Liza Hanim Mahu langsai hutang dengan peminat


Pembabitannya dalam program televisyen popular, Gegar Vaganza musim keempat (GV4) seperti laluan karpet merah menyambut kedatangan pemilik nama Haliza Hanim Abd. Halim untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian.

Tidak mensia-siakan peluang diberikan, wanita berusia 38 tahun yang mesra disapa Liza Hanim itu, menyahut cabaran memperjudikan nasib dalam program tersebut sehingga layak digelar naib juara.

Biarpun tewas di tangan penyanyi senior, sekali gus pesaing terdekatnya, Aishah, Liza bagaimanapun tidak berasa kecewa. Dia sebaliknya mengakui, kemenangan tersebut layak diberikan kepada pelantun lagu Janji Manismu itu yang juga merupakan idolanya.

“Tujuan saya menyertai pertandingan itu pastinya untuk menang. Pada masa sama, saya juga merupakan peminat Aishah yang mengharapkan kemenangan itu menjadi miliknya.

“Memperoleh tempat kedua bukan suatu perkara yang mengecewakan kerana saya telah melakukan yang terbaik. Segalanya juga bergantung kepada rezeki yang ditentukan Tuhan dan saya terima segala keputusan,” terang Liza tersenyum.

Liza juga meluahkan rasa terharu terhadap sokongan peminat yang menjadi pembakar semangat buatnya menzahirkan kreativiti sebaik mungkin sewaktu membuat persembahan.

Menyentuh perasaan pelakon filem Laila Isabella itu, dia tidak menyangka masih mempunyai peminat yang menyokong kerjaya nyanyiannya sepanjang tempoh dua dekad berkecimpung dalam industri.

“Saya tidak menduga, peminat saya sewaktu awal kemunculan dalam industri suatu ketika dahulu masih terus memberi sokongan. Tindakan mereka bukan sahaja membuatkan saya terharu tetapi dijadikan dorongan untuk melakukan yang dalam kerjaya,” terang Liza penuh semangat.

Imbau kenangan

Meneruskan perbualan, Liza yang hadir pada majlis ramah mesra bersama peminat di sebuah restoran di Bandar Botanic, Klang minggu lalu, turut berkongsi debaran ketika membuat persembahan akhir dengan lagu berjudul Meniti Di Titian Usang (solo) dan Supergirl (battle) di pentas GV4.

Katanya, membuat persembahan gaya hip-hop dan rap dalam bahasa Inggeris bukan sahaja cabaran sewaktu pusingan battle, malah dia juga mengakui gementar kerana berpadu dengan bintang pujaannya, Aishah.

Liza juga menghabiskan masa sekitar dua hari untuk menghafal dan membiasakan diri dengan gaya persembahan rap lagu Supergirl, selain berusaha menjadikannya tampak semula jadi di atas pentas.

Ketika itu, jiwanya bergolak risau sekiranya percubaan menyanyi secara rap gagal menawan hati golongan masa kini, sementelah rentak lagu sebegitu lebih sinonim dengan cita rasa orang muda.

“Secara peribadi, saya sememangnya menduga akan mendapat bahagian lirik berbahasa Inggeris. Kemudian, apabila diberitahu, saya tidak lagi terkejut tetapi berasa gementar kerana bimbang tidak dapat melakukannya dengan baik.

“Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar dan peminat memberi maklum balas positif mengenai persembahan tersebut sehingga ada dalam kalangan mereka mengharapkan saya menyanyikan lagu rap pada masa akan datang. Tetapi, rasanya pada usia begini, tidak sesuai untuk saya berbuat sebegitu,” seloroh Liza sambil melepaskan ketawa kecil.



Harapan 2018

Dalam berkongsikan kenangan sewaktu membuat persembahan di pentas akhir GV4 pada Disember lalu, Liza turut meluahkan resolusi sempena kedatangan tahun 2018.

Baginya, kemenangan tersebut secara tidak langsung menjadi permulaan baik untuk kembali merencana langkah kemas dalam industri hiburan tanah air.

Tidak berniat untuk melupakan keringat usaha dan sokongan peminat, tetapi Liza memerlukan lebih banyak masa untuk menguruskan keluarga selain mengukuhkan pengurusan syarikat pengurusan majlis dan iklan, Liza Hanim Media.

Disebabkan itu, banyak perancangan Liza untuk kembali dalam bidang hiburan tergendala dan terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu.

“Kali ini saya meletakkan sasaran agar dapat melunaskan segala perancangan melibatkan penghasilan single baharu dan berhasrat untuk mengadakan showcase,” tutur ibu kepada empat cahaya mata itu.

Mengulas mengenai single baharu, Liza mengharapkan peminat menyambut baik lagu nyanyiannya bertajuk Mimpi hasil ciptaan Hafiz Hamidun, manakala lirik oleh Fedtri Yahya.

Kehadiran lagu baharu tersebut juga diharapkan memberi peluang buatnya untuk lebih dekat dengan peminat menerusi sebuah persembahan istimewa bagi mempromosikan single terbabit.

“Sekiranya diberi peluang untuk mengadakan konsert solo, ia pastinya suatu perkara yang menggembirakan tetapi memerlukan kos yang tinggi. Saya memerlukan penaja dan mengambil masa lama membuat persiapan.

“Insya-Allah saya mengharapkan semua perancangan tersebut berjalan lancar pada tahun ini dan membalas semula budi baik sokongan peminat sepanjang kerjaya selama ini,” luah Liza.

Kekalkan posisi
Pada masa sama, Liza juga mengharapkan sokongan dan kepercayaan buatnya tidak terhenti selepas GV4 melabuhkan tirai.

Menurut Liza, tahun 2018 juga memberikan cabaran dalam memastikan peterananya sebagai penghibur yang memiliki kekuatan vokal terus mendapat sokongan peminat.

“Sejujurnya, saya telah lama merancang untuk mengadakan kemunculan semula. Justeru, peluang yang diberikan ini perlu digunakan secara lebih kreatif ketika membuat persembahan.

“Selain sokongan peminat dan keluarga, berada bawah pengurusan syarikat Laugh Out Loud (LOL) Entertainment tambah meyakinkan saya untuk terus berada dalam dunia muzik tempatan,” katanya.

Tidak hanya itu, Liza turut mengakui, kini pengurusan kerjayanya menjadi lebih teratur. Pihak pengurusan juga memberi kelonggaran buatnya untuk bebas menentukan jadual aktiviti seni demi meluangkan waktu dengan keluarga.

Isteri kepada penyanyi Mohd. Shahrin Mohd. Shamsuddin atau lebih dikenali sebagai Shah Indigo itu turut meletakkan harapan agar 2018 bukan sahaja menawarkan lebih banyak peluang dalam kerjaya, tetapi mampu menyeimbangkan antara nyanyian dan tanggungjawab kepada keluarga.

Liza dan Shah mendirikan rumah tangga pada 2003 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu, Marsya Qistina, 15, Marissa Qalreen, 8, Mohamed Salahuddin, 7, dan Mohamed Ibrahim, 3.

Sokongan peminat menjadi pembakar semangat buat Liza Hanim membuat kemunculan semula sekali gus tampil aktif dalam industri seni tanah air selain mengimpikan untuk mengadakan sebuah konsert mini buat peminat.

Post a Comment

Previous Post Next Post