Berbekalkan wajah manis menawan dan penampilan yang sopan, Mira Filzah pantas menghambat rasa suka kaum lelaki mahu pun wanita menerusi penampilannya dalam drama Cinta Si Wedding Planner bersama aktor, Datuk Adi Putra.
Berkat drama popular itu, ia berjaya meledakkan nama Mira sekali gus berjaya memenangi anugerah Artis Baharu Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Ke-29 (2016) dan kini bergelar pengacara sebuah program berprestij yang kekal relevan pada usia 33 tahun iaitu Nona.
Namun, untuk sebuah kepuasan yang lebih maksimum, sang jelita melangkah berani daripada kotak dunia seni dengan mewujudkan biasiswa bernilai RM1.3 juta untuk pelajar-pelajar yang berminat dalam bidang kecantikan dan keusahawanan.
Seperti bunga yang berkembang mekar selepas mendapat cahaya dan air, faktor itu antara pendorong Mira untuk pantas merebut peluang yang terbentang di depan mata dan sedia beralih fasa seterusnya di dalam hidup.
Dia mencari sisi kepuasan dengan mewujudkan biasiswa itu, namun bukan hanya pelaburan pada masa depan yang dicarinya, tetapi cinta yang tertumpah di jiwa menerusi kedua-dua bidang itu.
“Saya bekerjasama dengan Aesthetic Skin International Institute untuk mengeluarkan biasiswa Mira Filzah Scholarship untuk menaja seramai 100 pelajar yang mahu menyambung belajar jurusan Keusahawanan dan Kecantikan di institut berkenaan.
“Pelan asalnya, institut itu menawarkan saya untuk menjadi duta produk mereka. Bagaimanapun, saya inginkan sesuatu yang lebih memberi manfaat kepada diri dan juga orang di sekeliling. Saya juga mahukan pelaburan lebih panjang. Jadi, saya terfikir mengenai penubuhan biasiswa ini,” ujarnya yang mengaku daripada dahulu lagi berniat untuk terlibat dalam bidang pendidikan atau program amal, selain bidang hiburan.
Walaupun baru dua tahun dalam industri seni, namun pelakon berusia 25 tahun itu boleh dianggap sebagai artis berpengaruh yang perlu dijadikan contoh rakan-rakan seperjuangan mahu pun orang ramai melalui kerjasamanya dengan Aesthetic Skin International Institute yang menyediakan biasiswa sebanyak RM1.3 juta.
Menyuakan perkara itu kepada pemilik nama sebenar Nur Amirah Filzah Badioezaman, dia cepat-cepat merendah diri.
“Niat saya dengan pelaburan ini bukanlah untuk mendapat pandangan hebat daripada mata orang ramai. Cukup dengan niat untuk berkongsi apa yang saya ada. Saya tiada niat untuk menjadi artis berpengaruh,” ujarnya mengenai biasiswa yang menawarkan pembelajaran dalam bidang keusahawanan dan kecantikan untuk jangka masa selama 15 bulan itu.
Perbaiki diri
Tergolong dalam pengacara Nona yang sebelum ini pernah disandang pengacara-pengacara hebat seperti Azizah Mahzan, Christine Ling, Dian P. Ramlee, Ezzah Aziz Fawzy, Nurfarahin Jamsari, Datin Seri Normala Samsudin, Raja Mazian Raja Mohamed, Datin Norjuma Habib Mohamed, Vanida Imran, Maya Karin dan Fara Fauzana ternyata memberi seribu rasa buat Mira.
Pengacara yang lahir pada 2 April 1993 itu menyifatkan pemilihannya sebagai hos Nona sebagai peluang dan rezeki besar yang tidak harus dipandang enteng.
Ia juga ibarat mimpi yang menjadi nyata, sementelahan sejak dari kecil lagi Mira selalu berangan untuk menjadi pengacara Nona satu hari nanti.
“Namun begitu, ada sedikit gementar untuk mengacarakan program Nona. Bukan apa, program ini ada kelasnya yang tersendiri. Saya takut tidak dapat membawanya dengan baik, tetapi selepas jayakan penggambaran sebanyak enam episod, alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar.
“Mungkin ada kekurangan sedikit itu saya akan perbaiki dari semasa ke semasa. Hakikatnya, semua orang pernah melalui pengalaman melakukan sesuatu dalam hidup atau pekerjaan. Perkara pertama itulah yang mengajar kita untuk jadi lebih baik pada masa akan datang,” luah Mira yang turut menerima tempias kritikan segelintir individu yang mengatakan dia kelihatan muda untuk mengacarakan program berkenaan.
Nona untuk semua umur
Menjawab mengenai kritikan itu, Mira tenang memberitahu, bahawa program Nona bukan sahaja difokuskan untuk wanita berusia 30 tahun ke atas, sebaliknya sesuai ditonton oleh semua lapisan umur.
“Nona kini banyak mengetengahkan segmen untuk remaja seperti tip bercuti dan fesyen. Maka, ia tidak terikat kepada umur 30 tahun ke atas sahaja. Maka, saya rasa sudah cukup sesuai untuk saya mengacara program matang seperti ini di kala usia saya kini mencecah 25 tahun,” katanya yang mengaku tidak hanya fokus kepada bidang pengacaraan, sebaliknya dia mahu seiring dengan bidang lakonan.
Dalam perkembangan lain, Mira bakal memulakan penggambaran drama 24 episod pada pertengahan Februari ini. Selain itu, dia juga mempunyai pelan besar selepas sambutan raya nanti. Namun, buat masa ini Mira enggan berkongsi butiran lanjut kerana ia masih dalam proses perbincangan.
Disoal mengenai status hubungannya dengan pelakon dan pengacara popular, Zizan Razak pula, sementelahan ramai peminat menginginkan mereka bercinta, dengan senyuman Mira memberitahu, tiada apa yang perlu dijelaskan.
“Status hubungan saya dengan Zizan, saya tak nak jelaskan apa-apa sebab gosip ini sudah lama berlarutan. Kalau ada apa-apa saya akan beritahu. Kalau saya tak beritahu itu tandanya kami tiada apa-apalah.
“Hubungan kami sama seperti dahulu, berkawan,” jelasnya sambil menyimpul noktah.