Hubungan A. Aida dan Ahya Rosli mula diperkatakan ramai selepas sama-sama menunaikan umrah baru-baru ini. Turut serta ialah pelakon Normah Damanhuri (empat dari kanan) dan tiga anak Aida, (dari kiri) Wan Azevanatassha, 16, Wan Az Aleesa, 21, dan Muhamad Rahul, 9 (depan).
BUKAN sekali dua, bahkan gosip percintaan dan didakwa mempunyai hubungan istimewa dengan beberapa pelakon lelaki seakan-akan sudah sebati dengan nama penerbit popular, Datuk A. Aida.
Baru-baru ini, namanya kembali hangat selepas dikatakan mempunyai hubungan istimewa dengan pelakon dan model, Ahya Rosli selepas mereka menunaikan umrah bersama-sama di Tanah Suci Mekah baru-baru ini.
Pemergian mereka ke sana turut disertai ibu Ahya iaitu aktres Normah Damanhuri.
Tidak menolak andai berjodoh dengan lelaki berusia 30 tahun itu, Aida, 47, bagaimanapun meminta agar pihak di luar sana tidak memanjangkan isu berkenaan kerana setakat ini mereka hanya berkawan.
Ikuti penjelasan daripada pemilik nama sebenar Zaidah Awang itu ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini selain turut berkongsi tentang perancangan kariernya selaku penerbit untuk tahun ini.
KOSMO!: Baru-baru ini, terdapat beberapa laporan mengatakan anda menjalin hubungan dengan Ahya Rosli. Boleh komen sedikit tentang perkara itu?
A. AIDA: Janganlah tanya lagi tentang hal itu. Malu saya dibuatnya. Kalau boleh, saya tidak mahu memanjangkan lagi perkara berkenaan. Memang saya dan Ahya berkawan tetapi ia tidak lebih daripada itu. Saya dan keluarganya juga memang rapat. Saya sendiri tidak mahu komen panjang tentangnya sebab ia berbalik kepada soal jodoh yang ditentukan Tuhan. Lagipun saya ramai kawan dan tidak semestinya apabila berkawan dengan seseorang, maka lelaki itu adalah kekasih saya.
Apa pula komen anda tentang kenyataan balas daripada Ahya tentang perkara ini?
Jawapan dia sama sahaja dengan apa yang saya cakapkan. Sebab itu adalah jawapan tepat dan senang. Kita boleh bercakap apa sahaja, tetapi semuanya diserahkan kepada kuasa Yang Maha Esa untuk menentukan.
Anda kerap kali dikaitkan mempunyai hubungan istimewa dengan lelaki yang berbeza sebelum ini. Apa komen anda?
Betul. Sebab seperti yang saya cakap, saya ramai kawan. Sebab itu apabila orang mengaitkan saya dengan Ahya, sebenarnya saya sudah lali. Sejak dulu orang bercakap perkara yang sama. Contohnya macam saya berkawan rapat dengan pelakon Mas Khan, orang terus anggap kami bercinta. Hakikatnya kami meluangkan masa selalu kerana mempunyai projek bersama untuk dilakukan. Kalau boleh, tidak perlulah panjangkan lagi kisah ini kerana kami hanya berkawan biasa.
Membuka lembaran tahun 2018, mungkin anda ada perancangan untuk membina kehidupan baharu?
Secara jujurnya, dalam hati saya ketika ini masih belum terbuka atau memikirkan soal berumahtangga. Langsung tidak pernah. Objektif saya untuk tahun ini adalah untuk terus memajukan bisnes syarikat produksi A. Aida Production Sdn. Bhd. agar dapat membentuk sebuah empayar yang ternama. Dalam masa sama, tahun ini saya dalam perancangan untuk menceburkan diri dalam bisnes lain. Ia bukan untuk diri sendiri tetapi mahu bisnes berkenaan membantu orang lain mengubah hidup. Insya-Allah pengumuman tentangnya akan dibuat kelak.
Baiklah. Beralih kepada projek terbaharu syarikat produksi anda untuk tahun ini?
Untuk tahun ini memang ada banyak projek baharu seperti drama dan telemovie. Antaranya telemovie lakonan Datuk Awie dan Liyana Jasmay yang akan ditayangkan pada 22 Januari depan. Selain itu, sebuah lagi telemovie lakonan Zizan Razak berjudul Kekasih Misteri sudah ditayangkan pada 2 Januari lalu di TV3. Selain itu, saya juga ada projek yang dinanti-nantikan oleh penonton iaitu drama Andainya Takdir 2. Sekuel drama itu diterbitkan untuk keluaran bulan Ramadan kerana mempunyai permintaan yang tinggi daripada penonton terhadap Andainya Takdir.