah melatah dengan situasi berkenaan dan sentiasa berfikiran positif, wanita tinggi lampai itu wajar dipuji.
“Saya tidak langsung menyimpan perasaan marah kepada netizen yang membahas video berkenaan, sebaliknya menghargai pandangan mereka.
“Bagi saya, netizen menegur kerana mereka mengambil berat dan sayangkan anak saya. Terima kasih kerana bukan semua orang berkesempatan ditegur begitu,” katanya dengan penuh kesungguhan.