Sekitar 10 tahun lalu, industri muzik Malaysia pernah menyaksikan zaman kemuncak irama nasyid.
Ketika itu, bermula tahun 1997 terdapat gelombang fenomena luar biasa diraih kumpulan Raihan. Daripada situ, puluhan kumpulan nasyid mula tumbuh dalam persada muzik tanah air.
Bagaimanapun, irama nasyid gagal bertahan lama. Biarpun masih berkumandang sehingga ke hari ini, namun sambutan pendengar tidak serancak seperti dahulu.
Mengakui tentang suasana tersebut, kumpulan nasyid In-Team yang baru sahaja meluncurkan album ke-10 berjudul Zikir Hati, bagaimanapun mengharapkan irama nasyid kembali diterima seperti sedekad lalu.
“Harus diakui, irama nasyid sedikit kurang diterima sejak kebelakangan ini.
“Namun, seperti irama rock dan balada 1990-an yang kini kembali menjadi fenomena dalam kalangan pendengar, kami berharap agar ia berlaku kepada irama nasyid juga,” ujar Syah atau nama sebenarnya Mohd. Syahril Abdul Khalid mewakili In-Team dalam temu bual yang diadakan baru-baru ini.
Tambah penyanyi berusia 37 tahun itu, irama nasyid tidak akan mati, selagi ada pendengar yang setia untuk mendengarnya.
“Untuk menarik perhatian ramai, kita perlu sentiasa mencari formula baharu agar lagu yang diterbitkan tidak ketinggalan zaman.
“Jika dahulu, lagu-lagu nasyid bertemakan cinta mendapat tempat di jiwa pendengar, resipi yang sama tidak boleh diketengahkan pada hari ini,” katanya lagi.
Menurut Syah, dia percaya bahawa irama nasyid bakal kembali diminati, sementelah dengan adanya pertandingan nyanyian seperti Gema Gegar Vaganza yang buat julung-julung kalinya disiarkan tahun lalu.
“Menerusi pertandingan seperti itu, pendengar muda akan lebih tertarik untuk mendengar lagu-lagu nasyid dan karya bersifat kerohanian.
“Pada masa sama, ia menjadi platform kepada penyanyi nasyid lama untuk membuat kemunculan semula,” katanya yang sentiasa bersifat terbuka jika dipanggil untuk menyertai pertandingan tersebut pada musim akan datang.
Zikir acapella
Beralih terhadap album Zikir Hati, In-Team yang turut dianggotai oleh Muhammad Hazamin Harun, Hisyam Ahmad @ Ahmadiah dan Abd. Rahim Osman itu mempertaruhkan sebuah album yang agak berbeza.
Jika sebelum ini mereka merakamkan lagu-lagu nasyid dan kerohanian, namun, menerusi Zikir Hati, In-Team melagukan 18 untaian zikir pilihan yang dipetik daripada kitab Al-Azkar karya Imam Nawawi.
“Zikir Hati cukup istimewa kerana ini merupakan percubaan pertama In-Team menerbitkan alunan zikir dalam sebuah album.
“Lebih istimewa, kesemua zikir dalam album ini dialunkan secara acapella tanpa menggunakan sebarang peralatan muzik.
“Dalam pada itu, trek bonus Zikir Hati yang merupakan single nasyid baharu kami turut dimuatkan dalam album ini,” kongsinya.
Buat pertama kali, In-Team tidak menerbitkan album dalam bentuk cakera padat (CD). Sebaliknya, mereka memasarkan Zikir Hati secara digital.
“Selain boleh didengar secara online menerusi beberapa platform penstriman muzik, kami turut menerbitkan album ini dalam bentuk pemacu pena (pendrive).
“Kami bukan sengaja tidak memasarkannya dalam bentuk CD, tetapi, setelah mengambil kira cara muzik didengar pada masa kini, penerbitan menerusi pemacu pena lebih sesuai,” ujarnya.