Dahulu Jalak, kini Cik Manggis


Menggali emosi figura yang semakin mencipta nama iatu Cik Manggis sememangnya tidak terjangkau dek akal. Ada saja jawapan di luar firasat normal yang diungkapkan pemilik nama sebenar Nurshazwani Shamsuddin, 28, hingga meletuskan ketawa besar membelah atmosfera langit.

Geliang-geliut lenggok tari Cik Manggis yang selama ini dibumbui pesona kumpulan bernama DeFam juga kini tidak tersekat di skala biasa-biasa apabila wajahnya kian menujah rasa sang penilai setelah mengukir portfolio berkesan di layar kaca menerusi drama berjudul Saka Sisters.

Memang benar, abstraksi wanita ini memang cukup istimewa hingga ada yang tidak sedar, betapa Cik Manggis sebenarnya melakar jenama sebagai aktres terlebih dahulu sebelum menyarung jersi DeFam bersama Sophia dan Azira.

“Saya pernah berlakon watak sampingan dalam drama berjudul Bip terbitan Zeel Production sebelum projek bersama DeFam tiba-tiba meletup pada dua tahun sudah.

“Alhamdulillah, bakat saya sebagai pelakon semakin digilap dan saya bersyukur dan berbesar hati apabila (sutradara) Saka Sisters, Yusry Abdul Halim juga mengatakan lakonan saya natural dan tidak dibuat-buat,” ungkapnya kepada Sensasi Bintang.

Cuma, itu tidak bermakna Cik Manggis sudah mula berkira-kira untuk mengucapkan selamat tinggal kepada DeFam, arakian Azira dan Sophia juga memiliki komitmen berbeza.

“Kami tidak pernah melupakan asal-usul sebagai anggota DeFam. Tiada sesiapa yang akan mengenali kami jika bukan kerana DeFam.

“Kami sentiasa menjual jenama DeFam dan berbangga dengan apa yang kami ada kerana DeFam yang menjadikan kami kuat sebagai seorang individu,” ceritanya lagi.

Getus Cik Manggis, kehilangan DeFam bukan bersifat hiatus, sebaliknya memberi ruang dan peluang kepada mereka bertiga meneroka bakat masing-masing.

“Projek bersama DeFam masih ada, insya-Allah single terbaharu kami hasil sentuhan komposer tempatan supaya dapat bersaing di pentas Anugerah Juara Lagu akan dilancarkan selewat-lewatnya pada tahun ini juga.

“Saya dan Azira memang minat berlakon sementara pula Sophia lebih cenderung ke arah bisnes, jadi apa salahnya kami mengisi masa lapang sementara menanti projek terbaharu DeFam,” ujarnya.

Kekal Cik Manggis
Pernah tidak digalakkan bapa yakni pemain dram kumpulan The Zurah II, Shamsuddin Idris yang kendatipun kini merupakan penyokong nombor satu dirinya meneliti setiap lekuk dunia seni, Cik Manggis juga tidak pernah terfikir untuk menukar nama pentas hanya semata-mata kehadirannya dalam dunia hiburan kini semakin diiktiraf khalayak.

“Saya sukakan nama Cik Manggis kerana ia unik. Saya mendapat gelaran sedemikian kerana memiliki mata putih yang besar seumpama manggis ketika menuntut di UiTM (Universiti Teknologi Mara) dalam jurusan Diploma Teknologi Kreatif (Penulisan Artistik) sebelum ini.

“Kalau nak tahu, saya juga pernah disarankan supaya menggunakan nama yang lebih komersial seperti Syaz Shamsuddin sebelum ini, cuma saya lebih selesa dikenali sebagai Cik Manggis sampai bila-bila,” getusnya.

Cuma pada masa sama, Cik Manggis berkongsi cerita bahawa dia pernah dikenali sebagai Jalak ketika zaman kanak-kanak kerana perwatakannya yang agak kasar pada waktu itu.

“Ketika itu, saya tidak mahu berkawan dengan budak perempuan yang mengada-ada. Rambut pun tercacak ke atas sehingga dipanggil Jalak gara-gara terpaksa memotong rambut di kedai gunting mamak memandangkan salun yang biasa dikunjungi rupa-rupanya tutup.

“Saya masih ingat apabila ada yang menyangka saya sebenarnya budak lelaki gara-gara kejadian itu,” getusnya melentur tawa di bibir.

Anak kedua daripada empat beradik itu memberitahu, selain teruja apabila kini memiliki kelas koreografi yang dikelolakan pada setiap minggu, tiada lagi yang diimpikan selain memiliki studio tarian sendiri dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Sementelahan pula, Cik Manggis mendapat sokongan penuh suaminya yang juga pemain skuad bola sepak Kuala Lumpur, Mohd. Syazmin Firdaus Mohd. Aminuddin, 29.

“Di sebalik kesibukan karier, kami sentiasa ada untuk satu sama lain. Jadi, jarak dan masa bukan penghalang. Kami juga tidak pernah merancang keluarga dan tidak tertekan soal anak, jika ada rezeki mudah-mudahan insya-Allah,” jelasnya yang mengidam sepasang anak kembar.

Siapa Cik Manggis
Tatkala cuba menyelongkar perihal keperibadiannya yang barangkali tidak diketahui umum, ini jawapan jujur Cik Manggis.

“Saya memang paranoid terhadap laut kerana pernah hampir lemas di lombong ketika kanak-kanak. Selain itu, saya memang cemerkap dan pelupa, ada saja barang yang jatuh serta terlupa di mana meletakkan barangan itu.

“Pada masa sama, untuk menunjukkan arah juga merupakan masalah besar buat saya. Jika ada yang bertanya, saya memang mengambil masa yang lama untuk menerangkan perkara itu,” jelasnya.

Itu belum cukup pelik apabila Cik Manggis tersipu-sipu mengaku dirinya memiliki tabiat yang mungkin sukar difahami orang lain.

“Saya perlu melihat cahaya yang terang sebelum boleh terbersin, tidak lengkap rasanya jika saya tidak bersin pada waktu pagi.

“Selain itu, saya juga melangkah masuk bilik air secara mengundur kerana secara automatik saya akan melangkah menggunakan kaki kiri, itu kan lebih afdal tambahan pula saya sememangnya pelupa,” getusnya menguntum senyum.

Ditebak siapa lagi sebenarnya Cik Manggis selain seorang pelakon, penyanyi, hos dan koreografer, wanita manis ini tenang menyimpul bicara.

“Ramai tidak tahu saya sebenarnya seorang pesilat tempur acara jurus tunggal dan pernah mewakili negeri di peringkat kebangsaan sebelum ini,” noktahnya. Ya, Cik Manggis sememangnya cukup istimewa.

Post a Comment

Previous Post Next Post