Shuib Sepahtu Ada 12 Tahun Saja Lagi


Shuib Sepahtu mahu memperlahankan karier seni apabila usianya memasuki 45 tahun.

Pelawak Shuib memasang impian untuk berehat panjang dan tidak mahu memikirkan soal kerja apabila usianya memasuki 45 tahun.

Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 33, berkata, ketika itu dia mahu meluangkan masa sepenuhnya bersama keluarga.

"Memasuki usia 45 tahun, saya tak mahu kerja lagi dan hanya duduk di tepi pantai bersama isteri dan anak-anak.

"Ketika itu, saya tak perlu fikir lagi soal duit dan luangkan masa sepenuhnya bersama keluarga tanpa perlu tertekan dengan kerja.


Shuib mahu berehat setelah berusia 45 tahun.

"Sekarang ini masa untuk saya 'pulun' sehabis mungkin, tak boleh berlengah kerana saya hanya ada 12 tahun sahaja lagi," katanya.

Shuib ditemui semasa program An Evening With Siti Sarah And Hearty Sarah di Soireelab, Putrajaya pada Ahad.



Sementara itu, Shuib mengakui kekangan waktu bersama anak-anak dan keluarga membuatkan dia nekad meninggalkan karier sebagai penyampai radio di Sinar FM.

Malah, dia juga mahu memberikan tumpuan sepenuhnya dalam bidang perniagaan yang baru diceburi.


Isteri, Siti Sarah menjadi penyokong kuat dalam kariernya.

"Saya akui apabila terlalu sibuk, rasa seperti jauh dengan anak-anak dan kerana itu saya berhenti sebagai DJ radio.

"Sekarang ini pagi-pagi saya boleh uruskan mereka dan kami ada banyak masa bersama dan saya juga nak fokus dengan bisnes yang baru saya ceburi," katanya yang masih aktif sebagai pelawak dan pelakon.

Sehingga kini, Shuib mempunyai empat syarikat yang perlu diuruskan iaitu Monsta, Fazaloo.com, Madu Tiga, dan Manhajj Mutawwif Travel.

Dalam pada itu, suami kepada penyanyi Siti Sarah ini berkata dia banyak menerima rujukan daripada isteri tercinta dalam membuat sesuatu keputusan.


Shuib sempat meluangkan masa bersama Sarah dan peminat.

"Sarah sentiasa bersama saya kemana-mana sahaja dan boleh dikatakan kebanyakan keputusan datang daripada dia.

"Walaupun ada sesetengah benda dia tak tahu apa-apa, saya masih bertanya pendapat dan merujuk kepada dia terlebih dahulu.

"Apa yang saya miliki hari ini adalah tuah dan doa daripada isteri dan anak-anak, kerana itu mereka menjadi keutamaan saya sampai bila-bila," katanya.

Pasangan ini berkahwin pada 26 Februari 2011 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 7, Dzahira Talita Zahra, 4, dan Ariq Matin yang berusia dua tahun.

Post a Comment

Previous Post Next Post