Keluarga Bawa Farid Kamil Balik Kampung


Fadzil (kiri) dan Anis Anwar (kanan) sentiasa menemani abangnya Farid sepanjang proses perbicaraan.

Pelakon dan suami kepada Yana Samsudin, Fadzil Zahari akan membawa abangnya, Datuk Farid Kamil pulang ke kampung halaman mereka di Kedah untuk membolehkannya berehat dan menenangkan fikiran.

Fadzil, 34, berkata mereka sekeluarga akan memastikan tahap kesihatan Farid berada dalam keadaan baik sebelum dibawa pulang ke kampung.

"Perkara pertama, kesihatan Farid terlebih dahulu. Bila kami dah berpuas hati dengan tahap kesihatannya, barulah akan bawa balik kampung," kata Fadzil.

Selain itu, keluarga Farid akan merancang satu pertemuan pelakon dan pengarah itu dengan dua anak kesayangannya iaitu Muhammad, 5 dan Aurora, 3 dalam masa terdekat.

Tambah Fadzil lagi, pertemuan itu akan diadakan mengikut masa yang sesuai dengan keadaan pelakon itu sejurus dibebaskan daripada tahanan reman pada Selasa.

"Saya dan keluarga ada merancang untuk membawa Muhammad dan Aurora bertemu dengannya.


Farid memberi tanda bagus selepas selesai urusan ikat jamin.

"Sama ada saya atau diana yang akan bawa jumpa mereka dengan Farid belum pasti lagi.

"Ini semua bergantung mengikut kesesuaian masa selain keadaan kesihatan Farid sekiranya dia sudah stabil," katanya.

Fadzil ditemui sejurus membayar ikat jamin sebanyak RM12,000 yang dikenakan terhadap Farid di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya.

Dalam pada itu, Fadzil juga berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes melibatkan Farid supaya tidak menganggu siasatan polis dan merumitkan lagi keadaan.



"Bila benda ini jadi banyak spekulasi, harap tidak ada lagi perkara yang tokok tambah. Ia merumitkan keadaan dan menganggu siasatan polis.

"Polis dalam sisatan jadi tak boleh nak ulas. Saya harap semua pihak memahami situasi yang berlaku terhadap Farid dan keluarganya," ujarnya.

Terdahulu, Farid, 37, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan dan dibebaskan dengan ikat jamin.

Farid minta dibicarakan selepas semua pertuduhan dibaca secara berasingan di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham di Mahkamah Majistret Petaling Jaya di sini.

Nor Ariffin menetapkan 5 Mac depan sebagai sebutan semula kes.

Post a Comment

Previous Post Next Post