Amar Baharin tonjol sisi suami idaman


Bukan mudah melihat seseorang yang kita rapat memiliki nasib lebih beruntung. Maka, sekelumit rasa iri hati mula menerjah ruang hati dan kerana tidak dibendung, akhirnya menjadi barah yang sukar untuk dirawat.

Itu intipati drama Kalis Kasih yang kini disiarkan secara eksklusif di laman web Tonton bermula pada 24 November lalu.

Membariskan pelakon hebat seperti Amar Baharin, Mawar Rashid, Elvina Mohamad, Syazwan Zulkifly, Nazeera Sardi, Azri Iskandar, Rosnah Johari, Anne Abdullah dan Amyza Adnan, drama arahan Nazir Jamaluddin terbitan ZK Creative Sdn. Bhd. itu menampilkan kisah permusuhan dalam keluarga yang pastinya akan meresahkan hati penonton.

Membawa watak seorang suami yang diidamkan oleh para wanita, Amar menyifatkan watak bernama Khair itu memerlukannya untuk menonjolkan sisi lelaki bertanggungjawab, segak, penyayang, beragama dan berkerjaya demi meyakinkan penonton.

“Saya perlu meyakinkan penonton Kalis Kasih agar ciri-ciri seorang lelaki idaman itu ada pada saya, jadi tidaklah mereka anggap saya tidak bersesuaian membawakan watak tersebut,” ujarnya sambil melentur tawa di bibir.

Hampir tiga tahun tidak menerajui watak utama dalam drama siaran TV3, Amar bersyukur apabila terpilih untuk menjayakan watak Khair dalam drama yang bakal bersiaran di slot Samarinda, TV3 usai ia disiarkan di Tonton kelak.

“Alhamdulillah kerana diberi kepercayaan sekali lagi untuk menerajui watak utama setelah hampir tiga tahun tidak menerajuinya di drama TV3. Kali terakhir saya menerajui watak utama dalam drama Kerana Terpaksa Aku Relakan di Slot Akasia (2014),” ujarnya yang mengaku seronok bergandingan dengan pelakon muda seperti Mawar dan Elvina.


Mengulas lanjut mengenai dua pelakon cantik itu, kata Amar, cukup mudah berlakon di samping Mawar dan Elvina kerana mereka berdisiplin dan berbakat besar dalam bidang lakonan.

Mengulas mengenai drama Kalis Kasih, Amar memberitahu, ia sebuah naskhah berat mengisahkan tentang kehidupan keluarga yang penuh kasih sayang, namun menjadi berantakan apabila ada individu lain cuba campur tangan.

“Cerita ini lebih dekat dengan masalah yang terjadi dalam kalangan masyarakat kita yang mana masalah dengan ibu mertua serta ibu bapa yang terlalu sibuk hingga terlupa kasih sayang dan tanggungjawab pada anak,” katanya lagi.

Drama Kalis Kasih mengisahkan tentang Amanda dan Dania yang merupakan sepupu rapat tetapi mempunyai karakter berbeza.

Amanda (Mawar) merupakan anak bandar yang terpaksa tinggal dengan keluarga Dania (Elvina) di kampung selepas kematian orang tuanya. Apabila dewasa, Amanda telah berkahwin dengan Khair dan memperoleh anak bernama Iris.

Tidak mahu mengambil pembantu rumah, Dania membantu Amanda mengasuh Iris. Namun, Amanda mula cemburu melihat anaknya menjadi semakin rapat dengan Dania.

Amanda kemudiannya mengandung anak kedua, namun malang menimpa apabila dia terjatuh tangga dan mengalami keguguran. Malah, rahimnya juga terpaksa dibuang. Iris pula meninggal dunia akibat keracunan makanan ketika Amanda runsing memikirkan ibu mertuanya yang mendesak Khair untuk berkahwin lain.

Aplikasi Tonton boleh dimuat turun menerusi Google Play atau lawati laman web www.tonton.com.my.

Post a Comment

Previous Post Next Post