Sejak mendirikan mahligai bahagia dengan lelaki bernama Fattah Amin pada 27 November tahun lalu, kehidupan pelakon jelita, Fazura berubah sekelip mata. Berubah bukan bermakna dia meninggalkan jauh siapa dirinya sebelum ini, tetapi kini lebih fokus dengan debunga bahagia kehidupan sebagai isteri dan tanggungjawab kian melebar sebagai anak seni.
Fazura, 35, semakin matang mengorak langkah sebagai selebriti yang tidak hanya selesa di Malaysia, sebaliknya mampu menawan hati peminat di Indonesia. Barangkali, ada yang berpendapat perkahwinannya dengan Fattah sedikit sebanyak membuka ruang buat dia bersikap lebih terbuka walau dihentam dengan kritikan mahupun dilambung dengan pujian menggunung daripada khalayak.
Minggu lalu, pelakon yang juga merupakan seorang penyanyi itu memberi bayangan seperti sedang mengidam ketika ditegur oleh seseorang kerana makan dalam kuantiti yang banyak.
Menerusi sebuah video yang dikongsi oleh akaun Instagram (IG) @divaletopsdotcom menunjukkan bintang filem Bicara Hati itu sedang menyapu jem di atas scone dan tiba-tiba ditegur oleh seorang wanita bertanya mengapa pelakon itu tidak berhenti makan.
Justeru, apabila diajukan persoalan sama ada benar atau tidak berita tentang perkhabaran dirinya sudah hamil, pemilik nama sebenar Nur Fazura Sharifuddin itu tenang menjawab perkara yang bermain di minda ramai.
“Sejujurnya, saya tidak tahu mengandung atau tidak tapi memang kuat makan dan juga kuat bersenam. Video yang menjadi tular itu hanya satu gurauan dan diakui, kadang-kadang saya ada perangai gedik atau mengada-gada.
“Insya-Allah, kalau ada perkhabaran yang baik saya tidak akan merahsiakannya dan akan berkongsi. Buat masa sekarang, doakan sahaja yang baik-baik,” ujar wanita itu tersenyum.
Ditanya adakah dia terkejut dengan penularan berita tersebut, jawab Fazura: “Terkejut juga kerana ramai kawan-kawan yang mesej bertanya kesahihan hal tersebut. Saya pun tertanya-tanya bagaimana berita itu boleh timbul sebelum perasan ia datang daripada perkongsian sebuah video di Instagram.
“Saya tidak bermaksud untuk sengaja mewujudkan publisiti murahan namun tidak nafikan ia hanya gurauan seperti saya katakan tadi, kadang-kadang keluar sifat bergurau dengan orang sekeliling.”
Diusik pertanyaan sama ada dia sudah melakukan sebarang pemeriksaan untuk mengetahui sama ada dia hamil, Fazura membalas: “Belum buat lagi. Insya-Allah tidak lama lagi.”
Ayat-Ayat Cinta 2
Melanjutkan bicara tentang filem terbaharu lakonannya yang sedang rancak ditayangkan di pawagam seluruh negara Ayat-Ayat Cinta 2 sejak 11 Januari lalu, Fazura mendedahkan dia seronok melakonkan watak sebagai Brenda. Hakikatnya, dia merupakan peminat terbesar filem tersebut.
“Saya memang suka menonton filem ini. Pada 10 tahun lalu sewaktu ia dilancarkan, saya selalu menghabiskan masa menontonnya berulang-kali. Boleh kata saya amat obses dengan semua karakter terutamanya Fahri (lakonan Fedi Nuril).
“Ingin dijadikan cerita, apabila MD Pictures menawarkan saya untuk berlakon dalam sekuel filem ini, pada mulanya tidak tahu ia filem Ayat-Ayat Cinta 2. Apabila dapat tahu, saya hampir pengsan.
“Apatah lagi dapat bekerjasama dengan Dewi Sandra, Chelsea Islan, Tatjana Saphira yang memang amat saya kagumi,” kongsi Fazura ketika ditemui Kosmo! dalam satu sesi temuramah di mmCineplexes Damansara baru-baru ini.
Kata Fazura lagi, dia amat berbangga meraih pengalaman berlakon dengan kru hebat filem tersebut selain menjayakan watak Brenda yang merupakan seorang penganut agama Kristian.
“Saya melalui proses pembacaan skrip selama 10 jam. Perjalanan penggambaran filem juga sangat mengujakan kerana kami pelakon dan kru sudah seperti sebuah keluarga. Semua orang membantu di antara satu sama lain. Tiada yang terasing dan tiada yang terkecuali.
“Melakonkan watak Brenda adalah pengalaman baharu buat saya. Ia adalah kerja saya sebagai seorang pelakon tidak kira berlakon watak seorang penganut agama Islam, Kristian atau Hindu sekalipun, saya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai pelakon.
“Saya percaya kita manusia boleh hidup aman dan damai walaupun berbeza pegangan agama dan berlainan bangsa. Sekarang ini pun banyak isu yang timbul misalnya berkaitan agama. Jadi filem ini diharapkan dapat sedikit sebanyak membuka mata orang ramai tentang hal tersebut,” jelas Fazura.
Sokong Fattah
Andai diberi peluang untuk berlakon dalam projek sinetron (drama bersiri) di Indonesia, Fazura berkata dia akan mempertimbangkannya namun bukan dalam masa terdekat. Bagaimanapun, dia mendedahkan suaminya, Fattah sudah menerima tawaran untuk berlakon di sana untuk projek sinetron.
“Untuk saya mungkin tidak kerana saya penat berlakon projek yang panjang. Kalau projek sinetron yang sesuai dengan jadual saya, mungkin saya akan pertimbangkan. Saya akan terlibat dalam satu filem seram dan akan menjalani penggambaran selama 24 hari pun suami saya sudah banyak soal (ketawa).
“Fattah akan ke Jakarta bulan depan untuk berbincang tentang projek sinetron. Saya tidak mahu berlakon sinetron namun kalau Fattah ke sana, saya akan teman,” katanya.
Mengulas lanjut tentang projek filem seram Indonesia yang akan melibatkan dirinya tidak lama lagi itu, Fazura berkata projek tersebut masih lagi dalam perbincangan.
“Saya terharu pengarah Ayat-Ayat Cinta 2 Guntur Soeharjanto dan penerbit, Manoj Punjabi berpuas hati dengan komitmen lakonan saya dalam filem tersebut. Untuk projek akan datang, tidak banyak yang boleh saya kongsikan kerana masih dalam perbincangan namun ia sebuah filem yang agak epik,” tutup Fazura yang mendedahkan tidak terlibat dengan penggambaran filem Gol & Gincu 2 terbitan RED Communications yang sinonim dengan dirinya.
Fazura menjawab spekulasi sama ada dirinya sedang hamil dan berbicara tentang tanggungjawab melakonkan karakter wanita beragama Kristian bernama Brenda dalam Ayat-Ayat Cinta 2 serta ruang karier sebagai aktres yang semakin melebar di Indonesia.