Luqman Hafidz belajar menari, menyanyi


Luqman Hafidz yang tiada asas nyanyian atau tarian berdepan cabaran besar bagi memastikan kemunculannya membawa karakter Ali berjaya meninggalkan impak apabila muzikal Ola Bola dipentaskan menjelang Februari tahun depan di Istana Budaya.

Demi memenuhi tuntutan pementasan teater Ola Bola yang berjalur muzikal, pelakon Luqman Hafidz tekad mahu menguasai dan mempelajari teknik tarian dan nyanyian.

Luqman yang memegang watak Ali merupakan salah seorang daripada pelakon asal filem daripada judul sama termasuk Lim Jian Wen yang berjaya melayakkan diri ke pementasan naskhah arahan Puan Sri Tiara Jacquelina.

Biarpun begitu, Luqman mengakui ada banyak cabaran yang perlu ditempuhinya termasuklah cara penterjemahan sisi watak Ali dalam bentuk persembahan teater.

Ikuti temu bual bersama pelakon berusia 26 tahun itu ketika ditemui pada majlis pengenalan barisan pelakon teater muzikal Ola Bola baru-baru ini.

KOSMO!: Boleh Luqman ceritakan tentang penglibatan dalam pementasan teater muzikal Ola Bola?

LUQMAN HAFIDZ: Saya masih memegang watak Ali sama seperti dalam naskhah asal. Meskipun merupakan pelakon sebenar dalam versi filem tetapi saya perlu melalui sesi uji bakat selepas pihak produksi menjemput semua pelakon asal filem ini datang ke sesi uji bakat.

Namun, ada antara mereka yang tidak dapat memenuhi komitmen yang dicari, maka hanya saya dan Jian Wen yang terpilih.

Memandangkan ia sebuah persembahan muzikal, jadi apakah persediaan rapi yang telah anda lakukan demi menjayakan karakter seperti yang ditugaskan?

Sudah tentu teknik tarian dan nyanyian. Sekarang saya sedang belajar menari tarian B-boy daripada rakan-rakan pelakon lain yang memang penari. Bagi nyanyian pula, saya banyak belajar daripada penyanyi Altimet memandangkan untuk pementasan ini saya ada dua buah lagu rap yang perlu dinyanyikan secara solo.

Apakah cabaran paling besar perlu anda lalui untuk pementasan teater terbitan Tiara Jacquelina itu?

Disebabkan ia adalah teater muzikal dan memerlukan elemen tarian dan nyanyian, jadi ia sangat susah memandangkan saya tiada kedua-dua asas cabang seni itu. Semua perkara akan jadi mencabar sekiranya kita tidak pernah mencubanya.

Namun, cabaran paling utama adalah berlakon di atas pentas secara langsung. Itu sangat mencabar sebenarnya kerana ia perlu dilakukan tanpa boleh berhenti tidak seperti dalam drama atau filem. Bagaimanapun, ia sebenarnya memberi pengalaman baharu kepada saya.

Apakah kemunculan anda dalam teater ini memberi sebarang tekanan memandangkan naskhah asalnya mendapat sambutan luar biasa daripada penonton?

Sejujurnya, memang ada sedikit tekanan kerana peminat sudah mengenali watak Ali dalam versi filem. Jadi, ia memberi saya sedikit tekanan untuk saya menterjemahkan watak itu dalam versi teater. Ditambah pula dengan sisi persembahan muzikal, jadi saya yakin watak Ali akan memberi sedikit kelainan kepada penonton.

Selain itu, boleh kongsikan perkembangan terkini anda?

Buat masa sekarang memang saya fokus kepada latihan Ola Bola kerana ia menuntut komitmen yang tinggi. Latihan sebenar akan bermula pada bulan November sehinggalah ke tarikh pementasan awal Februari tahun depan.

Ini adalah peluang terbesar yang pernah saya dapat, lebih-lebih lagi ia dipentaskan di Istana Budaya. Jadi, saya perlu beri perhatian sepenuhnya untuk projek ini. Insya-Allah, saya percaya rezeki lain akan menyusul selepas ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post