Lakonan masih keutamaan Pekin Ibrahim


Biarpun kemunculannya dalam kaca televisyen agak jarang kerana masanya banyak tertumpu kepada pembikinan filem dan duduk di kerusi pengarah, namun itu tidak bermakna Pekin Ibrahim akan meninggalkan dunia lakonan.

Jelas pelakon berusia 37 tahun itu, lakonan masih menjadi keutamaan dirinya biarpun kini sedang sibuk dengan beberapa buah filem seperti Tujuh, Suatu Ketika termasuk KL Wangan yang telah mula ditayangkan.

“Biarpun sekarang sedang berjinak-jinak dengan dunia pengarahan tetapi saya tetap berlakon. Dalam filem KL Wangan contohnya, saya menggalas dua tugas iaitu teraju utama dan juga pengarah.

“Selain berlakon, bikin filem juga merupakan salah satu minat saya. Jadi, ia bergantung pada rezeki yang mana datang dahulu,” ujarnya ketika ditemui pada majlis tayangan filem tersebut di GSC Pavilion KL baru-baru ini.

Menceritakan lanjut tentang pembikinan filem itu, Pekin memberitahu, ia menelan kos belanja sebanyak RM5 juta kerana menggunakan banyak jenis kereta termasuk model luar dan tempatan.

Ironinya, KL Wangan mengambil masa selama empat tahun untuk disiapkan. Ia mengambil masa yang lama kerana faktor pemilihan pelakon, suntingan, muzik dan kesan bunyi terbaik.

“Sesi pemilihan pelakon sahaja memakan masa selama setahun kerana saya tahu tidak semua mempunyai nilai yang bagus untuk diangkat di layar perak. Dengan adanya pelakon handalan seperti Faizal Hussein dan Kazuto Soon yang banyak berkongsi pengalaman tentang dunia perlumbaan kereta, mereka melengkapkan filem ini,” kata Pekin.

Selain itu, Pekin turut meluahkan keterujaan atas kerjasama yang terjalin dengan kru produksi dan pelakon dari negara jiran, Indonesia.



Perlumbaan malam

KL Wangan yang dibintangi Faizal, Pekin, Kazuto dan Emily Chin itu turut menampilkan dua orang pelakon popular dari Indonesia iaitu Donny Alamsyah dan Alfridus Godfred.

“Kerjasama ini telah memberi pengalaman berbeza kepada saya dan kru produksi kerana dari situ secara tidak langsung kami berpeluang belajar banyak perkara terutama gaya kerja,” ujarnya yang merancang mengeluarkan sekuel filem tersebut selepas ini.

Menjelaskan tentang perkataan Wangan yang diambil daripada terma bahasa Jepun bermaksud perlumbaan malam, Pekin turut bercerita mengenai kelainan yang disuntik dalam filem arahan keduanya itu.

“Wangan (perlumbaan malam) adalah suatu perkara baharu di negara kita walaupun sebenarnya budaya itu memang sudah lama ada. Kalau kanjo hanya untuk satu model kereta sahaja tetapi wangan melibatkan semua jenis kereta.

“Sebab itu dalam filem ini keistimewaannya adalah penonton dapat melihat aksi lumba kereta daripada model tempatan seperti Perodua Kancil dan Viva,” jelasnya.

Berkongsi sedikit perkembangan terkini, pelakon dan pengarah filem Mat Moto itu bakal menerbitkan sebuah filem indie bersama pelakon Namron.

Pekin yang turut ditebak dengan kisah peribadi iaitu kesediannya menamatkan zaman bujang enggan mengulas panjang dan sambil berseloroh dia berkata, masanya belum sesuai kerana wangnya banyak dilaburkan untuk filem.

“Macam mana mahu kahwin, duit banyak habis untuk filem. Walaupun sedar usia semakin tua tetapi semuanya saya serahkan kepada ketentuan Tuhan memandangkan keluarga juga tidak pernah mendesak,” tutupnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post