Aqasha tak jual rupa


Kacak atau jelita merupakan sesuatu yang cukup subjektif. Cantik pada mata kita, belum tentu objek atau individu yang sama dilihat cantik juga pada mata orang lain. Semua itu terpulang kepada individu untuk menilai dan menterjemah erti cantik dari sudut kaca mata masing-masing.

Apapun, dalam dunia industri hiburan, tidak dapat dinafikan golongan artis yang mempunyai kelebihan paras rupa yang molek menjadi satu kelebihan buat mereka sendiri.

Ini kerana, dengan wajah komersial yang mereka miliki, tidak dinafikan perkara itu secara tidak langsung menjadikan mereka mudah diterima umum. Dengan erti kata lain, paras rupa juga menjadi faktor daya penarik untuk terus digilai selain bakat yang mereka ada.

Selepas pelakon dan penyanyi Aqasha diumumkan menjadi antara peserta bagi program realiti Gegar Vaganza (GV) pada edisi tahun ini, ada yang melihat jejaka berusia 35 tahun itu mungkin dilihat punya tarikan tersendiri, terutamanya dalam kalangan peminat wanita dek kerana wajah kacak yang dimilikinya.

[KONSERT GEGARVAGANZA]


Anggap pujian

Maka, tidak hairanlah, selepas mendapat tahu pelakon filem Embun itu bakal beraksi di pentas GV, ramai yang menanti-nantikan kemunculan dirinya semula dalam arena seni suara.

Sungguhpun ada yang menyifatkan dirinya sebagai penyanyi yang mampu menjual rupa, bagi pemilik nama sebenar Firdee Akassya Rosli itu, dia tidak melihat situasi itu sebagai sesuatu yang utama untuk terus kekal dalam industri.


Aqasha merancang untuk mengikuti kelas vokal.

“Kalau mengatakan saya mempunyai pakej dan boleh menjual rupa, semua orang pun rasanya punya rupa.

“Saya anggap itu sebagai satu pujian sahajalah. Apa yang penting untuk menjadi seorang artis ialah bakat dan disiplin. Pada saya, rupa dan bentuk fizikal hanyalah bersifat sementara sahaja.

“Saya kelihatan begini pada waktu ini, jika dalam tempoh sepuluh tahun akan datang, mungkin bukan macam ini lagi. Ketika itu mungkin penampilan saya tidak sama lagi. Adakah peminat pun nanti akan terus kurang juga,” ceritanya ketika ditemui Sensasi Bintang dalam satu sesi fotografi baru-baru ini.

Menurut Aqasha dia tidak pernah melihat paras rupa yang dimiliki sebagai satu tiket mudah untuk dia terus kekal dalam program tersebut. Katanya, apa yang penting, dia perlu memberikan sehabis baik dalam setiap persembahan.

Lagipun, katanya, program itu bukanlah berdasarkan meraih undi daripada penonton, sebaliknya, 100 peratus daripada juri profesional.

Bagaimanapun, dia tidak menolak bahawa rupa juga menjadi bonus tambahan bagi golongan artis. Ini kerana, dek tarikan fizikal yang mereka ada itu membolehkan mereka menerima sokongan daripada peminat. Bagi Aqasha sendiri sokongan itu nanti akan menyuntik semangat dan memberi dorongan secara tidak langsung kepadanya untuk melakukan persembahan sehabis baik.

“Sudah 17 tahun saya berada dalam industri hiburan. Apa yang saya boleh katakan, saya ini antara artis yang kurang menonjol di dada-dada akhbar. Alhamdulillah, sehingga ke hari ini masih ada yang setia mengikuti perkembangan saya.

“Jika saya ke depan muncul di media cetak atau elektronik pun, saya pasti akan mewakili sesuatu kerja sahaja. Perkara yang saya boleh banggakan dengan peminat untuk dikongsikan kepada mereka yang selama ini memberi sokongan kepada saya,” kata penyanyi yang pernah muncul dengan album Cahaya Hati pada tahun 2000 itu.


Rupa dilihat sebagai satu bonus dalam meraih sokongan peminat.

Gemuruh

Menurut Aqasha lagi, kali terakhir dia membuat kemunculan membuat persembahan nyanyian di kaca televisyen ialah sekitar empat tahun lalu. Biarpun nyanyian bukan sesuatu yang asing, pada masa sama, dia mengakui tetap berasa gemuruh.

“Saya tidak boleh nafikan, gementar itu tetap ada. Sebenarnya, rasa gemuruh itu perlu ada, cumanya, ia perlu dilihat seimbang. Tak boleh lah kita berasa terlalu yakin pula,” katanya yang mengakui berada dalam kelompok barisan peserta yang berbakat besar kesemuanya.

Ditanya mengenai kebimbangan utamanya untuk bersama-sama berkongsi pentas dengan penyanyi lain, kata Aqasha, dia lebih melihat situasi itu sebagai satu cabaran buatnya.

“Sebelum ini, saya sudah buat teater muzikal dan berlakon, jadi ini merupakan satu ruang untuk menguji diri mengenai bakat yang ada. Di sinilah untuk kita lihat sejauh mana bakat yang kita ada.

“Lagipun, inilah masanya untuk saya tarik peminat dalam kalangan generasi muda kini untuk kenal diri saya. Ini kerana, saya melihat program sebegini membuatkan artis itu untuk terus kekal relevan,” kata pelakon filem Man Laksa itu.

Jika sebelum ini, Aqasha lebih sinonim dengan lagu berentak pop, tetapi dalam program tersebut, katanya, dia mahu dilihat sebagai seorang penyanyi yang versatil.

“Kalau kena menyanyikan lagu etnik kreatif atau lagu melayu asli, memang akan mencabar diri saya. Maklumlah, lagu sebegitu bukanlah ‘makanan’ saya.

“Apapun, saya akan cuba buat sehabis baik. Justeru, saya ada perancangan untuk mengikuti kelas vokal sendiri sebagai persiapan untuk minggu-minggu berikutnya,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post