Banyak aktiviti seni telah tersusun cantik dalam takwim karier Siti Sarah untuk sepanjang tahun ini.
Jika tahun lalu dia lebih kerap dilihat menjayakan persembahan pentas dan menghadiri acara-acara hiburan, namun, untuk 2018, penghibur berusia 34 tahun itu menjanjikan beberapa perkara istimewa untuk peminatnya.
Bertemu dengan Sarah pada majlis ramah mesra kelab peminat Hearty Sarah di Soireelab, Putrajaya hujung minggu lalu, salah satu perancangan utamanya pada tahun ini adalah untuk meluncurkan single terbaharu dalam masa yang terdekat.
“Saya memang mahu memasarkan single baharu dalam masa terdekat. Maklumlah, ramai yang menantikan buah tangan terkini, lebih-lebih lagi selepas menyertai Gegar Vaganza musim ketiga (GGV3) sekitar dua tahun lalu.
“Biarpun masih belum bertemu dengan material yang bersesuaian, namun saya berharap single tersebut akan dapat diterbitkan selewat-lewatnya awal tahun ini,” katanya memulakan perbualan.
Sarah yang mengenakan dres polos berona putih pada petang itu mengakui, proses pemilihan lagu merupakan fasa yang paling sukar untuk dilaksanakan walaupun proses tersebut pernah dilalui sebelum ini.
Menurut Sarah, kebanyakan lagu yang diterima sebelum ini tidak menepati cita rasanya selain kurang memberi impak terhadap halwa telinga.
“Jika diminta untuk memberi definisi terhadap muzik yang saya gemari, saya akui masih akrab dengan melodi-melodi balada Melayu. Sebagai contoh, saya masih mahu lagu-lagu saya berbunyi seperti Kesetiaan dan Bersamamu.
“Namun, saya tidak begitu menggemari lagu-lagu berskala besar yang muziknya dilatari instrumen orkestra. Balada cara saya muziknya lebih kasar, tetapi dalam masa yang sama mudah diterima ramai,” terang isteri kepada pelawak dan pelakon Shuib Sepahtu itu panjang lebar.
Anugerah
Melihat pada cara kerjanya yang begitu teliti, barangkali ada berpendapat bahawa Sarah menyifatkan sesebuah karya sebagai jambatan untuk meraih pengiktirafan pada masa akan datang.
Paling tidak, pasti ada dalam kalangan peminat yang mahu melihat penyanyi bertubuh genit itu kembali bertanding di pentas berprestij seperti Anugerah Juara Lagu (AJL) dan Anugerah Industri Muzik (AIM).
Sungguhpun kecemerlangan seseorang anak seni biasanya diukur dengan jumlah bilangan anugerah yang dimiliki, namun bagi Sarah, pengiktirafan bukanlah perkara yang dimestikan dalam kamus kariernya.
Anak kepada penyanyi Raisuddin Hamzah itu menjelaskan, sejak menjadikan bidang hiburan sebagai kerjaya utama sekitar 16 tahun lalu, niatnya hanyalah satu iaitu membantu keluarga dan memberikan keselesaan hidup buat dua orang tuanya.
“Ketika mula menyanyi, saya memang berniat untuk membantu keluarga. Selain memenuhi tanggungjawab sebagai seorang anak, saya memutuskan untuk menyara keluarga disebabkan keadaan negara pada waktu itu yang baru sahaja pulih daripada masalah kegawatan ekonomi.
“Jadi, sejak usia muda lagi saya tidak dididik untuk tidak meletakkan sebarang sasaran setiap kali melancarkan lagu atau album. Bagi saya, apa yang penting adalah melakukan kerja sehabis baik agar memberi kepuasan kepada peminat.
“Jika anugerah atau pengiktirafan datang selepas itu, saya anggap ia sebagai bonus,” ujar Sarah yang pernah mencetuskan sensasi selepas menang besar pada AIM2003 menerusi kategori Artis Baru Terbaik, Album Pop Terbaik dan Album Terbaik menerusi album perdana berjudul Sarah.
Mentor Otai
Melihat pada portfolio serta pengalaman nyanyiannya, Sarah boleh dilabel sebagai salah seorang penyanyi tempatan yang kerap mencuba nasib dalam pertandingan berskala besar.
Bermula dengan Bintang RTM (2001), Sarah kemudiannya menyertai pertandingan nyanyian One In A Million musim kedua (2007), seterusnya terbang mewakili negara ke Amerika Syarikat pada 2009 bagi menyertai World Championship Of Performance Arts (WCOPA) dan disusuli dengan GV3 (2016).
Mahu berkongsi ilmu yang dikutip sepanjang kariernya, Sarah menerima pelawaan TV3 untuk menjayakan program pencarian bakat berjudul Mentor Otai yang bakal bersiaran bermula Mac depan.
“Sejujurnya, saya sangat teruja dengan Mentor Otai. Jika dilihat pada sejarah Mentor, pertandingan ini biasanya melibatkan para peserta yang muda dan masih hijau.
“Namun, untuk edisi kali ini, mentor-mentor yang terlibat bakal berhadapan dengan peserta berusia 35 hingga 55 tahun. Ia memberi gambaran kepada saya bahawa peserta kali ini jauh lebih berusia dan matang serta banyak pengalaman dalam bidang nyanyian. Ia pasti menjadi satu pertandingan yang sengit kelak,” katanya yang bakal berganding bersama tiga mentor lain iaitu Misha Omar, Zarul Husin dan Tam Spider.
Tambah Sarah, selain berkongsi ilmu dengan para peserta, penglibatannya dalam Mentor Otai dilihat sebagai pembakar semangat buat peminat dan orang awam supaya terus percaya dengan rezeki yang telah ditetapkan oleh Tuhan.
“Ramai yang berpendapat, untuk mengejar cita-cita dalam bidang nyanyian, kita perlu berada dalam sesuatu lingkungan usia untuk diterima ramai. Pendapat tersebut tidak benar sama sekali.
“Sebagai contoh, saya sendiri pernah aktif menyanyi dan suatu ketika dahulu senyap seketika kerana mahu memberikan tumpuan kepada rumah tangga. Siapa sangka, selepas menyertai GV3, rezeki menyanyi datang semula.
“Apa yang ingin saya katakan, jika kita percaya dengan apa yang ada dalam diri, insya-Allah, kita akan berjaya,” katanya sambil tersenyum.
Menyentuh sedikit mengenai peranannya sebagai pengurus keluarga, ibu kepada Uwais Alqarni, 8, Dzahira Talita Zahra, 5, dan Ariq Matin, 2, itu meletakkan dirinya sama seperti ibu-ibu yang lain.
Menurut Sarah, mengelolakan rumah tangga bersama tiga anak kecil kadangkala memenatkan, lebih-lebih lagi jika terlalu sibuk memenuhi undangan nyanyian.
“Jika saya terlalu sibuk, perkara-perkara kecil diselesaikan oleh pembantu. Namun, saya tetap akan menguruskan hal ehwal anak dan suami, terutamanya soal makan serta pembelian barangan rumah,” katanya.
Dalam pada itu, Sarah turut melahirkan hasrat untuk mengerjakan ibadah umrah bersama suaminya pada bulan Ramadan yang akan datang.
“Sebenarnya, kami telah merancang untuk ke Mekah pada bulan ini. Tetapi disebabkan jadual masing-masing sibuk, perancangan tertunda sehingga ke bulan puasa.
“Jika diberi kesempatan dan dipermudahkan urusan, kami akan sampai ke sana. Insya-Allah,” tutur Sarah menutup perbualan.
Tahun 2018 membuka lembaran baharu terhadap laluan karier dan rencana peribadi Siti Sarah. Selain berhasrat memasarkan single baharu dan bakal melibatkan diri dalam Mentor Otai, Sarah turut merancang untuk menunaikan ibadah umrah bersama suaminya, Shuib Sepahtu pada Ramadan akan datang.