Juhara Ayob jarang muncul di kaca TV


Kemunculan Juhara Ayob dalam teater 3 Jari Daripada Tuhan di panggung Eksperimen, Aswara baru-baru ini menarik perhatian ramai.

Manakan tidak, pelakon dan penggiat teater yang terkenal ini sudah lama tidak muncul di kaca TV mahupun pentas teater sehingga ramai yang menyangka dia tidak lagi aktif dalam bidang seni.

Hakikatnya, Juhara yang kini bertugas sebagai tenaga pengajar di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) sebagai pensyarah di fakulti teater mengakui tidak pernah berhasrat meninggalkan dunia lakonan.

“Memang ramai yang tanya saya soalan yang sama sebab lama tak nampak saya berlakon TV mahupun teater dan sangka saya sudah tutup buku dalam bidang seni.

“Minat dan keinginan untuk berlakon tidak pernah terhenti, cuma saya berdepan dengan kekangan masa apabila terikat dengan tugas saya sebagai tenaga pengajar secara sepenuh masa.

“Kalau dulu saya boleh bergerak aktif kerana lakonan merupakan kerjaya utama saya, namun sekarang ia adalah sebaliknya,” katanya .

Bagaimanapun, kata Juhara yang juga aktif dalam persembahan Makyung ini, sesekali dia cuba mencari ruang untuk berlakon bagi mengubat rindu.

Katanya, dia masih menerima tawaran berlakon walaupun ramai yang tahu komitmennya sebagai tenaga pengajar namun mengakui agak sukar untuk terima kecuali menimbangkan berlakon teater kerana selalunya diadakan selepas waktu kerja.

“Sehingga sekarang saya masih berlakon teater, cuma mungkin ada yang tidak perasan kerana kebanyakannya adalah teater berskala kecil atau projek khas sebagai mana penglibatan saya dalam naskhah 3 Jari Daripada Tuhan ini,” ujarnya.

Pementasan teater 3Jari Daripada Tuhan yang berlangsung di Aswara pada 3-5 November lalu merupakan projek khas yang menggabungkan kerjasama antara pelajar dan pensyarah dari fakulti teater untuk slot teater Emotif.

“Seronok berlakon satu pentas dengan pelajar sendiri kerana saya dapat berkongsi ilmu secara praktikal bersama mereka tapi segan juga jika saya tak dapat berikan yang terbaik kerana mereka semestinya melihat saya sebagai contoh,” katanya yang pernah muncul dalam pelbagai genre teater seperti Anak Raja Gondang, Raja Laksamana Bentan, Lantai T.Pinkie, Nyonya, Cinduomato dan banyak lagi.

Biarpun kini tidak berkesempatan untuk bergiat aktif dalam drama TV, Juhara mengakui gembira apabila melihat ramai teman-teman seangkatannya kini kembali mewarnai drama TV.

“Pernah satu ketika lihat lakonan TV banyak didominasi oleh pelakon-pelakon baru, namun semenjak akhir-akhir ini kita dapat lihat pelakon-pelakon senior kembali diberikan ruang untuk sama-sama bergerak dalam industri.

“Satu perkembangan yang cukup positif di mana kita dapat lihat gandingan pelakon baru dan lama ini berjaya memberikan keseimbangan dalam industri seni kita hari ini dan pada masa akan datang,” kata Juhara yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Anugerah Skrin (TV3) dan Seri Angkasa (RTM).

Post a Comment

Previous Post Next Post