Aktor popular, Sharnaaz Ahmad ternyata kecewa apabila kes yang membabitkan dirinya menumbuk seorang lelaki pada Julai tahun lepas kembali dimuat naik di blog-blog hiburan dengan tujuan tidak baik sepanjang minggu ini.
Teraju utama filem Dollah Superstar itu menzahirkan kekecewaan menerusi laman Instagramnya, @sharnaazahmad baru-baru ini.
Menurut Sharnaaz, 33, cerita itu sudah dianggap basi dan enggan lagi memanjangkan isu berkenaan.
Tambahan pula, pelakon itu sudah didenda dan menerima hukuman mahkamah ekoran insiden berkenaan.
“Manusia-manusia yang suka kejatuhan orang lain, cerita sudah lapuk dikeluarkan balik bagi hangat.
“Saya layankan saja, janji tidak petik nama mak ayah sudah. Kalau tidak, sampai lubang cacing aku cari,” tulisnya di laman Instagram berkenaan.
Pada 25 September tahun lepas, Sharnaaz didenda RM1,200 selepas mengaku bersalah menumbuk lelaki warganegara Bangladesh di sebuah kelab golf di ibu negara.
Sharnaaz atau nama penuhnya Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad mengaku bersalah menumbuk muka lelaki berkenaan, Gous Ali di Tingkat 1, TPC KL, Kelab Desa & Golf Kuala Lumpur pada 22 Julai 2017. Mangsa merupakan pekerja di kelab golf berkenaan.
Pada masa sama, Sharnaaz turut mendakwa betapa kejadian itu berpunca apabila lelaki berkenaan terlebih dahulu bersikap kurang ajar terhadapnya.
Ini kerana, dakwa Sharnaaz, pergaduhan itu berlaku apabila lelaki warga asing berkenaan beberapa kali menegurnya dengan cara yang tidak wajar sebelum insiden tersebut.
“Saya tak mahu panjang cerita, kira mengaku salah sudahlah. Memang salah pun bergaduh tapi cuba kalau kau duduk dekat tempat aku.
“Kalau orang asing sound kau lebih daripada lima kali tapi kau tak melawan kira hebatlah.
“Ini sampai siap kurang ajar, saya bukan malaikat kot brader. Tercetuslah pergaduhan comel,” ceritanya lagi.