Mia Ahmad Saya tidak mengamuk


Jika sebelum ini pelakon drama popular Hati Perempuan ini terpaksa berdepan dengan komen negatif peminat fanatik hiburan, namun selepas berkahwin dengan penjaga gol JDT dia terpaksa berdepan dengan komen negatif peminat fanatik bola sepak.

Rasa bahagia yang disalurkan secara spontan, tiba-tiba menjadi kudis pada yang melihatnya. Itu yang berlaku kepada dramatis terkenal, Mia Ahmad apabila video dan gambar dia mencium pipi suaminya, Izham Tarmizi yang juga penjaga gol pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), sebaik skuad handalan itu diumumkan menjuarai Piala Malaysia 2017, baru-baru ini, menjadi viral dan kecaman ramai netizen.

Ditembak kiri dan kanan, pelakon drama popular Hati Perempuan itu akhirnya membalas kecaman netizen yang tidak berpuas hati dengan tindakannya itu di Instagram.

“Saya tidak mengamuk pun apabila dikecam. Cuma, saya tidak faham kenapa gambar dan video itu perlu dijadikan isu oleh sesetengah pihak. Untuk yang mengutuk itu, saya rasa mereka kena nilai hati sendiri,” luahnya kepada Sensasi Bintang saat diajukan mengenai kemelut tersebut.


Terdahulu, pada Ahad lalu sebuah stesen televisyen memuat naik di Instagram aksi spontan Mia yang mencium pipi suaminya selepas pasukan JDT menewaskan Kedah dalam perlawanan Piala Malaysia 2017.

Namun, video tersebut menjadi viral apabila ramai netizen yang mempertikaikan tindakan tersebut yang dianggap tidak sesuai dilakukan di khalayak ramai.

Tiada niat untuk menunjukkan kebahagiaan di depan umum, sebaliknya Mia menganggap reaksi itu (cium pipi) dilakukan secara spontan sementelahan suaminya berjaya menjaga gawang JDT daripada dibolosi pasukan Kedah.

“Reaksi cium pipi suami itu dibuat secara spontan sebab saya terlalu gembira dengan kemenangan dia. Saya rasa semua isteri akan bertindak seperti itu jika suami mereka berjaya. Tiada niat untuk tunjuk bahagia,” jelasnya yang berkahwin dengan Izham pada 13 Januari lalu.


Mia tiada niat menunjuk-nunjuk kebahagiaan di depan umum, sebaliknya aksi cium itu adalah spontan.

Dalam pada itu, menjadi isteri kepada pemain bola sepak, Mia akui berdepan dengan cabaran baharu. Selain perlu menghadapi komen negatif daripada peminat dunia hiburan, pelakon berusia 29 tahun itu juga perlu berdepan dengan kecaman peminat fanatik bola sepak Malaysia.

“Saya fikir, selepas berkahwin dan memperlahankan karier lakonan, saya tidak berdepan dengan komen negatif lagi. Namun, ternyata tanggapan saya silap. Saya kini terpaksa menghadapi dua komen negatif daripada peminat bola sepak dan juga hiburan.

“Ini kerana, apabila pasukan bola sepak dia atau lawan kalah, atau dia ada melakukan kesilapan ketika bermain, peminat bola sepak akan menyerang Instagram saya. Ada yang menyalahkan saya. Ada juga yang suruh saya nasihatkan dia dan sebagainya,” luah Mia lagi.

Dalam perkembangan lain, Mia akan muncul dalam filem Jibam yang akan ditayangkan pada 7 Disember depan. Filem yang dilakonkan bersama adik Muhammad Arif Abdullah (Buntat), Fadlan Hazim dan Syafie Naswip itu diadaptasi daripada karya kartunis terkenal, Ujang.

Post a Comment

Previous Post Next Post