Farah Idayu bersyukur diberikan peluang kedua untuk merencana karier seni selaku penyanyi berwibawa.
Setiap yang indah itu jangan dijadikan kenangan, kelak tidak boleh melepaskan segenap memori pada masa silam. Mencari garis sinkron antara apa yang telah berlaku bersama apa yang bakal terjadi juga tidak semudah menyusun aksara demi membentuk bicara yang menyentuh segenap pelosok jiwa.
Gahnya satu nama bernama Nor Farah Idayu Yaakub juga tertancap di benak peminat usai dinobatkan selaku juara Akademi Fantasia (AF) Megastar 2017 baru-baru ini. Lihat saja jumlah puluhan ribu pengikutnya di laman Instagram, @idayuafmegastar berbanding sebelum ini.
Hingga ada yang terlupa ataupun terlepas pandang, betapa lagu Tiada Lagi Tangisan sebenarnya lagu selamat tinggal buat Idayu, 32, ketika minggu keempat AF musim ketiga lebih satu dasawarsa sudah.
Sejak itu, dogma rasa anak jati Kubang Kerian, Kelantan ini seakan-akan timbul tenggelam dibadai samudera seni serta seolah-olah menanti masa untuk karam jika tidak kerana wujudnya kembali platform seperti mana AF Megastar.
Betapa ganasnya gelombang ‘tsumawi’ ketika itu juga cukup besar buat Idayu menongkah, cuma itu bukan bermakna dia sesal tak sudah.
“Tidak timbul soal kecewa, apatah lagi menyesal apabila tersingkir awal pada waktu itu kerana segala-galanya rezeki daripada Allah. Jadi, saya tidak pernah memikirkan soal itu,” ungkapnya membuka bicara kepada Sensasi Bintang.
Idayu merupakan antara penyanyi tempatan yang mampu mengalunkan nota-nota muzik yang berada pada oktaf ketujuh.
Karier
Keputusan untuk kembali meletak jejak di platform AF Megastar juga disifatkan Idayu sebagai tepat pada masanya, sementelahan pula mereka yang bertanding bukan sekadar lawan tetapi sahabat.
“Reputasi mereka yang bertanding di pentas AF Megastar sememangnya bukan calang-calang, mereka yang diuji bakat sebelum terpilih juga bukan sedikit, mencecah ratusan peserta AF.
“Ini yang saya katakan rezeki, jadi saya benar-benar bersyukur memperoleh peluang kedua bagi merencana karier,” getusnya.
Diibaratkan seperti mati hidup semula, kehilangannya selama ini sejak 2005 juga bukan satu calar yang bisa menghadirkan rasa kecamuk dalam kotak hati Idayu.
“Sekurang-kurangnya, saya kini hadir semula dengan sedikit ilmu. Saya sudah tahu selok-belok dunia seni. Apa yang boleh dilakukan serta apa yang tidak,” tegasnya lagi.
Selain giat mempromosikan single berjudul Selamanya ciptaan rakan seangkatannya dalam AF3 iaitu Amylea, Idayu turut memasang impian supaya dapat melakukan konsert secara besar-besaran bersama rakan-rakan AF selepas ini.
“Menjayakan sebuah konsert sememangnya satu idaman, mudah-mudahan ia bakal menjadi kenyataan. Bukan semua orang memperoleh peluang kedua dalam hidup, jadi saya harus benar-benar serius.
“Disebabkan itu, ada baiknya saya fokus menyanyi semata-mata berbanding mencuba nasib dalam bidang lakonan. Saya kena buat betul-betul kali ini,” ungkapnya yang menjalankan bisnes jual beli kereta import di ibu negara sepanjang ketiadaannya dalam bidang seni selama ini.
Tidak hairanlah, ada satu pengorbanan yang ingin dilakukan Idayu iaitu mengurangkan berat badan kerana sedar itu tiket untuk berterusan memukau pesona peminat.
“Saya memang tidak suka bersenam, tetapi apa salahnya perlu berkorban memandangkan peminat sanggup menunggu saya kembali ke dalam industri.
“Cuma, saya tidak mahu terlalu kurus sehingga menjejaskan mutu berat suara, mudah-mudahan berat ideal iaitu 58 kilogram (kg) berjaya direalisasikan,” ujarnya yang kini memiliki berat badan 63kg berbanding 73kg sebelum menyertai AF Megastar.
Figura ini tidak pernah menyesal apabila rezeki tidak menyebelahinya sebaik tersingkir awal dalam saingan AF3 pada 2005.
Peribadi
Pada masa sama, Idayu juga bertuah dikurniakan suami tercinta, Shahrul Fadzil, 33, yang tidak jemu menemaninya di sisi merencana percaturan seni.
“Perancangan untuk mencari pengurus dan label rakaman memang ada, cuma belum ada kata putus lagi.
“Buat masa ini, saya memang selesa diuruskan suami, selain sedang mengumpul material untuk muncul dengan album baharu dalam masa terdekat,” katanya yang memanjat doa supaya dikurniakan cahaya mata usai tiga tahun mendirikan rumah tangga.
Tatkala diajak bersembang mengenai keperihalan peribadinya yang barangkali tidak diketahui khalayak, ini jawapan jujur Idayu.
“Saya memang gemar memasak, tetapi cukup fobia dengan lipas. Kalau nak tahu, saya boleh menghidu kehadiran lipas, memang boleh menjerit dibuatnya.
“Saya juga tidak boleh memandu pada waktu malam kerana mata agak silau, tidak pernah memotong rambut pendek serta tidak boleh diberikan bantal. Bersembanglah apa saja, saya akan tidur jika diberikan bantal,” ujarnya melentur tawa di bibir.
Merupakan antara penyanyi tempatan yang diberikan standing ovation oleh pengarah muzik tersohor, Datuk Ramli MS, itu bukan alasan buat Idayu mendabik dada kerana sentiasa sedar betapa untuk kekal lebih lama dalam industri jauh lebih sukar berbanding mencipta jenama.
“Tok Ram (Ramli) pernah beritahu, jangan sampai semua orang lupakan saya sebaik Gegar Vaganza bermula. Itu yang perlu saya buktikan,” ungkapnya penuh makna seraya menoktah bicara.