Cinta yang terjalin di antara aktres Mawar Rashid dan Raf Yaakob bukan lagi rahsia, kerana sejak awal perkenalan, keduanya cukup intim dan terbuka dalam berkongsi perasaan menerusi laman sosial masing-masing, khasnya Instagram.
Baik Mawar mahu pun Raf, mereka sebolehnya tidak mahu sembunyikan kebenaran, apatah lagi sulaman cinta yang termeterai itu turut mendapat restu ibu bapa pasangan ini.
Lalu, tarikh 9 November lalu menjadi tarikh paling bermakna buat Mawar dan Raf selepas selamat diijabkabulkan sebagai suami isteri. Dengan sekali lafaz, Raf atau nama sebenarnya, Raden Ahmad Faizal Yaakob, 32, kini sah bergelar suami kepada pemilik nama lengkap Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid,22.
Terdahulu, pasangan sama cantik sama padan ini melangsungkan majlis akad nikah di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur dengan disaksikan lebih 300 tetamu jemputan terdiri daripada ahli keluarga, selebriti dan rakan media.
Usia muda bukan penghalang
Menyifatkan perkahwinan ini sebagai suatu fasa yang mematangkan diri, Mawar yang cukup sinonim menerusi drama Suamiku Paling Sweet ini berazam menjadi isteri terbaik buat si suami, meski usianya masih muda.
Kongsi Mawar, usia bukanlah pengukur kebahagiaan rumah tangga. Sebaliknya, komunikasi dan sikap toleransi pasangan menjadi wadah penting dalam menjamin keharmonian hidup berumah tangga. “Alhamdulillah, akhirnya majlis akad nikah kami berjalan dengan baik seperti yang diharapkan.
Allah SWT mempermudah semuanya. Terima kasih buat semua yang sudi hadir meluangkan masa dan doa kami agar kalian turut mendoakan dan memberkati hubungan ini, Insya-ALLAH,” kata Mawar yang turut memberi penghargaan kepada semua kru terlibat sepanjang majlis berlangsung.
Ketika ditanya dalam masih muda sudah bergelar isteri orang, bekas finalis Dewi Remaja ini mengakui dia tidak pernah terfikir berkahwin seawal usia 22 tahun. “Jujur, memang tak pernah fikir nak kahwin pada masa sekarang sebab saya rasa lebih baik fokus pada kerjaya di samping membantu keluarga.
Bagaimanapun, bila berkenalan dengan Raf, hati terbuka untuk ke fasa seterusnya.
"Raf banyak mematangkan saya supaya lebih berani untuk ke hadapan. Macam bunga Mawar, kami berkembang, makin nampak berseri-seri. Jadi lamakelamaan, saya fikir mengapa tidak untuk meneruskan cinta ini pada tahap yang lebih serius. Inilah jodoh dan Mr.Right saya. Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan.
“Senang cerita, Raf bentuk saya untuk jadi individu yang lebih baik daripada sebelumnya,” kongsi Mawar yang turut menambah, dia turut yakin untuk bergelar isteri setelah mendapat sokongan dan restu daripada kedua-dua belah keluarga.
Pada masa sama, Mawar tidak menafikan tanggungjawab sebagai isteri bukan suatu hal boleh dipandang sebelah mata.
Bagaimanapun, akuinya dalam tempoh terdekat dia perlu banyak meminta nasihat dan tunjuk ajar terutama daripada ibu dan ibu mertua.
“Saya sedar, bila orang cakap fasal kahwin, semuanya nampak mudah namun hakikatnya ia tidaklah semudah yang disangka. Saya tahu pada usia yang masih lagi muda, saya juga perlukan nasihat, pandangan dan tunjuk ajar dari mereka yang berpengalaman.
Ibu dan ibu mertua banyak berikan katakata semangat. Alhamdulillah, keluarga kami cukup menyokong. Saya sendiri sudah pun berazam menjadi isteri terbaik, solehah buat suami, Insya-ALLAH,” luar Mawar sambil ditemani suami di sisi.
Saling sokong kerjaya
Dalam menempuh hidup bersama, Raf tidak akan menghalang isterinya membina karier di lapangan seni memandangkan mereka saling berkenalan ketika masingmasing sedang cuba mencari tapak kukuh di dalam bidang masing-masing.
“Mawar seorang yang suka berdikari sejak dulu. Sejak awal remaja lagi, dia sudah tahu mencari duit sendiri untuk bantu keluarga. Rasanya itulah keberkatan yang dia peroleh kerana gemar membantu. Jadi saya tidak boleh halangnya andai dia mahu
meneruskan kerjaya dalam lakonan. Itulah sumber rezekinya sebelum ini. Saya beri Mawar lampu hijau dan andai kalau dia nak explore bidang lain pun, saya tetap akan sokong.
“Cuma itulah, apabila sudah memegang status isteri, ada do and don’ts yang perlu dipatuhi. Perlu lebih teliti dari segi pemilihan skrip dan sebagainya.
Rasanya Mawar memang tiada masalah untuk itu,” terang Raf sambil diakui Mawar yang sedia sedar akan keterbatasannya dalam lakonan apabila sudah bergelar isteri orang.
Bercakap mengenai destinasi bulan madu pula, pasangan ini akan berangkat ke Rusia bagi memenuhi komitmen mengacarakan sebuah program berbentuk sukan untuk siaran RTM.
Selain itu, pasangan ini akan berangkat ke Manchester, England bagi memenuhi undangan jemputan di sana dalam tempoh terdekat.
“Alang-alang, kami anggap pemergian kami ke sana sebagai bulan madu jugalah,” seloroh Raf yang turut terpikat dengan Mawar kerana hubungan akrab isterinya itu bersama dua anak hasil perkahwinannya sebelum ini.