Menjayakan sebuah konsert berskala besar bukanlah suatu perkara yang mudah. Lebih-lebih lagi jika ia melibatkan sebuah band yang kurang pengaruhnya dalam kalangan penggemar muzik tanah air.
Begitupun, kekangan tersebut tidak menjadi halangan buat Prime Domestic yang berjaya memukau sekitar 3,000 penonton sewaktu menyaksikan konsert perdana mereka, Public Distortion 2017 di Oasis Square Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Bertemu dengan vokalisnya, Aweera selepas berlangsungnya konsert tersebut, penyanyi berusia 26 tahun itu menyifatkan Public Distortion 2017 berlangsung seperti dirancang.
Aweera turut berasa lega kerana segala penat lelah yang dilalui bersama ahli Prime Domestic lain iaitu Ainol, Joe, Hillary dan Fauzi terbayar saat melihat penonton memberikan reaksi positif terhadap persembahan mereka.
“Saya berasa sangat gembira kerana konsert ini berjaya dilaksanakan seperti dirancang.
“Ternyata, selama sebulan bertungkus-lumus berlatih, kami dapat memberikan sebuah persembahan terbaik untuk peminat yang hadir,” katanya.
Melanjutkan bicara, Aweera atau nama lengkapnya, Nasharul Aweera Noriyissham berkata, dia begitu teruja melihat tenaga yang dicetuskan oleh penonton sewaktu persembahan berlangsung.
“Melihat pada sambutan penonton, saya berasa sangat terharu.
“Biarpun kami menyanyikan lagu-lagu lama dan baharu, mereka tetap memberikan sorakan sehingga konsert selesai,” katanya lagi.
Menerusi konsert yang diberikan jolokan sebagai konsert dalam taman itu, pentas dibuka dengan persembahan band jemputan, XPDC.
Antara lagu popular yang dinyanyikan oleh XPDC termasuklah Semangat Perjuangan Harmoni dan Semangat Yang Hilang.
Pada masa yang sama, Prime Domestic turut menjayakan persembahan bersama menerusi lagu Ku Cuba.
Bagi memberikan kelainan, vokalis rock legenda, Amy Search turut diundang untuk menghiburkan penonton. Antara lagu yang dinyanyikan olehnya termasuklah Isabella, Langit Dan Bumi dan Kau Pergi.
Ditanya adakah kehadiran penyanyi dan jemputan itu sebagai satu bentuk persaingan di atas, Aweera berkata: “Tidak sama sekali. Kehadiran mereka semata-mata mahu menghiburkan penonton. Jika penonton terhibur, kami berpuas hati,” tegas Aweera.
Bercakap mengenai persembahan, Aweera menjelaskan, ada beberapa perkara yang mungkin boleh diperbaiki untuk masa akan datang.
“Salah satu perkara yang saya akan perbaiki adalah mutu vokal ketika mengadakan persembahan.
“Saya akui, agak sukar untuk mengawal vokal sepanjang menyanyikan lebih 20 buah lagu. Tetapi, cabaran sebegini yang perlu dipandang serius kerana ia boleh membantu saya untuk lebih maju sebagai seorang vokalis band rock,” katanya.
Lagu-lagu yang dipersembahkan oleh Prime Domestic begitu dekat dengan penonton. Antaranya termasuklah Fenomena, Meniti Titian Usang, Nasib Kita, Rozana dan Mentari Merah Di Ufuk Timur.
Mereka tidak ketinggalan menyampaikan lagu-lagu baharu yang dipetik daripada album sulung mereka berjudul Prima Domestika seperti Ilusi Antonasi, Amaringgo dan Sedingin Pluto.
Secara keseluruhan, konsert Public Distortion 2017 boleh dianggap berjaya. Selain mendapat sokongan padu penonton, keupayaan dua band rock, Prime Domestic dan XPDC dalam memberikan persembahan berkualiti perlu diberikan pujian.
Kedua-dua band dilihat mempunyai keistimewaan dan berjaya meletakkan kredibiliti mereka dalam kelas tersendiri. Biarpun industri muzik tempatan agak suram dan kebanyakan persembahan pentas kurang mendapat sambutan, namun kejayaan penganjuran konsert Public Distortion 2017 membuktikan sebaliknya.