Wany Hasrita, Tajul Ariff gaduh-gaduh manja


Hebatnya seseorang itu bukannya dinilai berdasarkan kelantangannya dalam berkata-kata, sebaliknya dipamerkan dengan bakat yang ada dalam diri tanpa perlu dicanang sana sini.

Biar jauhari yang menilainya. Selebihnya, bagaimana dia tidak takabbur diri menjadi penyumbang magnet pada khalayak untuk turut menyukainya.

Wany Hasrita dan Tajul Ariff, dua bintang baharu yang kini berjaya menembak jiwa-jiwa pendengar dengan alunan suara dan lagu mereka.

Waima ada yang menganggap lagu mereka ‘tangkap leleh’, tidak menguji vokal dan sebagainya, Wany dan Tajul menyungguhkan dengan pencalonan dua lagu mereka di pentas Separuh Akhir Muzik Muzik 32 (SFMM32).

Selepas berduet bersama menerusi lagu Di Sana Cinta Di Sini Rindu pada minggu pertama Separuh Akhir Muzik Muzik 32, Wany dan Tajul sekali lagi bakal membuat persembahan di minggu ketiga SFMM32 dengan mempertaruhkan single berhantu mereka iaitu Menahan Rindu dan Sedalam Dalam Rindu.

Bakal ‘dinilai’ pada malam ini, selain Wany dan Tajul, Syamel, Ernie, Ronnie Hussin, Akim & The Majistret, Ismail Izzani, Haqiem Rusli, Atmosfera serta Hael Husaini turut berentap merebut tempat di pentas Anugerah Juara Lagu 32 (AJL32) bersama dengan 20 lagu lain yang sudah dilagukan pada minggu pertama dan kedua SFMM32 sebelum ini.

Dalam gementar dan teruja yang bertamu di hati, Wany dan Tajul berkongsi persediaan persembahan mereka pada malam ini yang dapat disaksikan menerusi TV3, pukul 10 malam.


Tajul bersyukur kerana single Melamar Rindu berjaya raih empat juta tontotan di YouTube.

Kalian sudah membuat persembahan untuk lagu duet Disana Cinta Disini Rindu untuk minggu pertama Separuh Akhir Muzik Muzik 32, bagaimana persiapan kalian untuk lagu kedua iaitu solo pada malam ini?

WANY HASRITA: Alhamdulillah, ini adalah kali pertama saya membuat persembahan untuk Separuh Akhir Muzik Muzik 32. Rasa sangat teruja tetapi pada masa sama risau dan gementar. Saya akan utamakan persembahan dan teknik nyanyian untuk lagu solo saya, Menahan Rindu pada malam ini.

TAJUL: Alhamdulillah, lagu pertama Di Sana Cinta Di Sini Rindu, duet bersama Wany sudah dinyanyikan pada minggu pertama Separuh Akhir Muzik Muzik 32. Pertama kali membuat persembahan di Separuh Akhir Muzik Muzik, memang mengigil. Mujur juga menyanyi bersama Wany, maka kurang sedikit rasa gementar itu. Untuk lagu kedua pada malam ini, saya akan menyanyikan lagu solo saya iaitu Sedalam Dalam Rindu. Saya akan buat yang terbaik dan mempraktikkan apa yang diajar Ernie selaku guru vokal.

Apakah harapan kalian untuk kedua-dua lagu kalian yang tercalon?

WANY: Saya tidak memikirkan sangat sama ada terpilih untuk memasuki Anugerah Juara Lagu 32 atau tidak. Paling utama saya akan buat yang terbaik dan berdoa tiada sebarang kesilapan dalam menyampaikan lagu kedua pada malam ini.

TAJUL: Sejujurnya, kalau satu daripada lagu yang dinyanyikan saya terpilih ke pentas AJL32, saya sangat-sangat bersyukur. Namun, jika kedua-duanya tidak berjaya, saya reda. Sebabnya, sebagai pendatang baharu, saya sudah cukup bersyukur lagu-lagu saya tercalon dalam Separuh Akhir Muzik Muzik 32.

Selain Separuh Akhir Muzik Muzik 32, apakah projek seni yang sedang diusahakan kalian ketika ini?

WANY: Alhamdulilla single kedua iaitu Rintihan Rindu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peminat. Seminggu di muat naik di Youtube, lagu itu berjaya mencecah sejuta tontonan. Selain itu, pada hujung tahun ini, saya bakal keluarkan mini album yang terkandung lima buah lagu. Antaranya, Menahan Rindu, Rintihan Rindu, lagu tradisional Ewah-Ewah dan juga lagu duet baharu bersama Tajul.

TAJUL: Alhamdulillah selepas sebulan lirik video single kedua saya, Melamar Rindu dimuat naik di YouTube, ia sudah mencecah empat juta tontonan. Minggu lalu, video klip Melamar Rindu baru sahaja dimuat naik di YouTube, harap ia mendapat sambutan lebih daripada lirik videonya. Selain itu, saya juga bakal keluar dengan album mini pada hujung tahun ini. Bukan itu sahaja, lagu duet kedua saya dengan Wany juga sudah dirakamkan. Judulnya, Rindu Dalam Benci. Lagunya kesinambungan daripada Di Sana Cinta Di Sini Rindu, cuma kali ini lirik lagu kami gaduh-gaduh manja.


Wany terpaksa menolak tawaran berlakon kerana mahu fokus pada nyanyian.

Berduet menerusi lagu kedua, tidak takutkah kalian andai digosipkan bercinta sekali lagi?

WANY: Mungkin tidak. Sebab peminat sudah sedia maklum yang kami tiada apa-apa hubungan. Jadi, apabila lagu duet kedua dilancarkan nanti, saya rasa perkara itu (gosip bercinta) tidak akan timbul kembali. Namun, saya tidak menolak ada peminat yang mengharapkan kami bercinta. Malah, apabila saya sudah jarang memuat naik gambar bersama Tajul di laman sosial mereka menganggap yang kami bergaduh. Sedangkan kami berkawan seperti biasa.

TAJUL: Lumrah menjadi artis, bila mana peminat melihat keserasian pasangan artis ketika menyanyi duet atau berlakon, maka mereka akan suka jika kedua-duanya bercinta. Begitu juga yang terjadi kepada saya dan Wany, peminat anggap kami bercinta apabila nampak kemesraan kami. Sedangkan, kami cuma berkawan rapat sahaja. Saya terfikir juga yang saya mahu bekerja lama dalam industri muzik ini, kalau bercinta dan kemudiannya bergaduh, nanti nak bekerjasama pun susah (ketawa).

Boleh Tajul kongsikan pengalaman berlakon buat pertama kali? Untuk Wany pula dengarnya banyak tawaran berlakon yang ditolak? Kenapa?

WANY: Memang ada dapat tawaran, tetapi saya tidak dapat ambil kerana mahu fokus pada nyanyian. Tambahan pula, saya tidak tahu sama ada saya ada bakat berlakon atau tidak. Mungkin satu hari nanti saya akan berlakon, tetapi saya akan buat persediaan dahulu.

TAJUL: Insya-Allah, filem pertama saya iaitu Enjin Nombor 9 bakal ditayangkan pada bulan Mac tahun depan. Dalam filem terbitan Raja Azmi itu, saya bawa watak suami dan mempunyai datuk kesayangan, lakonan Kazar. Kalau ada tawaran berlakon lagi pada masa hadapan, saya tidak akan tolak. Namun, keutamaan tetap pada nyanyian.

Post a Comment

Previous Post Next Post