Penampilan Aishah ini dipertikaikan netizen kononnya pakaiannya dalam Gegar Vaganza 4 tidak menampakkan nilai eksklusif dirinya.
Isu ketiadaan penaja pakaian untuk dipakai Aishah dalam Gegar Vaganza 4 (GV4) akhirnya selesai apabila penyanyi legenda itu mendapat khidmat pereka fesyen Amir Kadir.
Menurut Aishah, 52, sejak isu baju itu menjadi tular di laman sosial, dia menerima tawaran ramai pereka fesyen yang menunjukkan minat termasuklah Amir.
"Semenjak kes baju ini, ramai pula pereka fesyen yang berminat nak buatkan baju, sampai keliru nak pilih yang mana satu.
"Saya beri peluang kepada Amir hasilkan baju untuk minggu depan dan kalau sesuai dengan saya, mungkin kita teruskan.
"Kalau nak tahu, saya juga ada beberapa orang pereka fesyen lain yang sudah bersiap-sedia dengan rekaan mereka," katanya.
Aishah ditemui semasa raptai Konsert GV4 minggu ketiga di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada petang Jumaat.
Pakaian rekaan Amir itu akan dipakai pada siaran 19 November ini.
Terdahulu, penampilan Aishah pada minggu kedua Ahad lalu mendapat kritikan segelintir netizen yang menganggap gaun berwarna merah dipakainya tidak sesuai dengan status dia yang sudah dianggap legenda.
Isu baju tersebut membuatkan ramai pereka fesyen tanah air menyatakan hasrat untuk menaja busana kepada Aishah.
Sementara itu, Amir Kadir memberitahu dia berminat menghasilkan pakaian untuk Aishah kerana berasakan penyanyi lagu Janji Manismu itu sepatutnya menyerlah dengan imej seorang diva.
"Aishah adalah seorang diva, dia merupakan idola ramai dan kerana itu saya ingin membantu menggayakan fesyen yang bersesuaian dengan imejnya.
"Pertemuan kami hari ini adalah untuk berbincang dan mengetahui lebih lanjut mengenai fesyen yang Aishah inginkan," katanya.
Aishah akan tampil dengan pakaian rekaan Amir Kadir pada siaran 19 November ini.
Dalam pada itu, Amir menjelaskan tawaran tersebut bukanlah7untuk bersaing dengan pereka fesyen lain.
Ujarnya, dia sudah mengenali Aishah hampir 20 tahun dan niatnya membantu dalam usaha membentuk penampilan penyanyi kesayangan ramai itu.
"Saya tahu ramai yang menyatakan minat menghasilkan pakaian untuk Aishah, namun sejujurnya bantuan saya ini bukan untuk bersaing dengan pereka fesyen lain.
"Saya ikhlas nak bantu Aishah dan besar harapan saya penampilannya pada malam persembahan nanti setanding dengan kekuatan vokalnya," kata Amir.
Sebelum ini Amir Kadir pernah mereka baju untuk digayakan oleh bintang Hollywood seperti Paris Hilton, Taylor Swift dan Jessi J.