Kumpulan UNIC yang sebelum ini kebiasaannya muncul dengan berkopiah dan berjubah sudah tidak kisah dikritik peminat selepas mengubah imej kepada bertopi atau berambut pacak.
"Sejak menyertai Gema Gegar Vaganza (GGV) lagi kami sudah mula mengubah imej kami dengan hanya bertopi atau berambut pacak tanpa kopiah atau jubah seperti kebiasaannya," kata anggota UNIC, Fakhrul.
Kata Fazrul, terdapat segelintir peminat yang tidak dapat menerima perubahan tersebut dan kumpulan UNIC terus dikecam.
“Sebenarnya UNIC sudah 15 tahun duduk dalam kelompok yang sama iaitu orang-orang di surau, masjid dan insititut pengajian Islam sahaja.
“Kini sudah tiba masanya kami cari peminat baru dan kelompok yang lebih besar seperti menyanyi di atas kapal cruise, di majlis-majlis korporat mahupun menarik minat golongan mat rempit.
“Kami tahu orang muda ni suka berfesyen dan berlawak, jadi kita cuba untuk mengikuti peredaran semasa selagi ia tidak melanggar syarak,” jelas Fazrul lagi.
Kumpulan UNIC yang turut dianggotai Bazli dan Wan Najdi juga berkolaborasi dengan penyanyi rap Caprice untuk single baharu, Sedar.