Dia pernah ditipu agensi pencarian bakat baru dalam bidang lakonan, namun Mohamad Azwan Kamaruddin, 21, tidak pernah berputus asa untuk terus mencari tempat dalam industri seni tanah air.
Malah anak muda ini lebih yakin peluangnya untuk menjadi pelakon akan datang juga apabila dilamar menjadi artis di bawah pengurusan Kotak Case Management.
“Kini saya rasa diri lebih terurus dan berharap syarikat pengurusan dapat merangka strategi bagi memperkenalkan saya kepada peminat dan penggiat seni tanah air. Dengan adanya syarikat pengurusan juga, saya tidak bimbang akan tertipu lagi,” katanya.
Belum ada lagi tawaran berlakon namun Azwan sudah pun membuat persediaan dengan menghadiri kelas lakonan pelakon Rosli Mansor pada Oktober lalu.
“Walaupun saya mengikuti kelasnya sebulan saja, dia berusaha memberikan sebanyak mungkin ilmu lakonan kepada saya dan pelajar lain terutama aspek penghayatan watak. Untuk jadi pelakon yang bagus, biarpun watak itu ‘simple’ mesti berikan ‘jiwa’ kepadanya kerana kadangkala watak yang biasa-biasa itulah yang sukar untuk dibawa.
“Saya akan terus belajar berlakon agar bila ada tawaran nanti, sudah bersedia dan faham kehendak pengarah,” katanya.
Dalam pada menunggu tawaran, Azwan tidak hanya berdiam diri di rumah sebaliknya sibuk berniaga. Jika pada mulanya dia menolong rakannya Ren Ryzam berniaga minyak wangi kini menerusi pengalaman yang diraih, Azwan bercadang mengeluarkan minyak wangi jenamanya sendiri.
“Ren yang juga pemilik butik pengantin banyak mengajar saya selok-belok perniagaan dan semakin seronok berniaga. Daripada membantunya, sekarang saya serius mahu ada perniagaan sendiri.
“Dalam keadaan sekarang saya tidak boleh terus menunggu tanpa melakukan apa-apa. Jika nanti ada tawaran berlakon, perniagaan akan diteruskan juga. Saya masih muda dan akan mengambil setiap peluang yang datang,” katanya.
Pendedahan awal Azwan dalam dunia seni bermula apabila dia muncul dalam program berkonsep sketsa iaitu Pecah Perut yang akan disiarkan di Astro Warna.
“Pecah Perut dibuat seperti program Jangan Ketawa yang sangat popular pada tahun 90-an. Walaupun kemunculan saya tidak banyak dalam sketsa itu tetapi ia adalah permulaan yang baik,” katanya.