Mimah Zulkifli reda dilabel artis YouTube


Lebih empat tahun juga pendatang baharu, Mimah Zulkifli sabar menanti untuk mengetengahkan bakatnya sebagai penghibur serba boleh.

Segala-galanya ekoran pemilik nama sebenar Nurul Zaimah Zulkifli, 21, enggan disamakan dengan artis-artis kelahiran YouTube seperti Najwa Latif dan Ainan Tasneem yang memukau perhatian khalayak pada waktu itu.
Cuma kalau sudah namanya suratan, gadis kelahiran Sandakan, Sabah itu reda dan akur sekiranya masih ada netizen yang menyifatkannya sebagai artis kelahiran YouTube selepas ini.

“Memang pada mulanya saya enggan dilabel sedemikian, namun saya hanya mampu merancang. Jika itu saja caranya, tidak salah untuk mencuba,” ungkapnya kepada Sensasi Bintang.

Mengulas lanjut, Mimah yang bakal menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-21 pada 25 Disember depan juga tidak kisah dengan perbandingan yang cuba diletuskan netizen, namun tidak akan membiarkannya untuk terus berlaku.

“Jika masih ada yang menyamakan saya dengan artis YouTube lain pun tidak mengapa. Mungkin, saya boleh bereksperimen dengan muzik yang saya bawakan termasuk unsur keroncong, gamelan dan sebagainya,” jelas Mimah yang kini sedang menuntut dalam Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan Muzik Gamelan di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Pada masa sama, Mimah tidak menganggap tempoh empat tahun selama ini sekadar sia-sia apabila sekadar memulakan langkah menyerlahkan jenama pada awal tahun ini.


“Selepas memuat naik lagu di YouTube sekitar empat tahun lepas, saya kemudiannya dipanggil menjalani uji bakat bersama beberapa nama besar dalam industri hiburan tanah air sebelum akhirnya dilamar label rakaman, Sheikh Qalam Records Sdn. Bhd.

“Cuma, saya tidak menganggap ia satu penantian yang sia-sia kerana segala-galanya bergantung terhadap rezeki. Sekurang-kurangnya, saya boleh menamatkan pengajian peringkat diploma sebelum ini, jadi sudah tentu setiap yang berlaku ada hikmahnya,” getusnya melentur tawa di bibir.

Getus Mimah, buat masa ini dia sedang giat mempromosikan single pertama yang juga ciptaannya sendiri berjudul Usah Mendua.

“Single berentak pop balada itu diinspirasikan daripada kisah cinta seorang rakan sebelum diterjemahkan menjadi lagu.

“Alhamdulillah, sambutannya juga amat menggalakkan terutamanya mula dimainkan di radio-radio tempatan di Sabah,” cerita anak kedua daripada enam beradik itu.

Bagi yang ingin mengetahui perkembangan karier Mimah bolehlah mengikutinya di laman Instagram dan Twitter iaitu @mimahzulkifli.

Post a Comment

Previous Post Next Post