Strategi single 
Aliff Syukri, Nur Sajat


Nur Sajat, Aliff Syukri dan isterinya, Nur Shahida tampil dengan single berjudul Abang Nak Tegur. Lagu tersebut dihasilkan dalam tiga versi selepas netizen mengkritik suara Sajat yang kemudiannya digantikan oleh Shahida.

Sebuah publisiti buruk atau baik, tetap dipanggil publisiti. Berpegang pada prinsip itu, pengasas produk D’Herbs, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman menguatkan hati untuk menerima tawaran bergelar seorang artis rakaman di bawah KRU Music.

Muncul dengan single perdana, Abang Nak Tegur duet bersama selebriti media sosial, Nur Sajat Kamarulzaman tiga minggu lalu, pelbagai kritikan dan komen negatif yang perlu dihadapi lelaki berusia 30 tahun itu.

Tidak cukup dengan kutukan suaranya yang dikatakan syok sendiri, ramai yang mempertikaikan pemilihan Nur Sajat sebagai rakan duet, sedangkan ramai lagi penyanyi yang lebih berbakat.

Sewaktu ditemui pada majlis pelancaran lagu Abang Nak Tegur di Flora Terrace baru-baru ini, Aliff memberitahu tidak suka melepaskan peluang seumur hidup hanya untuk memuaskan hati orang lain.

KOSMO!: Mengapakah Aliff tiba-tiba sahaja mahu menjadi seorang penyanyi?

ALIFF: Saya tidak pernah pergi melobi diri supaya ditawarkan kontrak menjadi artis rakaman, namun rezeki Allah, Datuk Norman Abdul Halim dari KRU Music sendiri yang datang menawarkan peluang itu. Sebagai manusia, pastinya saya akan teruja dan bersetuju, ditambah pula saya sejak dulu meminati KRU dan berangan-angan menjadi seperti mereka.

Adakah anda yakin dengan kemampuan vokal anda?

Saya sedar diri suara memang tidak sehebat mana. Namun, saya bertuah kerana KRU Music mengambil serius hal itu dan mencipta lagu yang sesuai dengan vokal saya yang biasa-biasa sahaja ini.

Saya sendiri beritahu Norman bahawa suara memang tidak sedap, malah sering dikomen peminat jikaa berlakon iklan produk saya.

Kata Norman, suara saya unik dan pihaknya tidak akan melatih saya menjadi seperti penyanyi lain, sebaliknya menggunakan keunikan suara itu untuk lagu-lagu yang lebih santai.

Mengapa anda memilih Nur Sajat sebagai rakan duet?

Kalau bukan sebab Sajat, pasti lagu ini tidak menjadi tular bukan? Lagipun apa salahnya dia berkolaborasi dengan saya kerana kami masing-masing mempunyai kelompok peminat yang besar serta berbeza.

Bagi saya, ini satu strategi yang bagus. Namun, saya faham sensitiviti masyarakat kita, maka KRU Music telah menghasilkan sebuah lagu sama iaitu Abang Nak Tegur 2.0 yang menampilkan isteri saya sendiri, Datin Seri Nurshahida Abd. Rashid dan alhamdulillah ia mendapat respons sangat positif.

Bukan saya tidak mahu menampilkan Shahida sejak dari mula, namun isteri saya tidak suka ke depan dan lebih selesa menguruskan perniagaan di belakang tabir.

Berkenaan kontroversi dirompak dan bergaduh dengan Sajat di Sepanyol sewaktu penggambaran klip video ini, adakah ia sekadar gimik?

Tidak sama sekali. Saya buat laporan polis tentang hal itu dan kehilangan hampir RM400,000, bukan perkara gurauan.

Ia berlaku pada hari pertama tiba di sana dan sangat mengganggu emosi saya.

Berkenaan bergaduh dengan Sajat, ia hanya perselisihan faham dek kerana saya tertekan memikirkan hal rompakan itu dengan cuaca yang sejuk, namun kami kembali berbaik selepas pulang ke tanah air.



Apakah komen apabila ada yang mengatakan anda cuba meniru Datuk Seri Vida dengan penghasilan single ini?

Saya dengan Datuk Seri Vida berkawan baik dan kami tidak pernah bersaing sesama sendiri, jadi tidak timbul isu tiru-meniru ini.

Setiap orang berhak mencuba bidang yang mereka suka. Saya sudah cuba bidang lakonan, jadi ingin merasa pula pengalaman bergelar penyanyi.

Sementara itu, bagi Nur Sajat pula, pengalaman dikritik oleh peminat sewaktu menyanyikan lagu Abang Nak Tegur langsung tidak meninggalkan bekas dalam hatinya kerana sudah lali dikecam masyarakat.

Kata Sajat, ketika Aliff menawarkan peluang untuk berduet bersama, dia bersetuju kerana mereka berdua adalah rakan baik dan sering bekerjasama dalam soal perniagaan.

KOSMO!: Apakah perasaan Sajat apabila membaca komen negatif peminat tentang penampilan anda dalam Abang Nak Tegur?

SAJAT: Saya rasa mereka semua tidak ada kehidupan dan sibuk mencari kesalahan orang lain. Saya menyanyi bukan untuk mereka yang membenci tetapi buat khalayak yang sering menyokong saya dan Aliff. Saya sudah kalis kritikan, jadi enggan ambil pusing perkara itu.

Ada yang mempertikaikan tindakan anda pergi ke Sepanyol bersama Aliff tanpa ditemani isterinya sebagai tidak menghormati Shahida. Apakah yang sebenarnya yang berlaku?

Sepatutnya memang Shahida ikut serta, namun terpaksa dibatalkan pada saat akhir kerana dia hamil dan tidak boleh mengharungi penerbangan selama 21 jam ke Sepanyol.

Saya memang rasa serba salah bila perlu ke sana bersama Aliff tanpa isterinya, namun perlu memahami keadaan Shahida juga. Orang di luar sana tidak tahu cerita sebenar dan menuduh kami berdua bukan-bukan.

Benarkah anda bergaduh dengan Aliff sewaktu menjalani penggambaran?

Bukanlah bergaduh besar, cuma terasa hati sedikit sahaja. Saya faham dia sedang tertekan dengan kehilangan dompet dan barangan bernilai, cuma bila dimarahi depan orang maka sebagai manusia siapa yang tidak berasa segan.

Namun saya kenal Aliff macam mana, dia memang seorang yang cakap lepas tetapi dia tidak simpan dalam hati. Jadi, kami okey dan berkawan seperti biasa.

Memandangkan kini anda sudah sebelah kaki dalam industri hiburan, adakah akan menimbangkan tawaran lain pada masa hadapan?

Buat masa sekarang, saya masih belum memikirkan hal itu kerana memiliki perniagaan untuk dijaga. Berbeza dengan Aliff, dia mempunyai isterinya untuk memantau perniagaan mereka jika dia sibuk dengan jadual seni berbanding saya yang bekerja seorang.

Tengok dahulu keadaan macam mana, kalau saya boleh susun jadual dan tawaran itu menarik, apa salahnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post