Anjakan kualiti #GegarVaganza 4


Barisan 12 peserta GV4 masih meneruskan kemaraan pada konsert minggu kedua Ahad ini.

Barubermula, gelanggang Gegar Vaganza musim keempat (GV4) yang diserikan dengan 12 bintang bertanding bagaimanapun sudah menunjukkan taring apabila menzahirkan persembahan dengan segunung pujian daripada juri.

Masakan tidak, pada minggu pertama konsert, penyanyi Aishah misalnya memungut markah cemerlang daripada dua juri tetap, Datuk Ramli MS dan Hetty Koes Endang serta juri jemputan, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan iaitu sebanyak 96 peratus.

Hal tersebut membuktikan bahawa tanda aras pertandingan nyanyian kesukaan ramai tersebut semakin tinggi dengan kualiti peserta yang kian memberangsangkan.

Skala tersebut turut diakui Ramli. Kata beliau, kesemua 12 penyanyi yang dipilih menunjukkan kualiti bersesuaian dengan status mereka sebagai penghibur berpengalaman.

[KONSERT GEGARVAGANZA]


“Saya sangat berpuas hati dengan kesemua persembahan. Fantastik! Mereka semua layak menerima layanan seni yang diraih hari ini,” kata Ramli usai konsert minggu pertama GV4 pada Ahad di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad turut mengiakan bahawa musim kali ini menunjukkan prestasi persembahan yang luar biasa.

“Saya boleh katakan bahawa GV4 kali ini adalah yang terbaik dari segi kualiti peserta. Ia sejajar dengan misi kami untuk menjadikan edisi terbaharu GV berada pada tahap yang berlainan. Memang mutu nyanyian penyanyi lebih mantap.

“Bukan itu sahaja, kami juga optimis untuk membawa program ini ke tahap yang lebih tinggi iaitu ke Nusantara dengan melihatkan peserta Indonesia (Firman) dan Singapura (Ferhad),” kata Raqim.

Buat juri tetap yang diterbangkan khas dari Indonesia, penyanyi tersohor Hetty Koes Endang meluahkan rasa berasa bangga kerana duduk di kerusi juri dalam GV4.

“Sebelum menerima tawaran untuk menjadi juri tetap dalam program ini, saya terlebih dahulu lihat senarai penyanyi. Sesudah itu, saya terus bersetuju kerana yakin dengan bakat mereka semua.

“Menjadi juri dalam program ini semestinya saya tidak perlu ‘pusing’ kerana nyanyian mereka tidak perlu diperbetulkan lagi. Senang kerja saya (ketawa),” kata pelantun lagu Rindu itu ceria.

Chef Wan yang bertindak sebagai juri jemputan pada malam tersebut turut memuji persembahan kesemua para peserta.

“Baru bermula namun persembahan peserta sudah hebat-hebat belaka. Saya tidak dapat bayangkan apa akan berlaku pada tujuh minggu konsert selanjutnya,” jelasnya.

Dikendalikan dua pengacara kesayangan ramai, Nabil Ahmad dan Jihan Muse, konsert minggu pertama GV4 menyaksikan tiada sebarang penyingkiran berlaku.

Konsert minggu kedua dengan tema Sekali Dengar Melekat bakal menyaksikan Aishah mendendangkan lagu (Dingin), Firman (Rindu Serindu Rindunya), Hazami (Setengah Mati Merindu), Liza Hanim (Aku Hanya Pendatang), Lan Kristal (Karam).

Tia Jinbara (Cenderawasih), Elyana (Masih Cinta), Syura (Ku Pendam Sebuah Duka), Ferhad (Harus Terpisah), Aqasha (Aku), Haida (Gubahan Rindu Puisi Syahdu) dan Raja Azura (Apa Yang Ku Cari).

Post a Comment

Previous Post Next Post