Sebelum ini, bekas anggota VE, Damian Mikhail telah menegur nyanyian rap oleh penyanyi muda, Aiman Tino.
Teguran secara terbuka Damian itu mendapat perhatian ramai termasuklah daripada sahabat baiknya yang juga bekas anggota VE, Lah Ahmad.
Lah memberitahu ada cara yang lebih manis untuk menegur orang.
Katanya, Damian mungkin boleh menegur dengan secara berhemah dan profesional serta lebih baik.
“Saya sendiri pun kena tegur. Tapi, kalau secara terbuka mungkin kurang sesuai dan ada baiknya dibuat secara one to one. Saya sendiri pernah ditarik oleh seorang ustaz ke satu sudut dengan tujuan menegur bacaan.
“Ia boleh dibawa berbincang. Saya mengaku sebenarnya banyak belajar mengenai muzik dengan Damian. Kami selalunya duduk sebilik jika buat persembahan di luar. Dia seorang yang bagus dan mungkin perkara ini berlaku tanpa dijangka,” katanya.
Bahkan, pelantun lagu Salam ini lebih selesa mengambil pendekatan berbeza tetapi dilihat lebih ‘mesra’.
“Sebagai contoh, dulu saya segan nak mendekati seorang ustaz kerana caranya yang garang dalam memberi teguran. Tapi, bila saya mula mendalami agama, saya banyak memperoleh ilmu baru.
“Saya bukanlah menyebelahi mana-mana pihak. Kita ambil pendekatan Rasulullah, orang jatuh cinta dengan Baginda kerana adab dan akhlaknya yang bagus,” katanya.
Terdahulu, melalui status di laman sosial Facebook (FB), Damian mengecam nyanyian Aiman bersama kakaknya, Fara Hezel untuk lagu Terasa Cinta.
Penyanyi popular rap awal 2000 itu menyifatkan tindakan Aiman sebagai satu pencemaran dan penghinaan bagi industri muzik hip hop.