Kerja Janna Nick terganggu Instagram digodam


Minggu ini industri hiburan negara dikejutkan dengan berita mengenai akaun Instagram pelakon dan penyanyi popular, Janna Nick yang dipercayai digodam oleh individu tidak bertanggungjawab. Bahkan, sehingga artikel ini ditulis, akaun Instagram pelakon drama My Coffee Prince itu masih lagi tidak boleh diakses olehnya.

Sehingga kini, Janna masih tidak dapat mengakses akaun Instagram miliknya.
Difahamkan akaun Instagram yang memiliki 3.1 juta pengikut itu diceroboh penggodam sejak Khamis lalu. Situasi itu secara tidak langsung menyebabkan kesemua gambar yang pernah dimuat naik Janna sebelum ini di laman sosial tersebut hilang.

Bagaimanapun, sekeping foto lama menggambarkan imej Janna ketika masih bersekolah dengan pakaian sukan dipercayai dimuat naik penggodam pada Jumaat lalu dengan kapsyen berbunyi ‘Aku yang dahulu bukanlah yang sekarang’ pada laman sosial itu.

Gambar tersebut kemudian mendapat pelbagai respons dalam kalangan pengikutnya yang terkejut kerana gambar yang disifatkan berbentuk peribadi itu tidak mungkin dimuat naik pelakon Syurga Nur itu. Ekoran foto yang menunjukkan sisi Janna berpenampilan comot, lebih 4,000 status membanjiri ruangan komen.

Tidak terhenti di situ sahaja, dua keping foto lain yang memaparkan Janna dalam keadaan candid dengan imej jelir lidah dan menggaru ketiak dikongsikan kepada umum.

Semestinya apa yang berlaku di luar kehendak. Bahkan, Janna turut terkejut dengan insiden tersebut dan berasa terkilan dengan apa yang berlaku. Katanya lagi, dia masih dalam usaha untuk mendapatkan semula akaun Instagram miliknya.


“Saya masih tengah berusaha untuk mendapatkan akses kepada akaun saya semula. Saya tengah tak okey ni (dengan apa yang terjadi),” kata pemilik nama sebenar Nurul Jannah Muner itu kepada Sensasi Bintang ketika dihubungi baru-baru ini.

Bagi seorang artis seperti Janna, sudah pasti media sosial menjadi salah satu medium punca pendapatan menerusi aktiviti promosi produk yang diminta oleh para pelanggan. Angkara digodam, kata Janna, secara tidak langsung urusan kerjanya turut terjejas.

“Mesti terkesan semua benda hilang. Apa-apa nanti tanya Afeeq (pengurus),” katanya ringkas yang menyerahkan hal tersebut kepada pihak pengurusannya, LOL Entertainment.

Bagaimanapun, tegas Janna, dia tidak mempunyai sebarang akaun Instagram baharu buat masa ini seperti yang didakwa oleh beberapa pihak yang cuba menyamar menjadi dirinya.

Sementara itu, pengurusnya, Afeeq, ketika dihubungi memberitahu, dia berharap peminat mendoakan agar akaun rasmi Instagram Janna itu dapat diperoleh segera mungkin.

“Buat masa ini, kami tidak boleh mendedahkan sebarang perkembangan mengenai proses mendapatkan semula akaun tersebut.

“Kepada semua klien yang mempunyai urusan bagi tujuan promosi dan sebagainya di Instagram, setakat ini mereka faham dengan apa yang berlaku. Jadi, kena tunggu perkembangan seterusnya,” kongsinya.

Dalam pada itu katanya, Janna bakal tampil dengan muzik video lagu Aku Bercinta.

“Sepatutnya lagu itu kita mahu promosi di Instagram, tetapi malangnya perkara ini (digodam) berlaku pula. Jadi, agak sukar. Kami harap peminat Janna akan dapat mengikuti perkembangan muzik video itu secara terus di saluran rasmi Janna di YouTube,” kongsinya.

Post a Comment

Previous Post Next Post