Masa depan Haqiem Rusli


Impian

Memecah rekod peribadi apabila kedua-dua single hitnya berjaya memasuki pentas separuh akhir Muzik-Muzik ke-32, Haqiem menyifatkan ia sebagai mimpi yang menjadi kenyataan.

Kemunculannyasebaris dengan pucuk muda industri seni suara yang lain, namun bezanya perjuangan penyanyi baharu yang semakin meningkat popular, Haqiem Rusli adalah dari segi pilihan genre muzik.

Jika rakan-rakan seperjuangan lain seperti Aiman Tino dan Tajul memilih untuk menghangatkan pentas hiburan dengan untaian lagu balada 1990-an ‘tangkap leleh’ yang dimodenkan, lain pula dengan prinsip Haqiem apabila mengetengahkan irama balada asli.

Seantero Malaysia terpukau dengan lantunan tona vokalnya yang tinggi meskipun Haqiem baru mencecah usia 19 tahun. Di sebalik kematangan vokal, perkara menarik yang menjadi perhatian adalah tatkala peminat menyamakan lentur suaranya mirip seperti penyanyi Hafiz Suip.

Itu sedikit sebanyak gambaran tentang pemilik nama penuh Ridzuan Haqiem Rusli yang mula terkenal sejak setahun lalu. Ironinya, sebelum meledak dengan populariti luar jangkaan, Haqiem telah banyak menyertai beberapa program realiti seawal usia 10 tahun.

Bukan sekadar hadir dengan pakej vokal yang mantap dan barisan lagu popular, Haqiem juga mempunyai bakat dalam penghasilan dan penciptaan lagu.

Jika sebelum ini dia mencipta single Pesan untuk penyanyi Irfan Haris, terbaharu lagu kedua ciptaannya berjudul Tersiksa nyanyian Putera Band turut mendapat sambutan hangat.

“Alhamdulillah, sekarang saya memang sedang berjinak-jinak dalam bidang penghasilan lagu. Pada masa terdekat saya akan menghasilkan lagu terbaharu untuk penyanyi Sufi Rashid,” ujarnya ketika ditemui pada sidang akhbar separuh akhir Muzik-Muzik ke-32 baru-baru ini.

Album

Lebih manis, usia penglibatannya dalam industri yang setahun jagung bukan menjadi halangan untuk Haqiem menghasilkan album pertama. Mengandungi sebanyak enam buah lagu termasuk Segalanya dan Tergantung Sepi, album debut tersebut bakal dilancarkan dalam masa terdekat.

“Semua lagu sudah siap tetapi sekarang sedang tunggu masa sesuai untuk dilancarkan. Selain Segalanya dan Tergantung Sepi, akan ada empat buah lagu baharu termasuk single ketiga berjudul Jatuh Bangun.

“Single itu berlainan daripada dua buah lagu terdahulu kerana ia bergenre rancak. Ia mengisahkan pengalaman sendiri dan suka duka saya dalam kehidupan sejak di bangku sekolah. Jadi, saya sangat berharap peminat dapat menerima perubahan genre dalam lagu itu,” cerita Haqiem yang mahu mencabar diri dengan melakukan perubahan dalam single ketiganya.

Bercerita lanjut tentang single Jatuh Bangun ciptaannya bersama Omar K tersebut, Haqiem meletakkan harapan tinggi agar ia diterima peminat sebagaimana dua lagu terdahulu yang telah mengangkat namanya.

“Sebab saya fikir, inilah masa sesuai untuk mencuba genre lain. Selain permintaan peminat yang tinggi, saya juga risau kalau mereka bosan asyik mendengar lagu dengan melodi sedih.

“Jika percubaan untuk menambat hati peminat dengan lagu rancak kurang berjaya, saya akan kembali dengan lagu-lagu berbentuk balada memandangkan peminat menyifatkan genre sebegitu sebagai makanan saya,” katanya.

Bisnes

Sentiasa bersedia bagi cabaran mendatang, Haqiem sudah mempersiapkan diri dengan perancangan untuk menjalankan perniagaan gerai burger yang diberi jenama Haqiem Burger. Perniagaan yang bakal memulakan operasi bermula tahun depan itu diusahakan bersama abangnya.

Melihat perancangannya, pemikiran Haqiem sebenarnya lebih matang berbanding usia. Katanya, dia sentiasa memikirkan soal hala tuju masa depan agar dijadikan bekalan dan berwaspada dengan masa sukar yang tidak terduga.

“Salah satu faktor perniagaan itu yang dipilih memandangkan saya sendiri peminat burger. Jadi, ini adalah salah satu langkah persediaan mendepani hari mendatang sebagai anak seni yang tidak boleh dijangka pasang surut karier.

“Saya selalu mengambil pengalaman daripada kisah artis-artis lain yang tidak pandai mengawal sumber kewangan ketika berada di puncak populariti. Selepas karier jatuh merudum, dalam tangan mereka tiada apa-apa aset untuk dijadikan penyelamat pada masa depan.

“Kalau ditakdirkan saya jatuh suatu hari nanti, sekurang-kurangnya ada pelan sokongan untuk meneruskan kehidupan,” jelas Haqiem yang kini dalam proses membuka kedai pertama Haqiem Burger di sebuah pusat beli-belah di ibu kota.

Menyentuh tentang kejayaan kedua-dua buah lagu hitnya iaitu Tergantung Sepi dan Segalanya yang memasuki peringkat separuh akhir Muzik-Muzik ke-32, terbit perasaan gemuruh memandangkan ini merupakan pengalaman pertama Haqiem beraksi di atas pentas besar.

Apatah lagi kehadirannya sebagai generasi baharu di atas pentas itu sebaris dengan nama besar dan lebih berpengalaman seperti Dayang Nurfaizah, Black, Akim & The Majistret dan Hazama.

“Saya tidak fikir perkara lain kecuali gementar dan harapan tinggi peminat terhadap kedua-dua lagu itu. Ia suatu tekanan tetapi apa yang boleh saya berikan adalah usaha dan persembahan terbaik.

“Kedua-dua lagu ini ada cabaran tersendiri kerana bernada tinggi. Saya banyak berlatih vokal dengan Ernie Zakri bagi memantapkan persembahan,” tutur Haqiem yang akan mendendangkan kedua-dua lagu tersebut mengikut susunan muzik asal tanpa perubahan.

Post a Comment

Previous Post Next Post