Kemesraan Farid, Diana bersama dua anak mereka iaitu Muhammad dan Nur Aurora.
Apabila Farid Kamil meluahkan rasa dengan berkata: “Allah telah memberikan jalan cerita hidup saya semakin hari semakin menarik.” Ternyata ia memang menarik.
Masakan tidak menarik. Seorang aktor berkaliber yang cukup terkenal dalam kalangan penggiat seni sebagai lelaki sopan dan mempunyai portfolio yang baik menumbuk seorang anggota polis dan mencederakan dua orang awam di dalam balai polis. Ia bukan sekadar mengejutkan industri hiburan tetapi menggemparkan seluruh negara hujung minggu lalu.
Farid Kamil, aktor yang baru dianugerahkan pingat Datuk beberapa bulan lalu itu juga disahkan positif ganja, disyaki juga mempunyai masalah kemurungan dan spekulasi kerukunan rumah tangganya bersama Datin Diana Danielle bergoncang hebat.
Bersulam dengan hal-hal tersebut, muncul juga banyak cerita pelbagai versi yang tidak mampu disahihkan kebenarannya.
Seperti plot sebuah filem dengan heronya dimainkan sekemas mungkin oleh Farid, lelaki itu yang sempat merasa tidur di dalam lokap selama lima hari sepanjang tempoh tahanan reman pada akhirnya mengaku tidak bersalah.
Bintang filem J Revolusi itu bebas apabila mahkamah membenarkan jaminan RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Mac depan untuk sebutan semula kes.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Farid didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Ashraf Ahmad, 35, dan Konstabel Mohd. Nizam Jamaluddin, 24.
Kedua-dua pertuduhan tersebut didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga, Farid didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap Konstabel Mohd. Nizam Jamaluddin sebagai pegawai dengan niat menghalangnya melakukan tugas.
Kesalahan tersebut didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pertuduhan keempat, Farid didakwa berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan tidak sopan terhadap Konstabel Mohd. Nizam Jamaluddin sehingga boleh mendatangkan kemarahan.
Pelakon itu didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM500 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Kesemua kesalahan tersebut berlaku di kaunter Balai Polis Kota Damansara pada pukul 1.20 petang, 11 Januari lalu.
Menghadapi semua gelombang yang membadai begitu dahsyat, Farid masih melemparkan senyuman bahagia. Berkali-kali dia mengucapkan terima kasih kepada semua doa yang dititip kepadanya. Dia juga memaklumkan dirinya berada dalam keadaan baik.
I love you
Dan sebelum beredar meninggalkan gerombolan media yang setia mengikuti perkembangan kesnya, Farid mengungkapkan sepotong kalimat penuh makna.
Sambil menurunkan sedikit tingkap kenderaan MPV yang dinaikinya, Farid berkata: “Allah tetap nombor satu.”
Seperti mana tenangnya Farid mempamerkan wajahnya di hadapan khalayak, begitu juga Diana yang akhirnya muncul di mahkamah pada hari suami kesayangannya itu dibebaskan.
Memaklumkan tidak akan melawat Farid sewaktu dalam tahanan reman, Diana membuktikan kata-katanya itu apabila hanya muncul selepas lima hari khalayak mula menimbulkan spekulasi terhadap pendiriannya sebagai seorang isteri.
Bungkam tetapi terus tersenyum tenang sepanjang berada di belakang suaminya sewaktu hari kejadian, aktres itu membuktikan ungkapan yang dimuat naik dalam laman Instagram miliknya bukan satu omongan kosong.
Diana menulis dia tahu Farid sedar keberadaannya dan ‘mereka berpimpin tangan’ walaupun dirinya tidak berada secara nyata di sisi anak kelahiran Kedah itu.
Ironi, sejak Farid mencetuskan sensasi Khamis lalu, ibu kepada dua anak mereka iaitu Muhamad dan Nur Aurora itu paling sukar dihubungi.
Dia hanya menjawab soalan media apabila dirasakan perlu, malah tidak juga menjadikan media sebagai medan meraih simpati. Sebaliknya, Diana kekal dengan sikap profesionalnya. Suatu tindakan bijak daripada seorang pelaku seni yang masak benar tentang sepak terajang dunia hiburan.
Malam sebelum Farid dibebaskan dan sewaktu dirinya dikecam sebagai isteri yang tidak berada di sisi suami pada saat getir, Diana menumpahkan perasaannya.
Dalam laman Instagramnya, dia menulis luahan dalam bahasa Inggeris yang telah diterjemahkan berbunyi: “Jangan tanya mengapa anda tidak melihat saya. Dia (Farid) melihat saya. Dia tahu saya di sana. Dia berasa saya memegang tangannya. Itu perkara penting buat saya.”
Melihat kelibat wanita kesayangan yang telah menjadi separuh jiwanya hadir ke mahkamah, Farid tanpa segan-segan melafazkan ‘i love you’ kepada Diana.
Di hadapan media dengan perkasanya juga Farid berkata: “Saya sayang anak-anak saya. Saya sayang Diana.”
Bintang filem Hanyut yang berusia 27 tahun itu juga menzahirkan rasa cinta dan prihatin terhadap keadaan suaminya tanpa mempedulikan perlakuan mereka diintai mata-mata yang bersiap-siaga dengan sebarang tindakan pasangan tersebut.
Bahkan, sebelum Farid dibawa masuk ke bilik reman, Diana sempat membelai wajah sambil mengusap rambut dan memperkemaskan pakaian yang disarung si suami yang sudah menjadi peneman hidup sejak tahun 2012.
Begitulah, sejauh dan sedalam mana pun khalayak mengecam atau cuba menerka permasalahan mereka berdua, pasangan itu tetap kompak.
Ia mengingatkan penulis kepada kalimat yang berbunyi; “Cinta itu gila dan kurang ajar.”
Barangkali, itulah cinta yang dimiliki dan dipasak dalam hati Farid dan Diana untuk saling melengkapi dan bertahan antara satu sama lain biarpun tidak mempertontonkannya kepada umum, seperti mana mereka beraksi dalam layar lebar sebagai pelaku seni.
Seperti mana tenangnya pasangan ini, begitu juga tindakan penuh sopan dan budiman dipamerkan ahli keluarga Farid dalam melayan media dan menentang prahara yang melanda anak sulung daripada lima beradik itu.
Mengenai kesalahan yang dilakukan Farid, biarlah ia selesaikan secara undang-undang. Setiap apa yang berlaku dalam kehidupan seseorang itu adalah rahsia Allah.