Mengaku turut terkena tempias panas orang bertunang, Sufian bagaimanapun memberitahu dia dan Elfira tetap akan bernikah pada tahun ini.
Sekitar akhir tahun lalu, ikatan pertunangan penyanyi Sufian Suhaimi dan pelakon Elfira Loy didakwa sedang mengalami masalah. Dakwaan tersebut tercetus apabila peminat mula menyedari kedua-dua mereka tidak mengikuti antara satu dengan lain di Instagram.
Sufian pada ketika itu menafikan dakwaan tersebut dan memberi alasan platform laman sosial popular berkenaan sedang mengalami masalah teknikal.
Bagaimanapun menerusi satu temu bual, Elfira memberi bayangan bahawa hubungan mereka tidak seperti apa yang dijelaskan oleh Sufian. Menerusi wawancara tersebut, Elfira menjelaskan fasa pertunangan merupakan suatu tempoh masa yang begitu senang bagi pasangan untuk dilanda dugaan.
Kenyataan Elfira dilihat mengukuhkan lagi tanggapan pihak luar yang mengatakan ikatan pertunangan dua selebriti ini sedang berantakan.
Bertemu Sufian pada majlis sidang akhbar Program Temu Duga Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) di Hotel Philea Mines Beach, baru-baru ini, penyanyi lagu Terakhir itu secara bersungguh menafikan hubungannya dan Elfira sedang mengalami masalah.
Lelaki berusia 26 tahun itu berkata, pertunangannya dengan Elfira masih berjalan. Namun disebabkan kekangan kerja, mereka berdua jarang bertemu dan menghabiskan masa bersama.
Sufian turut menjelaskan, tiada kata putus mengenai tarikh pernikahannya, biarpun menurut perancangan, dia dan Elfira sepatutnya mendirikan rumah tangga sekitar Mac depan.
KOSMO!: Sufian benarkah dakwaan yang mengatakan pertunangan anda dan Elfira sedang dilanda masalah?
SUFIAN: Seperti pasangan bertunang lain, kami juga manusia biasa dan tidak terlepas daripada dugaan dan ujian. Bagaimanapun, saya percaya setiap dugaan yang datang pasti akan mematangkan kami pada masa depan.
Bagaimana pula ada yang mendakwa isu-isu kecil ini akan membawa kepada keputusan untuk membatalkan perkahwinan?
Sejujurnya, perkahwinan melibatkan dua buah keluarga dan saya serta Elfira tidak boleh mementingkan diri untuk membuat keputusan tanpa sebarang perbincangan. Buat masa ini, kami masih berbincang untuk memilih tarikh yang sesuai. Insya-Allah, perancangannya kami akan berkahwin tahun ini.
Benarkah anda dan Elfira sudah tidak berjumpa?
Benar, kami sudah lama tidak berjumpa. Namun itu tidak bermakna kami sudah terputus hubungan. Saya tetap akan menghubunginya setiap hari tanpa gagal.
Tambahan pula, kami mengikuti nasihat orang lama untuk tidak selalu bertemu. Ia bukan sahaja untuk kebaikan kami tetapi untuk mengelak dipandang serong masyarakat.
Adakah anda menyesal kerana sering keluar berdua ketika sebelum bertunang?
Bagi saya, ia bukan suatu masalah. Bagaimana kita mahu mengenali seseorang jika kita tidak keluar berdua.
Elfira mengatakan hubungan dilanda dugaan. Apakah jenis dugaan yang kamu berdua terpaksa hadapi? Adakah hubungan anda bermasalah kerana orang ketiga?
Tidak sama sekali. Bagi saya, dugaan yang paling besar adalah masalah komunikasi. Namun, sebagai seorang lelaki saya perlu lebih banyak bersabar dan rasional. Jika ada sebarang masalah, saya tidak boleh lari dan cuba untuk menyelesaikannya sebaik mungkin.
Bagaimanakah anda dan Elfira menyelesaikan masalah komunikasi tersebut?
Kami sentiasa berbincang jika ada sebarang kesukaran dalam perhubungan. Alhamdulillah, Elfira merupakan seorang yang sangat matang dan bijak dalam menangani masalah. Sebesar mana masalah tersebut, kami akan cari usaha untuk menyelesaikannya.